Tuesday, January 19, 2010

Yayasan Al-Fathaanah

Seperti yang telah dimaklumi pada entri sebelum ini, bahawa Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pernah mendirikan sekaligus mengasaskan sebuah pusat pendidikan yang diberi nama Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyah al-Fathaanah, Kalimantan Barat (Kal-Bar) Indonesia. Pada awal penubuhannya dalam tahun 1974, Yayasan al-Fathaanah bertempat di Sungai Bundung, yang juga masih dalam kawasan Kalimantan Barat. Di Sungai Bundung ini pada awalnya dinamakan sebagai Pondok Pesantren al-Fathaanah.

Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah bergambar bersama-sama rakan-rakan dan pelajar-pelajarnya sewaktu awal-awal penubuhan al-Fathaanah di Sungai Bundung dalam tahun 1974.

Setahun kemudiannya, pusat pendidikan al-Fathaanah dipindahkan pula di Kuala Secapah dan sehingga kini ianya kekal dalam kawasan yang sama. Semenjak berpindahnya di tempat yang baharu (dalam tahun 1975), beliau membangunkan pula panti asuhan yang masih tetap di bawah naungan Yayasan al-Fathaanah, dengan nama Panti Asuhan al-Hamidiyah. Penubuhannya juga bertujuan membantu anak-anak yang fakir miskin dan yatim piatu dari segi pendidikan. Oleh itu, secara tidak langsung anak-anak yang kurang mampu tersebut meneruskan pengajian di Yayasan al-Fathaanah. Bermula dari itu jualah, Tuan Guru melaksanakan pelbagai usaha-usaha untuk menampung segala kos penyelenggaraan dan perbelanjaan tersebut. Namun, dalam tahun 1980-an, panti asuhan tersebut tidak dapat menerima anak-anak yang kurang mampu itu lagi atas beberapa faktor, di samping pada ketika itu juga beliau telah berhijrah pula ke Malaysia untuk menyebarkan serta memperluaskan khazanah-khazanah ulama ini ke seratanya. Tetapi bagi anak-anak yang sedia ada, tetap ditampung sehingga tamatnya pengajian mereka.

Walaupun tanpa panti asuhan tersebut, Yayasan al-Fathaanah tetap berjalan seperti biasa dengan peningkatan pelajar yang setiap tahun semakin bertambah. Hal ini kerana pada ketika itu, Yayasan al-Fathaanah merupakan satu-satu pondok pesantren di sekitar Kuala Secapah tersebut. Alhamdulillah, dengan usaha yang sentiasa berterusan tersebut Yayasan al-Fathaanah dapat berjalan dengan lancar sehingga kini.


Pintu masuk Yayasan al-Fathaanah kini (gambar yang diambil bulan Disember baru-baru ini). Antaranya lagi,

Kawasan berhimpun di tengah-tengah sekolah, terletak antara sekolah peringkat Ibtidaiyyah dan Thanawiyah.


Ini pula adalah pinggir kawasan Yayasan al-Fathanaah yang terletak di belakang surau al-Fathaanah. Di sinilah antara tempat berlabuhnya kapal-kapal dari beberapa kawasan di Indonesia. Dahulunya, antara usaha yang dijalankan oleh Tuan Guru untuk menampung segala pembiayaan yayasan adalah dengan membeli beberapa buah kapal-kapal kecil yang bertujuan untuk disewakan. Di pelabuhan ini jugalah perniagaan kapal-kapal kecil tersebut dijalankan, yang mana hasil dari sumber ini disalurkan ke dalam dana yayasan.

Dahulunya penubuhan Yayasan al-Fathaanah bersistemkan pondok pesantren. Namun, dalam tahun 1990-an, ianya diubah kepada sistem persekolahan pemerintah, tetapi masih bercirikan agama. Terdapat dua peringkat persekolahan, iaitu peringkat Ibtidaiyyah yang dipimpin oleh Bapak Haji Makmur Abdullah (di Malaysia: peringkat sekolah rendah tahun 1-6) dan peringkat Thanawiyah (di Malaysia: sekolah menengah rendah, tingkatan 1-3) yang dipimpin oleh Bapak Haji Shafi'e. Selain itu, terdapat juga pendidikan untuk masyarakat umum yang dipanggil Majlis Ta'lim, yang kebiasaannya dijalankan pada hari cuti sekolah iaitu Sabtu atau Ahad.

Antara pelajar-pelajar Yayasan al-Fathaanah. Berbaju hijau kuning adalah pelajar peringkat Thanawiyah, dan pakaian tersebut adalah pakaian rasmi untuk olahraga (Pendidikan Jasmani (PJ). Manakala yang berbaju warna coklat itu pula adalah pakaian seragam seakan-akan ko-kurikulum di Malaysia.

Gambaran belakang t-shirt olahraga Yayasan al-Fathaanah.

Antara pelajar-pelajar perempuan Yayasan al-Fathaanah peringkat Thanawiyah.

Ini pula antara pelajar-pelajar peringkat Ibtidaiyyah yang baru sahaja selesai menjawab ujian peperiksaan. Antara yang terawal keluar:) Agak sukar untuk mengumpulkan kesemua pelajar-pelajar ini, kerana kebetulan bulan Disember baru-baru ini berlangsungnya ujian peperiksaan untuk penggal pertama. Oleh itu, untuk tidak mengganggu yang lainnya, hanya sebanyak ini sahaja gambar-gambar pelajar yang diambil.

Sedikit perkongsian maklumat lagi, bahawa Yayasan al-Fathaanah adalah sebuah pusat pendidikan swasta. Maka segala kos tampungan adalah dibiayai sendiri. Demikian itu, terdapat beberapa bahagian lagi dalam Yayasan al-Fathaanah yang bertujuan selain untuk pendidikan. Bahagian-bahagian lain pula adalah I. bahagian perkebunan dan tanah, II. bahagian perniagaan iaitu membuat kuih untuk dipasarkan ke serata toko-toko (kedai) di sekitarnya. Ya, sudah tentu ianya bertujuan untuk menambahkan dana-dana dalam menampung segala kos perbelanjaan.

'Roti Kap' antara kuih yang dipasarkan oleh Yayasan al-Fathaanah. Kuih ini kini diusahakan oleh para isteri yang tidak bekerja, di samping untuk menambahkan pendapatan seharian.

Semenjak kembalinya Tuan Guru ke rahmatullah, kini Yayasan al-Fathaanah dinaungi oleh anak sulung beliau, sebagai Ketua Umum Yayasan al-Fathaanah, dan dibantu oleh jawatankuasa-jawatankuasa panitia al-Fathaanah lain yang diketuai oleh Bapak Hamdan Bochari selaku pengerusi al-Fathaanah. Bapak Hamdan Bochari merupakan orang kepercayaan Tuan Guru semenjak hidupnya untuk mengawasi segala pentadbiran Yayasan al-Fathaanah sepanjang ketiadaan beliau di Indonesia. Bahkan kini Bapak Hamdan masih tetap sebagai pengerusi Yayasan al-Fathaanah atas kepercayaan waris-waris Tuan Guru pula. Semoga dengan pimpinan beliau ini, Yayasan al-Fathaanah ini dapat dipertingkatkan dan dinaiktarafkan lagi sistem pengajiannya. InsyaAllah, usaha yang berterus-terusan akan sentiasa dijalankan demi menyebarkan dakwah ini ke seratanya.

Sebelum penutupnya, dikongsi gambar yang menunjukkan antara rakan-rakan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang bersama-sama membantu penubuhan Yayasan al-Fathaanah. Bersebelahan Tuan Guru (kiri hujung) adalah Bapak Hamdan Bochari, yang juga merupakan kawan rapat beliau.

Gambar di atas pula adalah antara gambar Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah ketika sakit, yang dipimpin oleh Bapak Hamdan Bochari, selepas membentangkan kertas kerja pada Majlis Muzakarah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, yang dianjurkan oleh Jalinan Anak Rao dan Persemendaan (JARO), di Dewan Jubli Perak, Raub Pahang, pada 18 Mac 2007. Pembentangan beliau tersebut merupakan kertas kerja yang terakhir dibentangkan sebelum kembalinya ke rahmatullah pada 12 April 2007. Al-Fatihah.

Sekian, InsyaAllah bersambung lagi. Agak panjang untuk menceritakan selengkapnya sejarah penubuhan Yayasan al-Fathaanah ini. Hanya dapat dikongsikan secara umum sahaja. Berjumpa lagi.

No comments: