Sunday, November 10, 2013

Buku - AMALAN HARI 'ASYURA


Salam Maal Hijrah 1435H dari warga Khazanah Fathaniyah. Semoga tahun baru ini dilimpahi segala kebaikan, keberkahan dan sentiasa dalam rahmat-Nya, ditingkatkan lagi iman kita, selamat dunia dan akhirat, ameen.


Terkait sempena awal Muharram ini, dikongsikan sebuah risalah yang berjudul 'AMALAN HARI ASYURA- Ringkasan dari kitab-kitab Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani', oleh al-marhum Hj. Wan Mohd Shaghir 'Abdullah, yang mana tarikh selesai penulisan risalah ini juga pada 1 Muharram 1425H/ 21 Februari 2004H, ditulis dalam rangka memenuhi permintaan ceramah di beberapa tempat (Maklumat seperti tercatat pada akhir halaman risalah tersebut).





                                            (Harga senaskhah- RM5.50 (Saiz: A5)


Alhamdulillah terbitan ini dapat dimanfaatkan bersama, dan diulangcetak kembali dengan pengemaskinian (tanpa mengubah kandungan) terbaharu.

Thursday, November 07, 2013

Belasungkawa - Almarhumah Hajah Wan Khadijah Bt Hj. Wan 'Abdul Kadir


"Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.” 
[Al-Baqarah: 155-156]


Telah kembali ke rahmatullah almarhumah Cikgu Wan Khadijah Bt Haji Wan 'Abdul Kadir, iaitu waris (cicit) kepada pengarang risalah Lum'atul Aurad (Syeikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani), yang juga pengasas kepada Kelab Balkis, Kelantan. Arwah menghembuskan nafas terakhir semalam (Hari Rabu, 6 November 2013), lebih kurang 5 petang. InsyaAllah akan dikebumikan pagi ini. 



Cetakan kitab Lum'atul Aurad terbitan Khazanah Fathaniyah ini merupakan permintaan dari almarhumah sendiri agar dapat diamalkan dan dimanfaatkan bersama. Sedikit perkongsian, bahawa amalan ini (Lum'atul Aurad) beliau terima melalui ayahandanya iaitu: Baba Haji Wan 'Abdul Kadir bin Syeikh Daud Khatib Kelantan pada 1974. Diterima ijazah juga melalui sepupu beliau, yang juga pengasas Khazanah Fathaniyah, almarhum Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah. (Dipetik dari muqaddimah kitab Amalan Lum'atul Aurad, 2010).

Makluman : InsyaAllah malam ini diadakan Majlis Tahlil buat almarhumah, di Dewan Syeikh Daud al-Fathani (Pusat Aktiviti & Pengajian Khazanah Fathaniyah & PENGKAJI), Taman Melewar. Dijemput hadir buat yang berhampiran. 

Al-Fatihah.


Tuesday, October 29, 2013

Ringkasan JEJAK ULAMA NUSANTARA- Syeikh Haji 'Abdul Lathif Tambi Melaka

Alhamdulillah, seorang lagi tokoh ulama yang diperkenalkan dalam 'Jejak Ulama Nusantara' semalam, iaitu Syeikh Haji 'Abdul Lathif Tambi Melaka. Dikongsikan sedikit perbicaraan beliau mengenai 'Aqidah menurut Ahlis Sunnah wal jama'ah dalam sebuah kitabnya berjudul Hidayatur Rahman

"...i'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah inilah i'tiqad yang betul, lagi sempurna daripada segala i'tiqad yang lain. Dan i'tiqad inilah, wahai thalib, yang diperpegangi oleh 'ulama yang besar-besar. Maka wajiblah di atas tiap-tiap mukallaf berpegang dengan i'tiqad mereka itu...". Adapun yang dimaksudkan dengan Ahlis Sunnah wal Jama'ah, Haji 'Abdul Lathif Tambi sama pendapatnya dengan jumhur ulama', beliau menegaskan pada bahagian tepi kitab tersebut (Hidayatur Rahman) katanya: "Qauluhu, Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu mengikut i'tiqad [Imam] Abil Hasan al-'Asy'ari dan [Imam] Abil Manshur al-Maturidi". 

~Sumber : Dipetik dari Koleksi Ulama Nusantara (Jilid 1, hlmn: 7), Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah. 

Artikel berkenaaan ulama tersebut ditulis oleh al-marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pada 1 Mac 2004, dalam ruangan Agama (Akhbar Utusan). Berikut dikongsikan pautannya: 

Friday, October 04, 2013

Mengenai Ka'bah oleh Syeikh Nik Mat kecik al-Fathani

Bersempena menyambut bulan Haji, memetik dari tulisan ulama yang pernah menyandang sebagai Hakim mahkamah Syarie Mekah, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani (lebih terkenal dengan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani) mengenai Kaabah:

"Dan pertama-tama orang yang memakaikan Ka'bah pada sebelah dalamnya itu Qusay nenek Nabi Sallahu 'Alaihi Wasallam tatkala dibinakan Ka'bah, kemudian maka dipakaikan Ka'bah oleh Saidina 'Abdullah ibn az-Zubair dengan kain Qubathi pada sebelah luarnya, kemudian maka digantikandia oleh Sultan Farj ibn Barquq pada zaman khilafahnya dengan kain yang hitam pada sebelah luarnya dan berkekalanlah hingga sampai kepada zaman sekarang ini yakni dipakaikan Ka'bah dengan kain sutera hitam hingga sampai kepada zaman sekarang ini".

Dipetik dari kitab Bahr al-Wafi wa an-Nahr as-Safi, halaman 469. Sebuah kitab Fiqh yang khusus membicarakan perkara ibadat, meski petikan ini menyentuh soal sejarah Ka'bah.

Wednesday, September 25, 2013

Bahasa Arab untuk Pelajar PMR dan SPM

Istimewa buat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tahun ini, Khazanah Fathaniyah akan memberikan 15% diskaun kesemua buku-buku latihan Bahasa Arab terbitan kami sempena hari-hari peperiksaan yang semakin hampir ini. 

Buku-buku latihan Bahasa Arab yang disusun oleh Ustazah Zahrah Awang (pesara guru panitia Bahasa Arab dari SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan) ini telah lama berada di pasaran dan sentiasa dikemaskini berdasarkan format-format terbaharu. Alhamdulillah telah banyak dijadikan rujukan pelajar-pelajar sekolah, bahkan juga pelajar universiti, sama ada sebagai latihan mahupun menambahkan kefahaman.

Tingkatan 3
Semenanjung Malaysia (RM10.50) / SS (RM11.50)

Tingkatan 4
Semenanjung Malaysia (RM9.50) / SS (RM10.50)


 Tingkatan 5
Semenanjung Malaysia (RM9.50) / SS (RM10.50)

Tawaran ini sehingga hari terakhir peperiksaan SPM iaitu 5 Disember ini (Harga yang tertera belum ditolak diskaun lagi). Moga bermanfaat.


==================================
KAEDAH PEMBELIAN ON-LINE :

1) Pemesan boleh memesan melalui pesanan FB/ email ke : khazanahfathaniyah@yahoo.com, dengan menyertakan beberapa informasi berikut :
- Nama Buku beserta kuantiti, Cth : Tingkatan 3 (1 buah).
- Nama, alamat dan no. telefon Penerima/ Pemesan.
 

2) Pemesan akan mendapat makluman balas dari kami (Khazanah Fathaniyah) berkenaan jumlah yang perlu dibayar (termasuk bayaran pos)/ berserta no. akaun.

3) Pemesan akan memaklumkan semula setelah bayaran dilakukan, caranya sama; melampirkan bukti pembayaran / memaklumkan masa dan tarikh pembayaran berserta jumlah.

4) Pengeposan akan dilakukan. Sekiranya pemakluman pembayaran dibuat sebelum jam 12 tengah hari pada hari yang sama, pengeposan akan dilakukan hari yang sama. Jika sebaliknya, adalah keesokan hari.

* Untuk pembelian melebihi RM50, pengeposan adalah percuma (melalui Poslaju) bagi dalam Malaysia sahaja.


Monday, September 23, 2013

Senarai kitab dan buku terbaharu (Bukan terbitan KHAZANAH FATHANIYAH)

Alhamdulillah, minggu lepas beberapa buah kitab Jawi dan buku baharu telah sampai di kedai buku Khazanah Fathaniyah. Berikut adalah senarai terbaharu (terbitan-terbitan luar) yang ada dalam stok kami :

SENARAI BUKU (Rumi):

1) Zuriat Rasulullah & Raja-raja Melayu- Falsafah, Sejarah & Hikmah *RM99.00
(Hj. Muzaffar Dato' Hj Mohammad & Tun Suzana Tun Hj. Othman)

 

2) Ahlul-Bait : (Keluarga) Rasulullah SAW & Ulama Umarak di Alam Melayu *RM47.00 (Hj. Muzaffar Dato' Hj Mohammad & Tun Suzana Tun Hj. Othman)

3) Citra dan Visi Sastera Melayu *RM55.00 ( Hamzah Hamdani)

4) Tradisi Pesantren *RM35.00 (Zamakhsyari Dhofier - Bhs Indonesia)

5) Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat *RM48.00
( Martin Van Bruinessen - Bhs Indonesia)

6) Direktori Edisi Naskah Nusantara *RM60.00 ( Edi S. Ekadjati- Bhs Indonesia)

7) Persuratan Melayu Wilayah Timur - Sejarah, Pemikiran dan Karya *RM25.00
(Abdul Razak Mahmud)
 
8) Warkah Melayu Lama *RM22. ( Ab. Razak Ab. Karim) 


* SENARAI KITAB (Jawi / Arab) :

1) RM5.50 : جمع جوامع المصنفات
(شيخ إسماعيل بن عبد المطلب الآشى)

2) RM 3.00 : مقدمة المبتدي في تجويد القران
(محمد بن احمد الكلنتاني)

3) RM6.00 : اسلام اڬام دان كدولاتن
(شيخ عبد القادر بن عبد المطلب الأندونسى المنديلى)

4) RM3.00 : الصّواعق الإلهيّة في الرّدّ الوهّابيّة
(شيخ سليمان بن شيخ عبد الوهاب)

5) RM3.00 : فتح المجيد (شرح الدّرّ الفريد في عقائد أهل التوحيد
(شيخ محمد نووى ابن عمر الجاوي الشافعي)

6) RM3.00 : فڠيڠاتن مسلمين باڬي اشراط الساعة آخر زمان
(حاج وان على الجميوي)

شرح ابن عقيل على الالفيّة (7
(لجمال الدين محمد بن عبد الله بن مالك)

علم المنطق (8
(محمد نور الإبراهيمى)

9) RM6.00 : الشرقاوي على الهدهدي
(شيخ عبد الله الشرقاوي)

10) RM5.50 : رسالة منهج أهل السنة
(حج عبد القادر بن واڠہ فطاني)

11) RM4.00 : تسهيل الضعفاء * ورد بعض أقوال السفهاء
(حج عبد القادر بن واڠہ فطاني)

12) RM6.00 : تحفة الطلاب
(شيخ الاسلام زكريا الانصاري)

13) RM6.00 : سر الاسرار فيما يحتاج إليه الأيرار
(شيخ عبد القادر الجيلاني)

14) RM4.00 : اللمع في أصول الفقه
(إمام أبي إسحق إبراهيم)

15) RM4.00 :كشف الاسرار
(شيخ محمد صالح بن عبد الله مڠكابوي)

16) RM4.00 : مبحث الكلام في علم الكلام
(حج عبد القادر بن واڠہ فطاني)

17) RM5.00 : المطلوب بشرح المقصود

18) RM3.00 : رسالة في علم المنطق
(محمد يامين بن عيسى الفاداني)



==================================
KAEDAH PEMBELIAN ON-LINE :

1) Pemesan boleh memesan melalui pesanan FB/ email ke : khazanahfathaniyah@yahoo.com, dengan menyertakan beberapa informasi berikut :
- Nama kitab/ Buku beserta kuantiti, Cth : Faridatul Fara'id (10).
- Nama, alamat dan no. telefon Penerima/ Pemesan.
 

2) Pemesan akan mendapat makluman balas dari kami (Khazanah Fathaniyah) berkenaan jumlah yang perlu dibayar (termasuk bayaran pos)/ berserta no. akaun.

3) Pemesan akan memaklumkan semula setelah bayaran dilakukan, caranya sama; melampirkan bukti pembayaran / memaklumkan masa dan tarikh pembayaran berserta jumlah.

4) Pengeposan akan dilakukan. Sekiranya pemakluman pembayaran dibuat sebelum jam 12 tengah hari pada hari yang sama, pengeposan akan dilakukan hari yang sama. Jika sebaliknya, adalah keesokan hari.

* Untuk pembelian melebihi RM50, pengeposan adalah percuma (melalui Poslaju) bagi dalam Malaysia sahaja.


Friday, September 20, 2013

'Tonyoh' dalam Kitab Pengetahuan Bahasa

Perkongsian dari seorang penyelidik dari Indonesia yang mengkaji karya terkenal Raja Ali Haji, iaitu Kitab Pengetahuan Bahasa. Menurut beliau, 'tonyoh' yang pernah didengarinya dan membuatnya tertanya-tanya dulu akhirnya diketemui dalam karya tersebut. Sebelum ini dengan hanya menebak-nebak saja maksudnya, tanpa memeriksa sebarang kamus disebab memikirkan ianya adalah bahasa dialek.  

Dari manakah asalnya perkataan tersebut? Ada mengatakan ianya adalah dialek Terengganu, namun ianya juga sering digunapakai oleh orang utara, baik Kedah, mahupun Perlis. Atau apakah perkataan tersebut sememangnya asli bahasa Melayu, tanpa mengambilkira dialek negeri mana sekalipun. Ini kerana Kitab Pengetahuan Bahasa pula adalah kamus bagi loghat Johor, Pahang, Riau-Lingga (Berdasarkan judul pada kitab). Maka penggunaannya menyeluruh! 

Apakah maksud 'tonyoh' oleh Raja Ali Haji? Dipetik pada halaman 374, "iaitu pada makna hakikatnya seseorang yang ada sesuatu pada tangannya maka disorongkannya kepada hadapannya sesuatu sekira-kira kena kepada sesuatu yang ditonyohkannya itu _____ daripadanya "menonyoh" iaitu orang yang menonyohkan sesuatu kepada sesuatu "ditonyoh" iaitu yang kena tonyoh "tonyohkan" iaitu menyuruh tonyohkan sesuatu kepada sesuatu adanya".

Hebatnya ulama dahulu, meskipun telah tiada namun 'hidup' melalui ilmu-ilmunya. Wallahu a'lam.

* Kitab Pengetahuan Bahasa ini adalah salah sebuah terbitan Khazanah Fathaniyah, berupa fotokopi tetapi berkulit keras. Untuk sinopsis ringkas, sila klik --> Kitab Pengetahuan Bahasa.

Wednesday, July 31, 2013

TURATH ULAMA - Kitab Munyatul Mushalli (Sujud Sahwi)


Alhamdulillah pagi tadi (Isnin/ 22 Ramadhan), siaran TURATH ULAMA bagi pengajian kitab Munyatul Mushalli dilanjutkan lagi dengan perkara berkaitan Sujud Sahwi.

Kesinambungan dari minggu yang lepas -bahawa andai ditinggalkan lapan perkara dalam Sunat-Sunat Ab'adh adalah disunatkan sujud Sahwi. Kali ini al-Fadhil Ustaz Abdul Halim menyambung kepada perkara-perkara lain dari tersebut yang disunatkan juga sujud Sahwi. Perkara-perkara tersebut disebut Syeikh Daud al-Fathani dalam kitabnya, ringkasan adalah berikut: 

1) Memanjangakan rukun yang pendek dengan tidak sengaja. Adapun sekiranya sengaja adalah terbatal. Rukun pendek yang dimaksudkan adalah i) iktidal dan ii) duduk antara dua sujud.

Menurut al-Fadhil Ustaz, kedua-dua rukun pendek tersebut tidak boleh lama seperti rukun-rukun yang lain yang tiada hadnya. Had bagi Iktidal adalah berdiri tidak boleh lebih dari seolah-olah membaca al-Fatihah. Bagi duduk antara dua sujud pula adalah separu dari al-Fatihah.

2) Bercakap/ Berkata-kata dengan sedikit. Sedikit yang dimaksudkan adalah tidak lebih dari 6 perkataan/ kalimah. Hal ini diqiaskan dari kisah sahabat Rasulullah SAW, iaitu Zil-Yadain, yang menegur Baginda yang kurang rakaat semasa solat. Diringkaskan, setelah berlaku perbualan yang singkat antara Baginda dan Zil-Yadain, maka Rasulullah terus sambung rakaat solat tersebut, tanpa memulakan solat semula. 

3) Termakan/ terminum sedikit dengan tidak sengaja.

4) Melebihkan rakaat kerana terlupa.

5) Memindahkan rukun Qauli, contohnya membaca Surah Fatihah pada Ruku' atau Sujud. Seandainya terlupa sekalipun, ianya tidak membatalkan sembahyang kerana berkait dengan tahaffuz.

6) Syak meninggalkan sunat-sunat Ab'adh tertentu, seperti Qunut Subuh atau Tasyahud Awal.

7) Syak tentang rakaat dalam sembahyang.

Penutup pengajian, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa menurut ulama terdapat lebih 6000 masalah-masalah berkaitan sembahyang. Maka Ustaz menasihatkan agar dititikberatkan soal sembahyang ini, di samping sembahyang ianya adalah amalan yang awal akan dihisab. Wallahu a'lam.

Tuesday, July 30, 2013

TURATH ULAMA - Kitab Faridatul Faraid (Sifat ke-10- Hayat)


Alhamdulillah siaran TURATH ULAMA berlangsung seperti yang dijadualkan, iaitu setiap hari Isnin dan Rabu jam 6.30 pagi, di saluran RTM TV1. Untuk siaran pagi semalam -Isnin/ 20 Ramadhan- disambung pula pengajian kitab Faridatul Faraid (Karya Syeikh Ahmad al-Fathani) yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Hashim al-Hadhrami.


Sedikit perkongsian - Pengajian disambung dengan sifat wajib bagi Allah yang kesepuluh iaitu 'Hayat'. Sifat Hayat diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh pengarang kitab (Syeikh Ahmad al-Fathani) sebagai 'hidup'. Di sini, al-Fadhil Ustaz Azhar membuat perbandingan dengan terjemahan oleh pengarang kitab Bakurah al-Amani (Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathani/ Pak Da 'el) sebagai 'penghidup'.


Melihat kepada perbezaan kedua ulama tersebut, terselit pengajaran yang wajar diambil. Menurut al-Fadhil Ustaz, pertikaian tersebut tidaklah sepatutnya kita meletakkan mana yang benar atau salah, kerana kedua-duanya dikenali sebagai ulama besar Melayu. Kita harus melihat perbezaan tersebut dengan pandangan yang beradab tanpa mempertikaikannya. Contoh dalam sifat 'Hayat' ini, Syeikh Ahmad menterjemahkan atas jalan lazim, manakala Pak Da 'El pula menterjemahkan atas jalan sifat, kerana terjemahan mereka berbeza. 

Dengan cara ini, selamatlah kita dalam beradab dengan ulama, kerana adab adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan.

Wallahu a'lam.

Thursday, July 25, 2013

Facebook Rasmi Khazanah Fathaniyah

Assalammu'alaikum Wrt Wbt.

Alhamdulillah pada 9 Ramadhan yang lalu facebook untuk Khazanah Fathaniyah baru didaftarkan. Moga dengan bertambah rangkaian saluran komunikasi ini memudahkan pelbagai pihak untuk berhubung dengan kami, di samping menyebarluaskan lagi makluman-makluman terkini dari Khazanah Fathaniyah. InsyaAllah pengemaskinian terkini berkaitan Khazanah Fathaniyah akan dimaklumkan juga melalui facebook tersebut. 

Oleh itu, dijemput untuk menjadi rakan facebook Khazanah Fathaniyah : Klik di sini. 

* Makluman Ulangan - Khazanah Fathaniyah telah berpindah ke lokasi baru, beralamat berikut: 

No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200, KL
(Atas KK Mart 24 Jam).
No. Tel : 03-4265 6444 / No. Faks: 03-4265 6446.

Berkenaan lokasi lama iaitu di Taman Melewar (Dewan Syeikh Daud al-Fathani) pula, insyaAllah akan dipenuhi dengan kelas pengajian kitab, di samping aktiviti-aktiviti lain, khususnya membabitkan  persatuan PENGKAJI.

Wassalam. 

Wednesday, July 24, 2013

Ringkasan TURATH ULAMA (Kitab Munyatul Mushalli)


Alhamdulillah hari ini -15 Ramadhan- siaran TURATH ULAMA disambung dengan pengajian kitab Munyatul Mushalli, dalam fasal 'Hikmah dan Kesempurnaan dalam Sembahyang' disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Saad.


Di awal siaran, al-Fadhil Ustaz menjelaskan tiga kemuliaan (Karamah) bagi orang yang sembahyang iaitu:
(Riwayat daripada Hasan Basri R.A, daripada Rasulullah SAW, bahawasanya bersabda: "Bagi orang yang sembahyang itu tiga karamah")*

1) Berteraburan kebaikan/ kebajikan ke atas kepalanya (orang yang mengerjakan sembahyang) dari langit.
2) Malaikat berkeliling dari dua tapak kakinya (orang yang mendirikan sembahyang) hingga langit ke-3.
3) Malaikat menyeru andai seseorang itu tahu akan segala kemuliaan melaksanakan sembahyang, nescaya tidak berhenti seseorang itu dari mengerjakannya.

Seterusnya dibicarakan mengenai sunat dalam memberi Salam, dan perkara-perkara berkaitan sunat Hai'at dan Ab'adh. Secara ringkasnya berkaitan Salam, adalah lebih utama diniatkan memberi Salam kepada para Malaikat, dilanjutkan dengan jemaah yang sembahyang bersama dan juga kepada jin (Jin Islam).

Manakala berhubung perkara Sunat Hai'at dan Ab'adh, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa Sunat Ab'adh akan menyebabkan pahala sembahyang berkurang andai ditinggalkan, kerana itu digantikan dengan sujud Sahwi, dan sebaliknya pula pada Sunat Hai'at yang mana pahala tidak akan terjejas (berkurang), tetapi pelaksanaannya adalah bertujuan 'mencantikkan' sembahyang. 

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat. 

* Sumber: Munyatul Mushalli -Pengetahuan Sembahyang Masyhur- Syeikh Daud al-Fathani, terbitan edisi Rumi, 1991.

Thursday, July 18, 2013

Lokasi Baru Khazanah Fathaniyah

Assalammu'alaikum Wrt. Wbt,

Alhamdulillah telah masuk 9 hari Ramadhan. Mengambil sempena bulan yang penuh barakah ini, sukacita dimaklumkan bahawa bermula bulan Julai ini, Khazanah Fathaniyah telah beroperasi di lokasi yang baharu, beralamat  seperti berikut:

No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8, 
Taman Setiawangsa, 54200 KL.
(Atas KK Mart 24 Jam)
No Tel: 03-4265 6444 / No Faks : 03-4265 6446 Facebook: Khazanah Fathaniyah

InsyaAllah lokasi ini akan dibuka setiap hari (7 hari seminggu), bermula jam 10 pagi-5.30 petang. Dipersilakan!.

Monday, June 17, 2013

Makluman

Assalammu'alaikum Wrt. Wbt.

Sebagai pembuka kata, kami memohon berbanyak-banyak kemaafan bagi yang telah menghantar emel, yang tidak dibalas dan direspon lagi, sama ada berbentuk pertanyaan atau pesanan kitab-kitab. Setelah diteliti, begitu banyak email yang masuk, dan terdapat pula yang masuk ke bahagian 'spam' yang dikirakan email yang penting. InsyaAllah hal ini akan cuba diperbaiki, dan dibalas secara berperingkat. Mohon maaf atas segala kesulitan.

Sebagai makluman juga, pesanan melalui email ditutup buat sementara waktu, dan akan dibuka kembali pada 1 Julai 2013 ini, kerana proses pengemaskinian laman web Khazanah Fathaniyah.

Seterusnya, kini kami dalam proses ulangcetak terbitan-terbitan Khazanah Fathaniyah.  InsyaAllah sebarang pengemaskinian terbaharu, akan dimaklumi kembali.

Sekali lagi, pihak kami memohon berbanyak-banyak kemaafan akan segala permasalahan dan kesulitan.
Wassalam.