Friday, October 29, 2010

Ibadah Korban

Firman Allah SWT yang bermaksud,
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37)

Bersempena menyambut Aidil Adha tahun ini, InsyaAllah kami dari persatuan PENGKAJI akan mengadakan majlis bersempena ibadah korban ini. Oleh itu, kami mengalu-alukan penyertaan dari Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, terutama dari ahli-ahli jemaah persatuan PENGKAJI sendiri agar turut bersama-sama menyertai ibadah korban yang bakal dianjurkan nanti. Berikut disertakan maklumat yang berkaitan:
  • Satu bahagian : RM380 (Anjuran PENGKAJI- yang akan diadakan di Kampung Padang Balang (Kawasan rumah Hj. Azhar) pada hari Khamis, 11 Zulhijjah, bersamaan 18 November 2010, bermula 8.30 pagi).
  • Satu bahagian : RM300 (Korban di Patani, oleh al-Fadhil Tuan Guru Baba Haji 'Abdul 'Aziz)

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi terus : 

1. Abdul Halim (013-3564496)
2. Fo'ad Kastamam (019-2375675)

Sunday, October 03, 2010

Jemputan Aidilfitri

Assalammu'alaikum Wr. Wbt dan Salam Aidilfitri

Dengan hormatnya, kami dari Persatuan PENGKAJI menjemput tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian menghadiri majlis silaturrahim sempena Aidilfitri ini, dan butirannya adalah seperti berikut:

 Hari dan Tarikh :
Ahad (3 Oktober 2010)
 Tempat :
Dewan Syeikh Daud al-Fathani, Taman Melewar, Kuala Lumpur (klik di sini untuk lokasi)
Masa :
Bermula maghrib (berjamaah)
Agenda Majlis :
Tazkirah khas oleh al-fadhil Tuan Guru Baba 'Abdul 'Aziz as-Shafi'ee

Maklumat lanjut, boleh hubungi : Abdul Halim - 013-3564496

Kedatangan tuan-tuan dan puan-puan sangatlah dialu-alukan, sekian, terima kasih.


Sunday, August 22, 2010

Wakaf Kitab

Alhamdulillah, dua buah lagi kitab turats telah pun diulang cetak kembali, atas tujuan terdapatnya banyak permintaan terhadap karya ulama-ulama terkenal di alam Melayu itu. Kitab yang dimaksudkan adalah kitab (i) Munyatul Mushalli : Pengetahuan Sembahyang Masyhur karya al-'Alim Syeikh Daud al-Fathani, dan (ii) Faridatul Fara'id fi Ilmi 'Aqaid karya Syeikh Ahmad al-Fathani. 

Faridatul Faraid fi 'Ilmi 'Aqaid

Munyatul Mushalli : Pengetahun Sembahyang Masyhur

Adapun penerbitan kitab ini adalah berupa kitab wakaf, yang mana ianya akan diedarkan ke sekalian tempat-tempat pengajian sama ada di pondok-pondok pengajian, masjid, surau mahupun kelas-kelas pengajian yang mempelajari kitab-kitab tersebut. Alhamdulillah tahun-tahun sebelum ini sebanyak 25 ribu unit setiap kitab telah diwakafkan, sekaligus  habis diedarkan ke tempat-tempat yang dikenalpasti, yang bukan sahaja meliputi Malaysia, malah turut diedarkan ke Patani, Kemboja, dan Indonesia.

Seperti yang dimaklumi di atas, disebabkan kedua-dua kitab tersebut masih banyak permintaan dari pelbagai pengajian, maka untuk tahun ini kami mengulang cetak kembali sebagai usaha untuk memenuhi keperluan tersebut. Oleh itu, sempena di bulan yang penuh keberkatan ini, kami ingin war-warkan sekiranya Tuan-tuan / Puan-puan yang dihormati sekalian berhajat mahu mewakafkan kedua-dua kitab tersebut, boleh menghubungi kami seperti berikut :

No. Tel Pejabat : 03-6189 7231/
Abdul Halim : 013-3564496/
Azrul : 016-3520094

Untuk makluman juga, sepanjang bulan Ramadhan ini, kami  boleh diketemui di UIA, Gombak (dataran masjid) dan mengadakan jualan serta wakaf kitab, bermula 16 Ogos hingga 5 September ini. Potongan sebanyak 20% untuk kesemua terbitan Khazanah Fathaniyah  (kecuali kitab wakaf) sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, terdapat juga beberapa kitab lain terbitan Khazanah Fathaniyah yang dikategorikan sebagai kitab wakaf. Untuk selanjutnya, klik di sini.

Sekali lagi, selamat menyambut dan mengimarahkan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Sekian.

Thursday, August 19, 2010

Ulang Cetak Baharu: PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DI DUNIA MELAYU

Salam Ramadhan buat semua muslim dan muslimat.

Lebih sebulan blog ini tidak dikemaskini disebabkan terjadinya masalah-masalah teknikal tertentu, malah beberapa emel juga belum dapat dibalas sepenuhnya. Pihak kami memohon maaf atas perkara ini, dan InsyaAllah ianya akan diperbaiki dari masa ke semasa.

Alhamdulillah, pada hari Sabtu yang lalu (7 Ogos), sebuah lagi karya Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah diulang cetak, yang berjudul 'Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua di Dunia Melayu'. Terlebih dahulu sukacita dimaklumkan bahawa cetakan ini bukan dimodalkan oleh Khazanah Fathaniyah, ianya hasil dari individu luar, yang mana hampir keseluruhan pembikinan buku ini diselenggarakan oleh pihaknya, dari susun atur huruf, rekabentuk kulit, percetakan dan akhirnya siap menjadi sebegini. Alhamdulillah...

Harga : 
(S/Malaysia : RM 23.00) / (Sabah/Sarawak : RM 25.00)
ISBN : 978-983-9701-76-0

Dengan ini, terlebih dahulu pihak kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada individu terbabit atas usaha ini, yang mana ianya sesuatu memang tidak diduga oleh kami. Terima kasih yang  tak terhingga sekali sekali lagi.

Walaupun dibuat perubahan pada rekabentuk kulit, tetapi segala isi kandungan di dalamnya masih dikekalkan seperti yang asal. Tiada sebarang maklumat yang terkandung di dalamnya diubah, hanya beberapa pembetulan dari segi ejaan berdasarkan cetakan pertama.

Kulit buku cetakan pertama, tahun 1999.

Untuk sinopsisnya, berikut dipetik melalui muqaddimah penulis yang dikira lengkap menggambarkan matlamat buku ini dihasilkan berserta sejarah perdebatan khilafiyah dunia Melayu, juga dibicarakan isi kandungan buku secara ringkas;

PERTIKAIAN pendapat dan khilafiyah dalam Islam, sama ada diakui mahu pun tidak, ia memang sejak lama berjalan. Sama ada disengaja atau pun tidak, sama ada mengelak apatah sengaja aktif berkecimpung pada perkara itu, jika kita melibatkan diri dalam aktiviti keislaman ternyata memang tidak dapat dielakkan. Dahulunya saya aktif mengikuti perkembangan khilafiyah di beberapa tempat yang terjadi di dunia Melayu ini, di mana saja forum atau seminar khilafiyah saya akan datang. Pandangan saya dari dulu sampai sekarang sama saja, iaitu saya tidak semestinya berpihak dengan satu pihak.
Sejak akhir-akhir ini saya memang tidak berminat lagi mengikuti pertikaian pendapat. Saya berfikir bahawa masih banyak pekerjaan yang perlu, yang tidak melibatkan khilafiyah, untuk disumbangkan kepada kepentingan umat Islam. Memang pertikaian pendapat menyalah-nyalahkan orang atau pihak lain lebih banyak merugikan perpaduan ummah. Akan tetapi pada saat-saat saya berusaha untuk tidak melibatkan diri dengan perkara khilafiyah, saya diundang oleh pihak tertentu untuk kembali mempersoalkan perkara-perkara yang jauh sebelum ini diperdebatkan orang. Undangan itu disampaikan kepada saya setelah mengajar malam Ahad, bertarikh 7 Rejab 1420 H/17 Oktober 1999 M, yang disampaikan oleh salah seorang ahli pengajian. Dia menyerahkan sebuah buku kepada saya, yang memang diketahuinya bahawa dalam buku yang tersebut memang terdapat sedikit kritikan terhadap buku-buku saya. Buku yang dihadiahi itu ialah ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’, judul kecil di bawahnya ‘Misteri Nur Muhammad, Teori Martabat Tujuh dan Rahsia Kitab Berzanji’ (Prosiding Seminar, diterbitkan oleh Badan Perkhidmatan Penerangan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (BPPI), cetakan pertama, Jun 1999).
Oleh hal-hal yang tersebut di atas, saya berasa wajib membela diri. Dengan waktu yang mesti diburu, maka saya selesaikanlah buku ini yang saya beri judul ‘PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DUNIA MELAYU’. Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘ALAF KEDUA’  ialah dalam lingkungan dari 1 Januari 1001 M hingga 31 Disember 1999 M. Perdebatan perkara khilafiyah Islam di dunia Melayu telah berjalan sejak abad ke 16-17 M, iaitu bermula dari Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengkritik ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam perkara Tasawuf.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan berdebat kepada kedua-dua ulama dan tokoh shufi itu, kerana pada ketika itu kedua-duanya telah meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri tiada perlawanan, sempat menyelesaikan beberapa kitab yang memfokuskan sektor shufi sehingga benar-benar dipandang salah tanpa ada pembelaan. Tiba-tiba muncullah seorang shufi bernama Syeikh Saifur Rijal yang mampu berdebat dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Setelah diadakan pertarungan debat terbuka, manakala Sultanah Acheh Shafiyatuddin pula tidak berpihak dengan sesuatu pihak, ternyata Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak mampu berhujah melawan Syeikh Saifur Rijal. Akibat peristiwa itulah Syeikh Nuruddin ar-Raniri terpaksa meninggalkan Acheh, lalu pulang ke negerinya India.
Demikianlah salah satu di antara perjalanan debat pada abad ke 16-17. Pada abad ke 19-20, perdebatan masalah khilafiyah menjelma kembali, bukan masalah shufi saja tetapi berbagai-bagai masalah termasuk fiqh Syafi’iyah dan ‘aqidah Ahlis Sunnah wal Jama’ah aliran Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi.
Untuk perdebatan yang ada sekarang, saya mulai dengan kenyataan Syeikh Khatib ‘Ali, kata beliau, “Ketahui olehmu bahawasanya fatwa-fatwa yang batal telah masuk ke negeri Minangkabau dan lain-lain negeri Hindiyah iaitu mulai pada masa tahun hijrah Nabi kita Muhammad SAW 1330 bersetuju dengan tahun Masihi 1912. Asalnya terbit daripada Rasyid Ridha Shahib Al-Manar, Kaum Wahhabiyah di Mesir. Dikembangkan oleh setengah beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya oleh setengan beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya daripada Al-Manar itu. Maka datang kitab Khiththah al-Mardhiyah karangan Syeikhuna asy-Syeikh Ahmad Khatib Imam asy-Syafi’iyi Makkah al-Musyarrafah buat menolaknya. Dan datang pula kitab Syawahid al-Haq dan Jawahir al-Bihar karangan Syeikh Yusuf an-Nabhani Ra’su Mahkamah Beirut…. Sekalian kitab-kitab yang tersebut itu menerangkan sesat dan batalnya fatwa-fatwa yang menyalahi mazhab yang empat. Maka berusaha pula al-haqir Muhammad ‘Ali Khatib buat mengarang kitab yang bernama Burhan al-Haq dan mengeluarkan Shuluh Melayu buat menolak segala fatwa-fatwa yang batal itu…. “.
Isu yang tersebutlah yang berjalan terus di dunia Melayu tanpa hentinya hingga sekarang ini, penghujung alaf kedua. Baik peristiwa pada abad ke 16-17 atau pun peristiwa abad ke 19-20 masih dalam lingkungan alaf yang kedua. Oleh sebab alaf yang kedua Masihi berakhir, judul buku ini saya sebut “PENUTUP ….”. Sekarang kita memasuki alaf yang ketiga Masihi, kita semua belum dapat meramalkan perdebatan Islam dalam bentuk apa pula akan terjadi sepanjang alaf itu. Oleh sebab saya yakin buku ini akan menjadi rujukan orang-orang sependapat dengan saya di dunia Melayu mulai sekarang (penghujung alaf yang kedua), sepanjang alaf yang ketiga dan alaf-alaf yang berikutnya, maka setiap terbitan ulangan buku ini (selagi saya hidup), akan saya tulis penambahan-penambahan kandungannya.
Buku yang diterbitkan sekarang ini sebenarnya masih belum lengkap. Tulisan tokoh-tokoh tertentu yang segenarasi dengan saya yang mempersalah-salahkan ulama silam dunia Melayu, yang tulisannya telah sampai kepada saya, sebenarnya telah saya tanggapi. Telah saya selesaikan bantahan terhadapnya dalam alaf yang kedua tetapi masih belum diterbitkan, terpaksa diterbitkan dalam alaf yang ketiga. Oleh sebab itulah, maka saya jadikan tambahan dalam buku ini juga untuk penerbitan-penerbitan ulangan. Sebab-sebab belum diterbitkan ialah kerana memelihara hubungan baik peribadi antara saya dengan tokoh-tokoh yang bersangkutan. Akan tetapi setelah saya berfikir dan terus berfikir, bahawa mereka tidak menjaga nama baik ulama-ulama yang telah berjasa.  Sedangkan mereka demikian adanya, maka tiada perlulah saya masih bertahan untuk tidak menerbitkan pemikiran saya yang membela ulama-ulama silam kita.
Insya-Allah, saya pastikan, sama ada dalam waktu terdekat atau teratur menurut jadwal akan saya terbitkan jua. Bahawa kita berada sekarang ini, kalaulah bukan kerana perjuangan yang gigih ulama-ulama silam kita, agama apa yang kita anut atau tahap pengenalan kita terhadap agama Islam belum tentu seperti yang ada sekarang ini. Orang-orang tertentu telah mencemarkan nama ulama-ulama silam, sedangkan setiap ulama mempunyai keturunan nasab dan keturunan murid yang sekian ramai sekaligus meninggalkan karangan-karangan berupa risalah dan kitab sebagai pedoman.
Kitab-kitab peninggalan mereka pula dipersalahkan atau pun diharamkan mempergunakannya. Tanpa disedari orang-orang tertentu tadi memutuskan tali silaturrahim antara ulama silam yang terkenal dengan keturunan nasab dan jalur murid-murid mereka dari atas hingga sekarang ini, jika propaganda pihak-pihak tertentu tadi diterima oleh mereka. Atau pun keturunan nasab ulama dan keturunan murid-murid pada mulanya menjadikan karangan ulama silam sebagai pegangan, tetapi setelah membaca tulisan-tulisan orang tertentu yang menyalahkan atau pun mengharamkan tadi, mereka memandang kitab-kitab itu sangat jijik, kerana percaya dengan tuduhan, bahawa kitab-kitab itu penuh dengan kesesatan, bid’ah dan khurafat.
Mereka yang pandai menyalahkan atau pun mengharamkan ternyata tiada mampu menghasilkan karya yang berpengaruh dalam masyarakat sejagat dunia Melayu. Tanpa mereka sedari, walaupun mereka mengaku bahawa mereka akan memurnikan Islam, sebenarnya adalah sebagai virus kanker perusak dan pemusnah aliran Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Dan sekaligus sebagai perusak dan pemusnah khazanah pengkaryaan Melayu-Islam yang telah dihasilkan ulama-ulama Melayu yang telah digunakan oleh masyarakat Islam di rantau ini sejak sekian lama.
Selanjutnya dalam buku ini terdapat dua judul. Selain PENUTUP PERDEBATAN ISLAM DI DUNIA MELAYU ALAF KEDUA, judul lainnya adalah SUMBANGAN SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATHANI KEPADA PENGAJIAN FIQH SYAFI’IE DI ASIA TENGGARA. Judul ini adalah merupakan kertas kerja saya dalam Nadwah Ilmiah Tokoh Ulama Peringkat Kebangsaan Kali Keempat (SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATANI) anjuran bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademi Islam Universiti Malaya, 11-13 Jamadilakhir 1412 H/ 17-19 Disember 1991 M. Kertas kerja yang tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk buku.
Digabungkan penerbitannya dengan judul yang pertama adalah tepat pada waktunya kerana lebih memperkuat dan menyerlahkan bukti keulamaan dan ketokohan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani setelah karya beliau dikecam dalam buku berjudul ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’ yang telah disebutkan pada awal muqaddimah ini. Kertas kerja mengenai sumbangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah penting sebagai pedoman untuk menghadapi khilafiyah dalam bidang fiqhiyah Syafi’iyah pada masa-masa yang akan datang.
Sekian saja kata pengantar/ muqaddimah pada terbitan yang pertama ini, mudah-mudahan perkara ikhtilaf dalam mazhab dan firqah Islam yang dibicarakan ini menjadi rahmat, janganlah hendaknya perpecahan ummah menjadi yang lebih besar.

Diselesaikan di Kuala Lumpur

Pada Selasa, 15 Sya’ban 1420 H
                     23 November 1999 M

Wassalam,
Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah
 
Sekian, semoga mendapat manfaat darinya, dan sekali lagi pihak kami mengucapkan selamat menyambut dan mengimarahkan Ramadhan yang mulia ini, semoga Ramadhan tahun ini dikurniakan rahmat dan keberkatan dari-Nya. Ameen.


Tuesday, July 13, 2010

Israk Mikraj dan Kebangkitan Ummah - Siri 3


PENGERTIAN  ISRA' ( إسـراء)
Dalam Jumanatut Tauhid, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis sebagai berikut,


اُسْـرِىْ بِذَا الـنَّـبِـىْ مِنَ الْحَرَامِ
لَيْلاً عَلَـى الْـبُرَاقِ ذِى اللّـِجَامِ

لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدهُ عُـرِجْ
بِهِ إِلَـَى السَّـبْعِ الْعُلَـى لِـيَبْتَهِجْ
 
Maksudnya:
Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid al-Haram,
ketika malam di atas buraq yang mempunyai kekang

ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu baginda dinaikkan, 
sertanya pada tujuh kemuliaan bagi menggembirakan

Yang dimaksudkan dengan isra' ( إسـراء) ialah Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid al-Haram Makkah ketika malam di atas buraq yang mempunyai kekang ke Masjid al-Aqsha di Bait al-Maqdis.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Ward az-Zawahir, menegaskan bahawa orang yang ingkar akan isra' kufur ia karena mendustakan Quran. Menurut beliau pula bahawa tiada kufur yang berkata, Adalah  isra' pada tidur juga, karena beberapa jamaah berkata mereka itu, Adalah pada tidur jua, seperti Siti Aisyah dan Muawiyah  ...  (Ward az-Zawahir, hlm. 168). Dalam  Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani, menyebut,  Ada pun di dalam  tidur, maka telah jatuh bagi Nabi S.A.W tiga puluh tiga kali. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menjelaskan tentang terjadi Isra', ialah, ..pada tahun yang kedua belas daripada Nubuwah, dahulu daripada berpindah ke Madinah dengan setahun, dijalankan dengan dia Shallallahu alaihi wa Sallam ke Bait al-Maqdis daripada dalam Hijir atawa daripada rumah Ummu Hani' saudara Saiyidina Ali bin Abi Thalib. Iaitu rumah yang dijadikan mesjid, yang tersembunyi sekarang ini, antara Bab  al-Wida' dan Bab al-Jiyad ... .

Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Badr at-Tamam pula, tentang terjadi Isra' dan Miraj,  "Dan yang demikian itu pada malam Sabtu, tujuh likur daripada bulan Rabiul Awwal. Dan kata qil, pada bulan Rejab, dan atas qaul ini [di]amal[kan] sekarang ini. Dan kata qil, lain daripada [yang] demikian itu(hlm. 16). Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut terjadi pada bulan Rabiul Awwal barangkali merujuk Syarh Muslim oleh Imam Nawawi, yang juga disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani dalam Al-Kaukabud Durri fin Nuril Muhammadi  (hlm. 25). Dari kenyataan ini dapat diambil kesimpulan bahawa tarikh dan bulan peristiwa Isra' dan Miraj juga  terjadi pertikaian pendapat ahli sejarah, namun yang digunapakai di seluruh dunia termasuk dunia Melayu dari dulu sampai sekarang ialah pada 27 Rejab. Tarikh 27 Rejab ini juga disebut oleh Imam Nawawi dalam Raudhah

PENGERTIAN MIRAJ ( مـعـراج)
Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengungkapkan peristiwa Isra' dan Miraj dalam beberapa bait syair di bawah ini, katanya dalam Jumanatut Tauhid,


لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدهُ عُـرِجْ
بِهِ إِلَـَى السَّـبْعِ الْعُلَـى لِـيَبْتَهِجْ
 
Maksudnya:
ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu baginda dinaikkan, 
sertanya pada tujuh kemuliaan bagi menggembirakan

Dalam Munjiyatul Awam, Syeikh Ahmad al-Fathani menggunakan kalimat


لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدَ ذَا الْعُـرُوْجِ
إِلَـى السَّمَآءِ فَـفَـتَحُوْا لَـهُ الْـبُـرُوْجْ
 
Maksudnya:
ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu ada tangga-tangga naik, 
kepada langit, maka mereka membuka bagi Nabi akan buruj

Puisi yang pertama (Jumanatut Tauhid) digunakan  perkataan  عُـرِجْ (urij)  bermaksud "dinaikkan". Dalam puisi yang kedua (Munjiyatul  ‘Awam) digunakan perkataan  ذَا الْـعُرُوْج (zal uruj) bermaksud "ada tangga-tangga naik". Dalam puisi yang kedua Syeikh Ahmad al-Fathani  menggunakan perkataan   الـسَّـمَـآء(as-sama') "langit".  Pada konteks ini ada persamaan dengan tulisan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani menyebut dalam Al-Kaukab Ad-Durri bahawa "penaikkan yang kedua Miraj ( مـعـراج)". Beliau menulis, Maka mengambil Jibril dengan tangannya kepada pihak shakhrah, dan ia menyeru,  Ya Ismail(1), ulurkan miraj ! Yakni tangga. Maka dibawa datang dengan dia  daripada Firdaus  ... Tulis beliau lagi, ... seelok-elok sesuatu yang dijadikan oleh Allah, umbinya di atas shakhrah, dan kepalanya pada langit dunia.  Baginya seratus anak tangga daripada emas, dan perak,  dan  zabarjad, dan yaqut, dan kasturi, dan anbar ... (2)  Pada halaman berikutnya beliau tulis, [Sabda Nabi S.A.W], Kemudian senantiasa aku naik satu tangga, kemudian daripada satu hingga adalah aku  pada setinggi-tinggi tangga. Maka aku mendengar akan Malaikat mengucap tahlil, dan tasbih mereka itu, dan taqdis mereka itu akan Allah Taala  ... (3)  Dari kalimat yang dipetik dari Al-Kaukab Ad-Durri ini dapat diketahui bahawa perjalanan yang menggunakan Buraq hanyalah dari Makkah ke Baitul Maqdis saja, dari Baitul Maqdis menuju ke langit adalah menaiki tangga yang dinamakan Miraj ( مـعـراج).  Langit adalah tujuh lapis, enam lapis namanya  disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani  dalam Al-Kaukab Ad-Durri ialah:
1.  Langit dunia/langit yang pertama  بـرقـيـعا  (Barqian).  
2.  Langit yang kedua tidak disebut namanya
3.  Langit yang ketiga  الـماعـون(Al-Maun).  
4.  Langit yang keempat  فـيـلون(Filun).  
5.  Langit yang kelima  اللاحقون(Al-Lahiqun).  
6.  Langit yang keenam  عـاروس(Arus).  
7. Langit yang ketujuh الـرفـيع(Ar-Rafi), Al-Kaukab Ad-Durri, hlm.   16 - 17(4).  

Pada hujung puisi yang kedua (Munjiyatul Awam) digunakan perkataan  ذَا الْـعُرُوْج (zal uruj)  untuk padanan sebelum perkataan   الْـبُرُوْج(al-buruj). Al-Buruj boleh diertikan dengan "bintang-bintang". Perkataan "al-buruj" boleh juga diertikan dengan "benteng-benteng pertahanan yang kukuh", "gedung-gedung yang besar", dan  lain-lain. Sewaktu menulis  kalimat :   


إِلَـى السَّمَآءِ فَـفَـتَحُوْا لَـهُ الْـبُـرُوْجْ



Kemungkinan  Syeikh Ahmad al-Fathani mengkaitkan dengan ayat 1, surah al-Buruj, dalam al-Quran, ialah    :     
وَالسَّمَآءِ ذَاتِ الْـبُرُوْجِ



 Maksudnya:Demi langit yang mempunyai bintang-bintang besar. Berdasarkan dari Ibnu Abbas R.A, dan lain-lain Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani menulis tentang langit dengan sangat panjang, di antara tulisan beliau, Dijadikan [oleh] Allah akan tujuh petala langit seperti beberapa kubah. Maka langit dunia diteguhkan segala pihaknya  dengan langit yang kedua. Dan langit yang kedua dengan langit yang ketiga. Dan demikianlah hingga kepada yang ketujuh. Dan yang ketujuh dengan Arasy ... Dan dijadikan matahari pada langit yang  keempat  ...(5). Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dalam Al-Kaukab Ad-Durri juga menulis, Dan dijadikan bintang-bintang atas dua bagi[an]. Setengah daripadanya tergantung pada langit seperti tergantung segala kandil pada masjid. Dan setengah daripadanya dilekatkan dia seperti dilekatkan permata pada cincin. Dan adalah ia  serta banyaknya, bersalah-salahan segala rupanya, tiada dijadikan [oleh] Allah akan satu bintang atas rupa satu bintang. Dan tersebut pada setengah daripada akhbar (maksudnya: hadits-hadits, pen:), [bahawa] tiada ada daripada binatang yang pada bumi, dan tiada binatang yang melata di bawah Arasy melainkan pada kejadian bintang ...(6).

Mengenai "bintang"  dijadikan dalam bentuk "binatang" juga ada persamaan dengan tulisan pelbagai pihak tentang nama-nama bintang di dalam buruj. Mengenai "al-buruj"  yang  terdapat 12 nama bintang di antaranya ada yang dinamakan dengan nama binatang yang ada di dalam dunia.

Syeikh Ahmad al-Fathani selain menyebut  "al-buruj" beliau juga pernah menggubah satu syair/puisi dalam bahasa Arab. Selain itu pada konteks ini Syeikh Ahmad al-Fathani juga telah mentashhih, mentahqiq dan mengarang beberapa buah kitab mengenai ilmu falak juga dalam bahasa Arab. Dalam ilmu perbintangan (Astronomi atau pun Astrologi) pada konteks "al-buruj" terdapat 12  bintang, ialah:
1. اَلأَسَدُ                  = Leo
2.  اَـثَّوْرُ                 = Taurus
3.  اَلْـجَدْيُ               = Capricornus
4.  اَلْجَوْزَاءُ              = Gemini
5.  اَلْـحَـمَلُ               = Aries
6.  اَلْـحُوْتُ               = Piscers
7.  اَلـدَّلْوُ                = Aquarius
8.  اَلـسَّرَطَانُ           = Cancer
9.  اَلـسُّنْبُلَةُ        = Virgo
10.  اَلْـعَقْرَبُ          = Scurpio
11.  اَلْـقَوْسُ وَالرَّمِـى= Sagitarius
12.  اَلْـمِـيْزَانُ          = Libra

Sebagaimana telah dinyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani, menyebut,  Ada pun di dalam  tidur, maka telah jatuh  bagi Nabi S.A.W tiga puluh tiga kali. Pendapat ini ada persamaan dengan yang disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Ward az-Zawahir, beliau menulis, Bahawasanya Miraj berulang-ulang kali, sekali dengan tubuhnya daripada Makkah dan sekali dengan ruhnya daripada Madinah. Walau bagaimana pun Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsir dan menegaskan, Bermula yang shahihnya, barang yang kami kata bahawasanya dengan jaga, dan dengan ruh, dan jasad daripada Masjid al-Haram kepada Masjid Aqsha dengan dalil kitab dan sunnah, dan ijma. Kemudian naik ia kepada langit, kepada syurga, dan kepada Mustawa, atau kepada Arasy, atau kepada atas  Arasy(7).

Sebagai pelengkap maklumat rasanya baik juga saya salin perkataan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam karya yang ditulis dalam bahasa Arab, merupakan syarah karya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, katanya, : 
 "فـيجب إعتقاد أنه صلى اللّه عليه وسلم أسرى به ليلا من الـمكة إلـى بيت الـمقدس


Maksudnya, Wajib itiqad sesungguhnya Nabi S.A.W diperjalankan ketika malam dari Makkah ke Bait al-Maqdis”. Beliau sambung kalimatnya, katanya:
وأنه عرج به من بيت الـمقدس إلـى السموات السبع إلـى سدرة الـمنتهى 

Maksudnya,  Dan dinaikkan dari  Bait al-Maqdis ke langit tujuh ke Sidratil Muntaha”. Beliau  sambung  lagi, katanya : إلـى الكرسـي إلـى مـستـوى سـمع فيه صـريف الأقلام Maksudnya,  naik  ke Kursi, naik ke Mustawa, di sana baginda mendengar qalam-qalam menulis”.  Beliau sambung lagi, katanya:

 إلـى الـعرش وأنه كلمه ربه فـي هذه الليلة ورأى ربه فيها بعينـي رأسه

Maksudnya,  naik  ke Arasy. Dan sesungguhnya baginda berkata-kata akan Tuhannya pada malam tersebut, dan baginda melihat Tuhannya dengan kedua-dua mata kepalanya(8). Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Badr at-Tamam juga sependapat dengan yang disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu dan Syeikh Nawawi al-Bantani itu, katanya,Dan dinaikkan dengan dia ke langit hal keadaannya jaga.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa tujuh langit dilalui adalah menggunakan anak tangga ghaib, namun adalah berbeda dengan perjalanan dari langit yang ketujuh menuju Sidratul Muntaha. Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dalam Al-Kaukab Ad-Durri menamakannya dengan "penaikkan yang keempat sayap Jibril Alaihis Salam"(9). Sesudah itu ada lagi "penaikkan yang kelima Ar-Rafraf menuju ke Qaba Qausain"(10). Iaitulah perjalanan selanjutnya Nabi Muhammad S.A.W tidak lagi bersama Malaikat Jibril, kerana baginda dinaikkan ke Sidratul Muntaha, menuju Mustawa, mendengar Qalam yang bertugas menulis(11) di Lauh al-Mahfuzh tanpa hentinya.