Friday, November 28, 2014

Seminar & Pelancaran Kitab Terjemahan Tafsir Pertama Alam Melayu; TURJUMAN AL-MUSTAFID



Assalamu'alaikum, dengan ini Khazanah Fathaniyah menjemput bersama-sama memeriahkan sekaligus berkongsi pengetahuan/pandangan antara kita, sebagai satu usaha untuk mengangkat khazanah warisan kita yang berharga ini. Program adalah terbuka kepada umum dan tiada bayaran dikenakan, namun pendaftaran diperlukan. Pendaftaran sila klik di link ini: http://khazanahfathaniyah.com.my/pendaftaran-seminar/

===============
Tentatif program :
Tarikh : 13 Disember 2014 (Sabtu)
Tempat : Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Qur'an dan Sunnah, USIM, Nilai, Negeri Sembilan.

Tentatif Program :
v  Tentatif Program :

  • 8.30 – Pendaftaran peserta dan sarapan
  • 9.00 – Ketibaan tetamu-tetamu jemputan
  • 9.15 – Bacaan Doa
  • 9.20 – Ucapan Pengerusi PENGKAJI dan wakil dari Khazanah Fathaniyah (Tn Haji Abdul Rahman Bin Muhamed)
  • 9.30 – Ucapan dan Pelancaran oleh Dekan Fakulti Qur’an dan Sunnah, USIM.
  • 10.00 - Pertunjukan Slide Khazanah Ulama Nusantara
  • 10.15 – Pembentangan Kertas Kerja I : Pengenalan Biografi Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, oleh: al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi Abdullah) Moderator : Tn. Abdul Halim Bin Muhamed
  • 11.00 – Pembentangan Kertas Kerja II : Pengenalan kitab Turjuman al-Mustafid, oleh al-Fadhil Dr. Wan Nasyruddin bin Wan Abdullah dan al-Fadhilah Ustazah Norhaznira Ibrahim. Moderator : Ustaz Muhammad Hafiz bin Ahmad Tajudin.
  • 12.00  – Sesi Soal-Jawab/ Perbincangan
  • 12.30 – Bersurai dan jamuan makan.

===============
Penganjuran ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif yang digariskan berikut:

1) Menambahkan kefahaman serta menyebarluaskan pengetahuan berkenaan kitab, dan ketokohan pengarang kitab.

2) Agar dapat menggalakkan dan memulakan pengkajian ke peringkat seterusnya, seperti pentahqiqan dan penyelidikan dari pelbagai aspek lain dan sebagainya, hasil dari ringkasan dapatan-dapatan pembentangan.

3) Meningkatkan minat terhadap khazanah-khazanah ulama Nusantara, terutama melalui karya-karya sebagai cermin kegemilangan tamadun Melayu.

4) Memupuk rasa cinta dan menjana kesedaran masyarakat mengenai kepentingan karya-karya ulama kita sebagai warisan Negara.

5) Memartabatkan karya-karya ulama silam Melayu yang juga merupakan lambang keperibadian dan peradaban bangsa Melayu, sebagai sumber penting dalam penyelidikan.

===============
Pendaftaran - sila klik di link ini:
http://khazanahfathaniyah.com.my/pendaftaran-seminar/

Thursday, October 30, 2014

Ziarah Makam Wali Songo (17 hingga 21 Disember 2014)


Dijemput sertai ziarah bersama Khazanah Fathaniyah!
Buat pertama kali dibuka kepada umum, namun tempat adalah terhad.

Berikut dikongsikan maklumat berkaitannya:

TENTATIF AKTIVITI ZIARAH WALI SONGO (WALI SEMBILAN)
 
Hari Pertama :
- Ketibaan rombongan dari Kuala Lumpur – Lapangan Terbang JUANDA (Surabaya) (Pagi)
- Ziarah makam Sunan Ampel
- Melawat Masjid Cheng Ho
- Acara bebas (Beli belah barangan kulit di Tanggul Angin-Sidoharjo)
- Ziarah makam Sunan Giri
- Ziarah makam Maulana Malik Ibrahim
- Ziarah makam Sunan Drajad
- Menginap di Pantai Tuban

Hari Kedua :
- Ziarah makam Sunan Bonang
- Ziarah Petilasan Sunan Bonang
- Melawat Pondok Pesantren Gus Mus (KH Mustafa Bisri) ATAU Pondok Pensantren Sarang KH Maemun Zuber (Tertakluk kepada keizinan dan budi bicara, salah satunya)
- Ziarah makam Sunan Muria
- Ziarah makam Sunan Kudus
- Menginap di Kudus

Hari Ketiga :
- Ziarah makam Sunan Kalijaga
- Melawat Masjid Demak dan ziarah makam Sultan Demak
- Ziarah makam Syeh Jumadil Kubro
- Acara bebas (Beli belah dan makanan khas Jawa Tengah di Pandanaran Simpang Lima Pusat Oleh-Oleh Khas )
- Berangkat ke Cirebon, ziarah makam Sunan Gunung Jati
- Berangkat ke Bandung

Hari Keempat :
- Melawat Gunung Tangkuban Perahu
- Bertolak ke Jakarta
- Melawat tempat-tempat pelancongan di Jakarta seperti Masjid Istiqlal, MONAS dsb
- Menginap di Jakarta

Hari Kelima :
- Acara bebas (Beli belah di Mangga Dua)
- Melawat Masjid Kubah Emas
- Melawat PPPA Darul Qur’an (Ustadz Yusuf Mansyur) , Jakarta.
- Pulang ke Kuala Lumpur (Malam)

Berikut adalah keterangan tambahan :
I) BAYARAN
- Bayaran Pendahuluan - RM500.
- Bayaran Keseluruhan - RM1, 500
(Bakinya diselesaikan selewat-lewatnya 1 minggu sebelum keberangkatan)

II) PAKEJ ZIARAH
Pakej adalah termasuk perkara-perkara berikut:
- Tiket kapal terbang pergi dan pulang
- Kenderan perjalanan, termasuk sewa, minyak, tol dan upah pemandu
- Penginapan
- Cukai Airport di Jakarta
- Disediakan makanan ringan (seperti roti, keropok, air mineral) sekali setiap hari

*Tidak termasuk :
- Kos makan dan minum sepanjang perjalanan (makanan sampingan dan utama seperti nasi adalah tanggungan sendiri), namun persinggahan kedai makan tempatan setiap tempat akan diuruskan oleh pihak agensi.
- Beli belah barangan peribadi dan cenderamata

III) URUSETIA ZIARAH
Perjalanan diketuai oleh seorang ustaz dari Indonesia, seorang wakil dari Khazanah Fathaniyah, dengan bantuan seorang pemandu pelancong yang berpengalaman dari Indonesia.

IV) PERKARA LAIN
- Bagi yang berminat, pastikan tarikh luput passport lebih dari 6 bulan dari tarikh keberangkatan.
- Tempat penginapan/ Hotel adalah bertaraf dua atau tiga bintang.
- Kapal terbang : Airasia/ Malindo Air dan Lion Air.
- Untuk maklumat lanjut, sila hubungi terus Khazanah Fathaniyah :

KHAZANAH FATHANIYAH,
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200,
Kuala Lumpur. MALAYSIA.
No. Tel: +603-42656444 / No. Faks: +603-42656446.

Monday, October 27, 2014

Terbitan Terbaharu : Turjuman al-Mustafid, terjemahan Tafsir Baidhawi, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri


Alhamdulillah. Sebagai makluman kitab Turjuman al-Mustafid terjemahan Tafsir al-Baidhawi, oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri telah siap berada di pasaran.

Turjuman al-Mustafid, terbitan terbaharu Khazanah Fathaniyah 2014.

Kitab Turjuman al-Mustafid merupakan terjemahan Tafsir al-Qur'an yang pertama dan terawal di Alam Melayu, yang diusahakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Usaha untuk memperluaskannya pula diteruskan oleh ramai ulama, dengan melalui pelbagai peringkat, seperti pentashihan, penyalinan, percetakan dan sebagainya. Antaranya pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani (selain pentashihan bersama-sama ulama lain iaitu Syeikh Idris al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani), Syeikh Ahmad al-Fathani juga memperkembangkannya dengan menerbit sekaligus mencetaknya dengan bantuan Sultan Turki 'Uthmaniyyah pada zaman tersebut, iaitu Sultan Abd al-Hamid Khan al-Thani. Terkemudian dari itu, pentashihan juga dilakukan oleh ulama yang tidak asing lagi di Malaysia, yang juga penyusun Qamus al-Marbawi, Syeikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi al-Azhari. Manakala di peringkat penyalinan pula, disalin oleh Baba Daud al-Jawi bin Ismail Agha Mustafa Bin Agha Ali al-Rumi, dan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (atau lebih terkenal digelar Tok Ku Pulau Manis), seorang ulama Melayu yang menjadi perintis kepada pengajian Tafsir di tanah Melayu.  Selain itu, penulis juga pendakwah terkenal Indonesia, Buya HAMKA turut menjadikan kitab Turjuman al-Mustafid sebagai pendorong untuk beliau menterjemahkan serta mentafsirkan al-Qur'an di dalam Tafsir al-Azhar.

Contoh salinan asal, cetakan Turki tahun 1324 H.

Usaha demi usaha cetakan semula kitab ini juga giat dijalankan, sama ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah Khazanah Fathaniyah (KF) juga pernah menerbitkannya sebelum ini. Namun disebabkan beberapa halaman yg dikesan gugur// hilang/tiada, maka pihak KF menghentikan edarannya. Alhamdulillah, kini warisan harta keintelektualan Melayu kita yang berusia lebih 100 tahun ini telah  diterbitkan semula dengan lengkap, dan masih masih mengekalkan cetakan asal terbitan Turki, tahun 1324 Hijrah. 

*******************

Berikut dikongsikan sinposis ringkas mengenai kitab ini, oleh Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, dalam buku berjudul Ensiklopedia Nusantara;


Tafsir Al-Baidhawi,
Terjemah Al-Quran Melayu Yang Pertama (Tarjuman al-Mustafid)
Oleh : Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah

DALAM percakapan dinamakan orang "Tafsir Baidhawi Melayu". Tetapi dalam persuratan judul yang diberi oleh penyusunnya Syeikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fansuri, ialah "Turjuman al-Mustafid bi al-Jawi". Atau judul yang lain dinamakan juga "Tafsir al-Baidhawi asy-Syarif.  Terjemahan dan tafsir al-Quran lengkap tiga puluh juzuk yang dibicarakan ini adalah merupakan yang pertama sekali  dalam bahasa Melayu. Selain yang berupa cetakan beberapa versi salinan tulisan tangan (manuskrip) Turjuman al-Mustafid sejak lama telah mendapat perhatian para sarjana peneliti manuskrip. Turjuman al-Mustafid berupa cetakan ada yang  tanpa tashih dan ada pula yang tashih. Cetakan yang ditashih adalah atas usaha Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah  merupakan pentashhih pertama dan yang memperjuangkan penerbitannya di Istanbul (Turki) dan Mesir. Penanganan tashih Turjuman al-Mustafid  Syeikh Ahmad al-Fathani dibantu oleh dua orang murid beliau, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Penerbitan­-penerbitan awal Turjuman al-Mustafid  tercatat:  1). Cetakan pertama Istanbul (Turki) 1302 H/1884 M dan 2).  Cetakan pertama Mathba‘ah Miriyah, Bulaq, Mesir 1303 H/1885 M.

Sejarah sebab-sebab terjadi penerbitan pertama di Istanbul (Turki), bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani mentashih pelbagai kitab Melayu / Jawi maka untuk mencetaknya timbul halangan yang   meng­hendaki perjuangan yang gigih. Raja Makkah ketika itu tidak membenarkan menerbitkan kitab-kitab selain bahasa Arab. Syeikh Ahmad al-Fathani telah membantah larangan seumpama itu. Kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, larangan seperti demikian itu akan menyempitkan penyebaran Islam ke seluruh dunia. Penduduk selain tanah Arab tidak  faham dengan bahasa Arab. Secara diam-diam Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengirim surat kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah, iaitu Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani. Sumber cerita ini dari Ustaz Haji  Mansor Merbok,  Kedah, pada 30 Mei 1990. Dia men­dengar cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Ibrahim. Tuan Guru Haji Ibrahim mendengar  cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Yahya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Cerita ini disesuaikan dengan pelbagai catatan Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Syeikh Ahmad al-Fathani telah dijemput oleh Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan dalam waktu yang sama pemerintah Makkah atas permintaan ulama Makkah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani untuk mewakili ulama Makkah di persidangan ulama Islam se dunia yang diadakan di Turki. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berangkat ke Turki dengan membawa beberapa beg kitab-kitab bahasa Melayu dan Arab yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu, yang telah beliau tashih. Khazanah karya ulama dunia Melayu itu semuanya untuk diperkenalkan kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan pihak-pihak penting di sana. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berhasil mem­perjuangkan penerbitan bukan  untuk kitab-kitab bahasa Melayu saja, juga termasuk bahasa-bahasa lainnya.  Oleh sebab itulah pada tahun 1302 H/1884M tersebut terdapat sekurang-kurangnya tiga buah kitab Melayu / Jawi yang diterbitkan di Istanbul. Dua yang lainnya ialah Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari­ dan Furu al-Masail karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Pada kata pengantar Turjuman al-Mustafid cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani menulis, “Inilah kitab yang bernama Turjuman  al-Mustafid bi al-Jawi yang diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang  diambil setengah maknanya dari Tafsir al Baidhawi. Ka­rangan al-Alim al-Allamah wa al-Bahr al-Fahamah Farid Ashriri wa Wahidu Dahrihi Tuan  Syeikh Abdur Rauf ibnu asy-Syeikh Ali al-Fanshuri al-Jawi...”  Turjuman al-Mustafid yang diusaha cetak oleh Syeikh Ahmad al-Fathani adalah berasal dari manuskrip  yang diselesaikan oleh murid pengarangnya yang bernama Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha ‘Ali ar-Rumi. Salah seorang pentashih yang bernama Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani adalah keturunan Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu  Agha Mustafa ibnu Agha  ‘Ali ar-Rumi yang tersebut.  

Bukti Turjuman al-Mustafid dapat perhatian pelbagai bahawa seorang orientalis bernama Peter Riddell pernah membuat tesis Ph. D, ANU, Canberra dengan judul ‘Abd al-Rauf al-Singkili's al-Mustafid. Tokoh yang sama juga me­nulis artikel dalam JMBRAS  (1984) dengan judul The Sources of  Abd al-Rauf's Turjuman al-Mustafid. Karel A. Steenbrink menyebut pada nota kaki buku “Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat” bahawa “sekarang ini  Drs. Salman Harun dari IAIN Ciputat, Jakarta tengah mempersiapkan sebuah disertasi menge­nai beberapa aspek lain dari karya yang besar ini.

Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa Turjuman al-Mustafid adalah  diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al-Baidhawi ...., jadi bererti Turjuman al-Mustafid bukanlah merupakan terjemah secara ke seluruhan Tafsir al-Baidhawi  seperti banyak diperkatakan orang. Pendapat Syeikh Ahmad al-Fathani  itu sesuai pula dengan tulisan penyalin pertamanya Daud Jawi bin Ismail yang mengatakan “Akan kisahnya yang diambil kebanyakannya daripada Khazin.” Terlalu baru Karel A. Steenbrink yang merupakan petikan  dan tulisan Peter Riddell yang mengatakan bahawa “ternyata dasar tafsir ini adalah sebuah terjemahan yang cukup harfiyah dari Tafsir Jalalayn. Walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani tidak menyebut Tafsir Jala­layn itu, namun kalimat beliau itu telah mewakili bahawa Turjuman al-Mustafid hanya sebahagianya saja dari Tafsir al-Baidhawi selainnya termasuk Khazin, Jalalain dan tafsir-tafsir selain itu.