-->
PENGETAHUAN BAHASA
GAMBARAN ETIKA KEMASYARAKATAN
Oleh
Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
HAMPIR semua karya Raja Ali Haji adalah dapat dikategorikan dalam karya-karya Melayu yang penting, agung, dan terkenal. Pada kesempatan ini diperkenalkan karya beliau tentang bahasa Melayu, yang beliau beri judul "Kitab Pengetahuan Bahasa". Di bawah judul utama diberi keterangan "Iaitu Kamus Lughat Melayu Johor, Pahang, Riau-Lingga". Raja Ali Haji tidak sempat menyelesaikan karya tersebut secara keseluruhan, hanya sampai huruf "Ca" saja. Kitab Pengetahuan Bahasa oleh Raja Ali Haji pertama kali oleh oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tahun 1345 H/1927 M atas usaha salah seorang cucu Raja Ali Haji bernama Raja Haji Umar bin Raja Hasan yang kemudian disetujui oleh Raja Haji Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong, Ketua Syarkah Al-Ahmadiah. Kitab tersebut mendapat perhatian dan kajian para sarjana, termasuk beberapa orang sarjana Barat terutama sekali orang-orang yang berminat tentang bahasa Melayu. Manuskrip asli dan cetakan yang pertama adalah dalam edisi huruf Melayu/Jawi, dan selanjutnya pernah ditransliterasi kepada tulisan Latin/Rumi oleh Raja Hamzah Yunus. Yang telah ditransliterasi dari tulisan Jawi ke Rumi itu diterbitkan oleh Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Penelitian dan Pengkajian Kebudayaan Nusantara Bagian Proyek Penelitian dan Pengkajian Kebudayaan Melayu Pekanbaru 1986/1987.
Saya telah memperkenalkan Kitab Pengetahuan Bahasa tersebut melalui terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur , 1997, dicetak dalam edisi Jawi sebagaimana cetakan yang pertama. Dalam terbitan 1997 itu telah diperkenalkan sejarah Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura, yang merupakan aktiviti yang dijalankan oleh beberapa orang cucu Raja Ali Haji sendiri. Cucu Raja Ali Haji yang dimaksudkan Raja Haji Umar bin Raja Hasan (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama), beliaulah yang berusaha mengumpul dan menerbitkan karya-karya Raja Ali Haji.
Raja Ali Haji memulai kandungan kitab ini dengan pengenalan tata- bahasa Melayu yang mirip dengan ilmu nahu (tatabahasa) Arab. Untuk tatabahasa ditempatkan pada halaman 2 sampai halaman 32. Kosa kata dimulai dengan huruf "Alif" dan berakhir dengan huruf "Ca". Kitab Pengetahuan Bahasa walau pun dikatakan sebagai "kitab bahasa Melayu", namun jika kita teliti ternyata jangkauannya lebih jauh daripada itu. Kitab Pengetahuan Bahasa tampil memperkenalkan beberapa istilah yang terdapat dalam agama Islam, sejarah, dan lain-lain, dengan huraian yang cukup mantap, panjang dan memuaskan. Sebagai contoh kosa kata huruf "Alif", perkataan "ahbar", Raja Ali Haji mentakrifkannya, "Iaitu segala 'ulama'-'ulama' yang besar-besar, yang 'alim lagi mujtahid pada tiap-tiap daripada ilmu usul, dan furu', dan tasawuf, dan tafsir, dan hadis, dan segala alat pekakas mengeluarkan maksud dan mafhum segala ilmu." (hlm. 39 - 40). Sesudah memberikan takrif Raja Ali Haji menjelaskan pula para ulama yang termasuk dalam lingkungan pentakrifan itu dimulai dari zaman sahabat Nabi S.A.W hingglah para ulama yang datang kemudiannya. Pada penutup istilah "ahbar", Raja Ali Haji berpendapat, "Maka barangsiapa mengikut dan membesarkan segala 'ulama' seolah-olah ia membesarkan Nabi, dan mengikut akan segala Nabi, dan Rasul. Dan barangsiapa mengikut dan membesarkan segala Nabi dan Rasul seolah-olah ia mengikut dan membesarkan Allah Ta'ala ... Dan barangsiapa tiada mengikut dan membesarkan mereka itu dan menghina-hinakan mereka itu serasa ia merintangi Allah S.W.T. Nanti di belakangnya didapatinya juga kehinaan di dalam dunia dan di dalam akhirat kerana kena bunuhnya daripada mereka itu. Maka mereka itulah tanda orang syaqawah, yakni celaka adanya." (hlm. 40).
Setelah selesai perkataan-perkataan yang diawali dengan huruf Alif, Raja Ali Haji membicarakan pula perkataan-perkataan yang diawali dengan huruf Ba'. Perkataan Ba' itu sendiri beliau takrifkan, "Iaitu air yang berjalan pada lautan besar, yang tiada tentu harusnya. Akan tetapi air itu berjalan mengikut angin sebab pasang surutnya. Tiada dapat ketentuan sebab jauh daripada daratan adanya." (hlm. 201).
Kosa kata yang terakhir dalam Kitab Pengetahuan Bahasa ialah "candakia". Perkataan ini ditakrifkan oleh Raja Ali Haji, "Iaitu hal orang, atau sifatnya kuat berbuat bohong ke sana sini. Pada satu tempat lain cakapnya dan satu tempat pula lain pula cakapnya. Dan bermuka-muka kepada antara dua orang adanya. Yakni, umpamanya dua orang yang berseteru, maka "candakia" pergi kepada salah seorang daripada keduanya itu. Ia membenar akan perkataannya serta menyalahkan seterunya itu. Dan apabila pergi pula kepada yang disalahkannya itu, diumpatnya pula yang sudah dibenarkannya itu. Jadi keduanya kasihkan dia kerana keduanya itu boleh menyampaikan hajatnya. Maka inilah sejahat-jahat orang. Bernamalah ia orang munafiq adanya." (hlm. 466). Kosa "candakia" yang disebut Raja Ali Haji itu kemungkinan lain dengan "cendekia" yang digunakan dalam perkembangan bahasa sekarang, kerana jika perhatikan takrifnya jauh berbeza. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), perkataan "cendekia", ialah "1. tajam pikiran, lekas mengerti (kalau diberi tahu sesuatu: cedas, pandai); 2 cepat mengerti situasi dan pandai mencari jalan keluar (pandai menggunakan kesempatan); cerdik; 3. terpelajar; cedik pandai; cerdik cendekia: kaum cerdi." (KBBI, hlm. 183). Takrif perkataan "cendekia" dalam Kamus Dewan sama maksudnya dengan takrif Kamus Besar Bahasa Indonesia . Perlu kita perhatikan dengan cermat sama ada pada ucapan mahu pun tulisan "candakia" dan "cendekia", kerana berlainan takrifnya. Perkataan "candakia" tidak digunakan lagi, tetapi "cendekia" masih digunakan sampai sekarang. Selalu juga digunakan "cendekiawan".
***
No comments:
Post a Comment