Tuesday, April 06, 2010

Jawapan emel

Ketika meneliti beberapa dokumen peribadi al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang berupa dokumen emel yang pernah dijawab oleh beliau, saya menemui beberapa persoalan-persoalan yang diutarakan kepada beliau dulu ada yang hampir sama dengan emel-emel yang diterima oleh Khazanah Fathaniyah kini. Oleh itu, sekiranya wujud persoalan yang lebih kurang maksudnya, maka saya memutuskan untuk menggunapakai jawapan-jawapan beliau tersebut. Maka secara tidak langsung, ianya dapat menyelesaikan beberapa persoalan emel yang belum dijawab kerana agak  memakan masa untuk dirujuk dan mencari jawapannya, bertambahan pula ceteknya ilmu untuk menjawabnya. Antara persoalan yang dikongsikan untuk entri kali ini adalah:

PERSOALAN:

Kiriman emel bertarikh 27 Mac 2010 (Dari : Hailil78)
Assalammualaikum Wr. Wbkth.
Tuan, saya sangat memerlukan maklumat berhubung hubungan beberapa jalur keturunan antaranya 'SYED', 'WAN', NIK dan sebagainya. Saya mendapat tahu bahawa pihak tuan kuat berkecimpung dalam bidang ini dan mempunyai  maklumat-maklumat berkaitan sejarah silam ini. Sekiranya tidak menjadi keberatan, saya ingin mendapat seberapa maklumat berkaitannya, atau adakah buku-buku klasik mengenainya tersimpan dalam koleksi Allahyarham? Boleh saya mendapat tarikh untuk temujanji? Saya sangat berharap dapat respon segera dari pihak Tuan. Terima kasih.

Kiriman emel bertarikh  22 September 2006 (Dari : Azie)
Assalammualaikum,
Salam Ramadhan al mubarak.
Saya ingin meminta jasa baik tuan memberi saya serba sedikit info tentang ulamak di Sarawak yang menggunakan gelaran "WAN" di Sarawak. Adakah mereka ini mempunyai sejarah atau pertalian dengan golongan ahlul bait atau Syed/Syarif yang berasal dari Sambas ataupun negeri-negeri sekitar Kalimantan? Atau tuan ada mempunyai sebarang maklumat mengenai Tunku Osman dari Sambas yang dikatakan keturunannya berhijrah ke Sarawak dan kemudian menggunakan gelaran Wan.
Harap tuan dapat membantu saya membuat kajian dari semasa ke semasa . Jutaan terima kasih didahulukan.

JAWAPAN al-Marhum Tuan Guru kepada emel bertarikh 22 Setember 2006,

Golongan "WAN" di Sarawak memang ada yang berasal dari Kalimantan Barat, seperti Tengku Haji Bujang, Gabenor Sarawak  yang pertama, sewaktu terbentuk Malaysia. Datuk nenek beliau berasal dari Kerajaan Kubu, salah satu kerajaan kecil di Kalimantan Barat. Beliau bangsa "Al-'Aidrus". Bangsa "Al-Qadri" yang berasal dari Pontianak juga ada yang hijrah ke Sarawak. Selain itu, ada juga yang berasal dari Pulau Serasan, Kepulauan Riau. Adapun yang berasal dari Sambas saya belum memperoleh maklumat.
(Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah - 2 Ramadhan 1427H)

***********************
Dari kedua-dua emel tersebut, sememangnya ada sedikit perbezaan soalan ditanya, namun ada maklumat jawapan yang diberikan oleh al-Marhum Tuan Guru pada emel dari Azie tersebut dapat digunapakai juga kepada penghantar emel pertama iaitu Hailil78. Ya, jawapan agak ringkas yang diberikan oleh beliau, dan kebanyakan emel-emel lain yang dijawab juga ringkas dengan memberi beberapa maklumat sebagai petunjuk untuk usaha yang berterus-terusan mencari dan menyelidik dengan lebih gigih dari yang diberikan.  Semoga dengan secebis jawapan tersebut dapat membantu kepada penyelidikan yang lebih meluas. Wallahu a'lam.


No comments: