Monday, January 11, 2010

Secebis sejarah penulisan pengasas KHAZANAH FATHANIYAH

Sejarah penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah telah bermula sejak zaman mudanya lagi. Kecenderungan beliau dalam menulis khazanah-khazanah ulama silam alam Melayu ini tidak pernah pudar, bahkan bertambah-tambah giat sehinggalah kembalinya ke rahmatullah. Pada awal sejarah penulisan, beliau hanya bermula dengan tulisan tangan sahaja dengan jumlah halaman yang tidak kurang banyaknya. Dan setelah itu berkembang dan berkembang lagi sehingga teknologi kini iaitu menggunakan komputer.

Pada awal-awal pembabitan, artikel-artikel beliau diterbitkan oleh Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyah al-Fathaanah, Kalimantan Barat, Indonesia, iaitu sebuah pusat pendidikan yang diasaskan oleh beliau sekitar tahun 1974. Sehingga kini ianya masih berjalan yang lebih dikenali dengan nama singkatnya sebagai Yayasan al-Fathaanah. InsyaAllah, berkenaan Yayasan al-Fathaanah ini akan dibicarakan pada entri yang akan datang.

Berikut ingin dikongsikan antara karya-karya Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang pernah diterbitkan oleh Yayasan al-Fathaanah antara tahun 1970-1980-an. Namun, kesemua karya-karya tersebut telahpun diterbitkan semula oleh Khazanah Fathaniyah dengan pengemaskinian fakta-fakta yang terbaharu hasil dari penyelidikan yang terus-menerus dilakukan oleh beliau sepanjang hidupnya.

Buku yang diterbitkan pada Februari 1983 ini berkisar tentang tokoh ulama yang amat dikenali, iaitu Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani. Tokoh ulama ini amat terkenal dengan karyanya yang berjudul Hidayatus Salikin, merupakan antara kitab yang banyak diajarkan di serata Nusantara baik di Malaysia mahupun beberapa tempat alam Melayu lainnya, seperti di Pattani, Malaysia, dan sebagainya.

Raja Ali Yamtuan Muda Riau V, antara tokoh ulama yang terkenal di Indonesia. Buku ini pula diterbitkan pada bulan Oktober 1982.

Ini pula adalah buku terbitan tahun 1988 yang ditulis khusus untuk pengajian, yang membicarakan tentang ilmu Fiqh, Ushuluddin, dan Tasawuf. Antara perkara yang dibicarakan beliau dalam siri ke 3 buku tersebut adalah mengenai bersuci, bersiwak dan pelbagai lagi. Walaupun terbitan buku ini digunakan untuk pengajian di Yayasan al-Fathaanah, namun pengedarannya turut meluas kepada masyarakat luarnya.

Buku berjudul 'SAIYID HUSEN ALQADRY: Penyebar Islam di Kalimantan Barat' di atas antara buku yang terawal diterbitkan dalam tahun 1970-an, berbanding contoh buku-buku yang disenaraikan di atas.

Sejarah karya-karya penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir ini secara lengkapnya akan dibicarakan dalam terbitan Khazanah Fathaniyah yang akan datang, berjudul KOLEKSI ENSIKLOPEDIA NUSANTARA. InsyaAllah akan diterbitkan setelah kesemua jilid-jilid bagi buku KOLEKSI ULAMA NUSANTARA diterbitkan.

Semoga karya-karya yang ditinggalkan oleh beliau ini sentiasa berkesinambungan dengan penyelidikan-penyelidikan terbaharu untuk manfaat bersama. Sampai berjumpa lagi:)

1 comment:

Anonymous said...

salam

bagaimana boleh saya melanggan kitab2 dari khazanah fathaniyah?