Monday, September 11, 2017

Kitab JANGKA RAMPAIAN, Qadhi Haji Abu Bakar al-Muari


Kulit kitab JANGKA RAMPAIAN terbitan Khazanah Fathaniyah, yang simboliknya adalah menonjolkan antara sunnah dan adab makan yang unik dalam Islam.
JANGKA RAMPAIAN antara sebuah lagi kitab turath terbaharu yang bakal diterbitkan Khazanah Fathaniyah (KF) untuk tahun 2017 ini. Kitab karya ulama Johor ini agak berbeza berbanding karya-karya terbitan KF yang lain, yang kebiasaannya membicarakan ilmu Aqidah, Fiqh, Tasawuf, Akhlak, Falak, perubatan dan sebagainya mencakupi kelompok keilmuan penting dalam dunia Islam. Namun, JANGKA RAMPAIAN pula adalah sebuah kitab masakan! Uniknya lagi ianya ditulis oleh seorang ulama, dan yang juga sangat banyak menghasilkan kitab. 

Ulama tetap ulama, setiap perbicaraan tidak akan lari menitikberatkan soal keagamaan dalam apa jua keadaan dan setiap sisi kehidupan. Meskipun hanya menulis sebuah kitab masakan, pengarangnya – Qadhi Haji Abu Bakar al-Muari tetap memasukkan unsur-unsur dakwah dan keilmuan Islam dalam karya tersebut. Antaranya, menyertakan khasiat berserta hadith Nabi S.A.W bagi jenis-jenis makanan yang ada hadithnya, menitikberatkan soal kebersihan, ketertiban, hatta protokol sama ada sebelum menghasilkan masakan hingga ke peringkat penyediaan hidangan buat tetamu, selain beberapa perkara lain seperti kaedah menyiang ikan, membasuh daging dan sebagainya. 


Contoh lain, Qadhi Haji Abu Bakar dalam perbicaraan salah satu bab kitab, iaitu ‘Aturan Perkataan Membuat Kad Jemputan’ memberi contoh berkaitan cara mengundang tetamu untuk acara membaca Maulid Nabi S.A.W, bukti ingatan dan kecintaan beliau kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sangat tinggi. Walhal, beliau boleh saja memberi contoh lain, seperti undangan walimatul ‘arus/ perkahwinan yang lazim diadakan atau undangan-undangan lain. 



Secara keseluruhannya yang utama kitab adalah mengenai resepi pelbagai jenis nasi dari pelbagai tempat iaitu Melayu, Jawa, Arab, India dan Parsi. 




________

Maklumat kitab :-

Judul : JANGKA RAMPAIAN (Kitab Masakan)
Pengarang : Qadhi Haji Abu Bakar Muar Johor
Halaman : 110 muka surat
Harga : RM 28.00
Bahasa : Kitab ini dalam bahasa MELAYU, bertulisan JAWI sepenuhnya. 
Status : Kitab ini dalam proses dicetak, insyaAllah bakal berada di pasaran pertengahan September ini. Maklumat lanjut untuk hubungi Penerbit Khazanah Fathaniyah:

KHAZANAH FATHANIYAH,
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa,
54200 Kuala Lumpur MALAYSIA.
No. Tel pejabat : +603-4265 6444/ +603-4265 6446
No. bimbit rasmi KF : +6011-3753 1200 (SMS/ Whatsapp sahaja)

Friday, September 08, 2017

Apa khabar Khazanah Fathaniyah?


Tidak dinafikan Khazanah Fathaniyah agak lama  tidak ber'suara' dalam pelbagai ruang media internet, baik laman sesawang, blog, mahupun facebook, sehinggakan ada beberapa yang bertanya perihal Khazanah Fathaniyah. 

Buat yang bertanya, terima kasih atas ingatan. Sehingga hari ini, alhamdulillah, Khazanah Fathaniyah masih terus bergerak sebagaimana rutin aktiviti biasa, di samping beberapa bulan ini dalam usaha memperbaiki beberapa perkara. Bagaimanapun akan datang diusahakan secara konsisten mengemaskini sebarang berita terkini Khazanah Fathaniyah, insya Allah!

P/S :

1) Gambar di bawah adalah antara katalog terbitan Khazanah Fathaniyah yang telah dan akan dicetak tahun 2017 ini, dan dukacikta dimaklumkan bahawa banyak yang telah habis stok. Kehabisan yang cepat ini adalah disebabkan Khazanah Fathaniyah mencetak dalam kuantiti yang terhad bagi kebanyakan judul, memandangkan peratusan buku yang perlu dicetak-ulang semula agak tinggi. Oleh itu -setelah menimbang tara pelbagai sudut- setiap terbitan tidak lagi dicetak dalam kuantiti sebagaimana sebelum ini yang minimanya sebanyak  1000 naskhah.

2) Kebanyakan terbitan cetak-ulang mengalami kenaikan harga, atas beberapa faktor yang terpaksa pihak kami laksanakan, antaranya;  kenaikan harga dari pihak pembekal (pencetak). Selain  faktor dicetak dalam jumlah minima, maka kos cetakan juga sedikit mahal yang berbeza jika dicetak dalam kuantiti banyak.

3) Beberapa judul yang dicetak ulang telah diubah kepada kaver/ kulit yang lain/ baharu. Oleh itu, pihak kami sangat menyarankan agar menyemak terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang pembelian, bagi mengelakkan terjadi pembelian berulang-ulang.  


Penutup kata, segera dapatkan!













* Untuk urusan pembelian boleh dilakukan di laman sesawang rasmi Khazanah Fathaniyah ini :www.khazanahfathaniyah.com.my

* Untuk agen/ pengedar - Boleh terus menghubungi wakil Khazanah Fathaniyah di talian:

I) Telefon pejabat/ kedai : 03-4265 6444/ 03-4265 6446
II) SMS/ Whatsapp SAHAJA : 011-3753 1200

Tuesday, December 22, 2015

ZIARAH WALI SONGO 2016 (Kali ke-3)

Kembali lagi buat kali ke-3, dijemput daftar bagi yang berminat!.
 
Untuk pendaftaran, boleh hubungi terus pejabat Khazanah Fathaniyah (03-42656444/ sms @ whatsapp hp rasmi : 017-9272434).


 Foto Khazanah Fathaniyah.

 TENTATIF PERJALANAN:
(Surabaya – Semarang – Bandung – Jakarta)
30 Mac hingga 3 April 2016 (Rabu – Ahad)
.
HARI PERTAMA :
- Ketibaan rombongan dari Kuala Lumpur – Lapangan Terbang Juanda Surabaya
- Ziarah makam Sunan Ampel
- Melawat Masjid Cheng Ho
- Acara bebas (Lokasi: Tanggulangin, Sidoarjo)
- Ziarah makam Sunan Giri
- Ziarah makam Maulana Malik Ibrahim
- Ziarah makam Sunan Drajad
- Melawat Masjid Ashabul Kahfi
- Menginap di Tuban


HARI KEDUA :
- Ziarah makam Sunan Bonang
- Ziarah Petilasan Sunan Bonang
- Ziarah makam Sunan Muria
- Ziarah makam Sunan Kudus
- Menginap di Kudus
- *Melawat Pondok Pesantren Gus Mus Mustafa al-Bisri ATAU Pondok Pensantren Maemun Zubir atau pondok pesantren lain.
(Tertakluk kepada keizinan dan budi bicara salah satunya).


HARI KETIGA :
- Ziarah makam Sunan Kalijaga
- Melawat Masjid Demak dan ziarah makam Sultan Demak
- Ziarah makam Syeh Jumadil Kubro
- Acara bebas (Lokasi: Pandanaran)
- Berangkat ke Cirebon, ziarah makam Sunan Gunung Jati
- Berangkat ke Bandung


HARI KEEMPAT :

- Melawat Gunung Tangkuban Perahu*
- Bertolak ke Jakarta
- Melawat tempat-tempat pelancongan di Jakarta seperti Masjid Istiqlal, MONAS dsb.
- Menginap di Jakarta
*Tertakluk kepada persetujuan semua ahli rombongan. Bayaran masuk perseorangan ditanggung masing-masing.


HARI KELIMA :
- Melawat Masjid Kubah Emas
- Melawat PPPA Darul Qur’an, Jakarta.
- Acara bebas.
- Pulang ke Kuala Lumpur.

Keterangan tambahan :

I) BAYARAN
- Bayaran Pendahuluan - RM500.
- Bayaran Keseluruhan (termasuk Pendahuluan) - RM1,750
(Baki pembayaran diselesaikan selewat-lewatnya 1 minggu sebelum keberangkatan)

II) PAKEJ ZIARAH
Pakej adalah termasuk perkara-perkara berikut:
- Tiket kapal terbang pergi dan pulang
- Kenderaan perjalanan iaitu bas ekspress yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Wifi (Contoh bas seperti Ziarah kali ke-2)
- Penginapan hotel (2 orang/ 1 bilik)
- Disediakan makanan ringan (seperti roti, keropok, air mineral) sekali setiap hari.

*Tidak termasuk :
- Kos makan dan minum sepanjang perjalanan (makanan sampingan dan utama seperti nasi adalah tanggungan sendiri), namun persinggahan kedai makan tempatan setiap tempat akan diuruskan oleh pihak agensi.
- Beli belah barangan peribadi dan cenderamata
- Permintaan pertukaran kenderaan lain, selain yang telah ditetapkan oleh pihak Khazanah Fathaniyah.

III) PERKARA LAIN
- Bagi yang berminat, pastikan tarikh luput passport lebih dari 6 bulan dari tarikh keberangkatan.
- Tempat penginapan/ Hotel adalah bertaraf dua dan tiga bintang.
- Kapal terbang :
1) KL – Surabaya : Airasia
2) Jakarta – KL : Garuda
- Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian telefon pejabat KF : 03-42656444.

Friday, October 30, 2015

Terbitan Terbaharu Khazanah Fathaniyah (Oktober 2015)

Salah satu sasaran Khazanah Fathaniyah untuk tahun 2015 ini adalah berusaha untuk menerbitkan kembali karya-karya ulama kita ini agar selaras dengan perkembangan semasa untuk setiap peringkat golongan, selain memudahkan rujukan bagi yang baharu mengenali karya-karya ini, agar timbul minat dan ada kesinambungannya untuk generasi mendatang. 

Antara kaedah adalah mencetak kembali kitab-kitab yang pernah diterbitkan sebelum ini  (Jawi sepenuhnya) dengan merumikan kepada latin. Alhamdulillah, beberapa judul telah terlaksana, dan terbaharu diterbitkan merupakan salah satu kitab yang amat penting di alam Melayu, iaitu Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān. Merupakan sebuah kitab perubatan karya Syeikh Ahmad al-Fathani, antara ulama yang paling awal dikaji oleh pengasas Khazanah Fathaniyah, almarhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah. 

Bahagian depan kitab
Bahagian tepi@ tulang kitab

Keterangan berkenaan kitab adalah berikut :

Judul:
Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān (KITAB PERUBATAN MELAYU)

Pengarang:
Al-‘Ālim al-‘Allāmah al-Dhakī al-Shaykh Wān Aḥmad ibn Muḥammad Zayn ibn Muṣṭāfā al-Faṭānī

Diperkenal, Dirūmī dan Dikaji oleh
Dr. Mohd Affendi bin Mohd Shafri

Penerbit:
Khazanah Fathaniyah & Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia

Bilangan mukasurat:
200 muka

Harga: RM45.00
Pos Semenanjung: RM7.00
Pos Sabah/Sarawak: RM12.

 * Gambar kitab Ṭayyib al-Iḥsān fī Ṭibb al-Insān: Kredit kepada FB Klasika Media, iaitu penerbit bersama Khazanah Fathaniyah. 


  ***

Selain berupa buku, Khazanah Fathaniyah juga mencetak terbitan berupa poster, sebagai langkah awal untuk memperluaskan dan memperkenalkan lagi ulama-ulama kita dengan kaedah yang lebih mudah difahami. Poster terbaharu bulan ini yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah adalah berikut :




Keterangan poster:

Judul Poster:
Poster Ulama-ulama Malaysia

Saiz :
16 x 24

Sumber rujukan poster :
Buku Koleksi Ulama Nusantara, 
oleh almarhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah

Terbitan :
Khazanah Fathaniyah
2015

Harga :
Poster sahaja - RM28
Poster & Bingkai kayu - RM90

* Poster ini dicetak sebanyak 100 helai sahaja. Pesanan melalui pos akan mula dihantar pada 5 November 2015. 


***

Untuk pesanan & pembelian: boleh dirujuk di sini ->>>>>>> Klik Sini




Wednesday, March 11, 2015

17 PASAL NASKHAH PERSETUJUAN INDONESIA -BELANDA

17 PASAL NASKHAH PERSETUJUAN INDONESIA - BELANDA ini antara koleksi langka simpanan almarhum ustaz Wan Mohd Shaghir yang akan didigitalkan minggu ini. Kandungan naskhah penting ini turut dimuatkan penulisan tokoh-tokoh besar Indonesia yang memegang tampuk pemerintahan pada ketika itu, iaitu: Sutan Sjahrir (Perdana Menteri Pertama Indonesia), Mohammad Natsir (Menteri Penerangan), Mohamad Roem (Menteri Dalam Negeri) dan Haji Agus Salim (Menteri Muda Luar Negeri).


Klasifikasi:  
+ Tulisan - Jawi sepenuhnya
+ Kandungan halaman tidak lengkap (hingga muka surat : 64)
+ Tahun Terbit : 1946






Monday, March 02, 2015

E-Buku KF sedia terbit sekarang!




Terbaharu 2015!

E-Buku ini adalah bertujuan sebagai alternatif kepada buku yang telah habis cetak, nadir atau tidak diterbitkan lagi. Atas faktor-faktor tertentu, KF tidak dapat menerbitkan semula/ mengulangcetak banyak judul yang telah habis dalam jangka waktu yang cepat, namun masih ramai memerlukan segera. Maka e-Buku ini adalah jalan pilihannya, maklumat lanjut berkaitan judul, proses pembelian dan sebagainya, boleh rujuk di link ini >> Katalog KHAZANAH FATHANIYAH 2015.

* Judul-judul terbaharu akan sentiasa dikemaskini setiap minggu.
 

Saturday, February 28, 2015

ULAMA DALAM MENGHADAPI CABARAN KHILAFIYAH

Dipetik dari buku Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu oleh Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah:

"Zaman Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani belum terjadi khilafiyah fiqh di dunia Melayu, yang terjadi sebelum beliau di Aceh antara pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin Sumatra-i dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan masalah fiqh, tetapi adalah masalah tasawwuf. Oleh sebab itu dalam semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyalahkan pihak mana¬ pun. Tulisannya hanyalah bersifat pendidikan dan penyebaran Mazhab Syafi‘ie, golongan penentang-penentang mazhab tidak pernah beliau persalahkan. Tidak terdapat tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyalahkan ulama-ulama seperti: Ibnul Qaiyim, Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazam, Daud Zhahiri dan lain-lain, walaupun nama-nama ulama-ulama itu ada beliau sebut, tetapi bukan menyalahkan. Menyu¬ruh mengikut mereka pun tidak pula, tulisan beliau mengenai tokoh-tokoh tersebut hanya sebagai perbandingan saja.

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani juga tawaquf tentang tokoh-tokoh itu, padahal pada zamannya, dunia mulai gempar akibat gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir. Kerana pertikaian antara Syeikh Muhammad Abduh dengan Syeikh Yusuf an-Nabhani ulama Makkah telah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani ke Beirut menemui Syeikh Yusuf an-Nabhani dan ke Mesir menemui Syeikh Muhammad Abduh. Syeikh Ahmad al-Fathani sedar bahawa apabila persoalan pertikaian sesama ulama diperbesar-besarkan, akibatnya tidak baik terhadap orang awam. Oleh itu tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tersebar atau yang pernah diterbitkan tidak membicarakan persoalan itu. Kedua-dua samudera ilmu keislaman itu tetap mempunyai hubungan baik dengan Syeikh Ahmad al-Fathani".
 
Sumber: PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DI DUNIA MELAYU, Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah, Hlmn 120, Terbitan Khazanah Fathaniyah.

Maklumat buku, boleh rujuk di link ini: Klik di sini


Friday, January 09, 2015

Katalog 2015

Alhamdulillah, tahun 2015 genap 20 tahun Khazanah Fathaniyah (KF) ditubuhkan. Dan alhamdulillah juga katalog baharu KF ini telah dihasilkan. InsyaAllah boleh mendapatkannya bermula minggu hadapan (bermula 15 Januari 2015), di kedai buku KF Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Selamat Tahun Baru dari kami.


Friday, November 28, 2014

Seminar & Pelancaran Kitab Terjemahan Tafsir Pertama Alam Melayu; TURJUMAN AL-MUSTAFID



Assalamu'alaikum, dengan ini Khazanah Fathaniyah menjemput bersama-sama memeriahkan sekaligus berkongsi pengetahuan/pandangan antara kita, sebagai satu usaha untuk mengangkat khazanah warisan kita yang berharga ini. Program adalah terbuka kepada umum dan tiada bayaran dikenakan, namun pendaftaran diperlukan. Pendaftaran sila klik di link ini: http://khazanahfathaniyah.com.my/pendaftaran-seminar/

===============
Tentatif program :
Tarikh : 13 Disember 2014 (Sabtu)
Tempat : Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Qur'an dan Sunnah, USIM, Nilai, Negeri Sembilan.

Tentatif Program :
v  Tentatif Program :

  • 8.30 – Pendaftaran peserta dan sarapan
  • 9.00 – Ketibaan tetamu-tetamu jemputan
  • 9.15 – Bacaan Doa
  • 9.20 – Ucapan Pengerusi PENGKAJI dan wakil dari Khazanah Fathaniyah (Tn Haji Abdul Rahman Bin Muhamed)
  • 9.30 – Ucapan dan Pelancaran oleh Dekan Fakulti Qur’an dan Sunnah, USIM.
  • 10.00 - Pertunjukan Slide Khazanah Ulama Nusantara
  • 10.15 – Pembentangan Kertas Kerja I : Pengenalan Biografi Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, oleh: al-Fadhil Ustaz Mohd Zaidi Abdullah) Moderator : Tn. Abdul Halim Bin Muhamed
  • 11.00 – Pembentangan Kertas Kerja II : Pengenalan kitab Turjuman al-Mustafid, oleh al-Fadhil Dr. Wan Nasyruddin bin Wan Abdullah dan al-Fadhilah Ustazah Norhaznira Ibrahim. Moderator : Ustaz Muhammad Hafiz bin Ahmad Tajudin.
  • 12.00  – Sesi Soal-Jawab/ Perbincangan
  • 12.30 – Bersurai dan jamuan makan.

===============
Penganjuran ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif yang digariskan berikut:

1) Menambahkan kefahaman serta menyebarluaskan pengetahuan berkenaan kitab, dan ketokohan pengarang kitab.

2) Agar dapat menggalakkan dan memulakan pengkajian ke peringkat seterusnya, seperti pentahqiqan dan penyelidikan dari pelbagai aspek lain dan sebagainya, hasil dari ringkasan dapatan-dapatan pembentangan.

3) Meningkatkan minat terhadap khazanah-khazanah ulama Nusantara, terutama melalui karya-karya sebagai cermin kegemilangan tamadun Melayu.

4) Memupuk rasa cinta dan menjana kesedaran masyarakat mengenai kepentingan karya-karya ulama kita sebagai warisan Negara.

5) Memartabatkan karya-karya ulama silam Melayu yang juga merupakan lambang keperibadian dan peradaban bangsa Melayu, sebagai sumber penting dalam penyelidikan.

===============
Pendaftaran - sila klik di link ini:
http://khazanahfathaniyah.com.my/pendaftaran-seminar/

Thursday, October 30, 2014

Ziarah Makam Wali Songo (17 hingga 21 Disember 2014)


Dijemput sertai ziarah bersama Khazanah Fathaniyah!
Buat pertama kali dibuka kepada umum, namun tempat adalah terhad.

Berikut dikongsikan maklumat berkaitannya:

TENTATIF AKTIVITI ZIARAH WALI SONGO (WALI SEMBILAN)
 
Hari Pertama :
- Ketibaan rombongan dari Kuala Lumpur – Lapangan Terbang JUANDA (Surabaya) (Pagi)
- Ziarah makam Sunan Ampel
- Melawat Masjid Cheng Ho
- Acara bebas (Beli belah barangan kulit di Tanggul Angin-Sidoharjo)
- Ziarah makam Sunan Giri
- Ziarah makam Maulana Malik Ibrahim
- Ziarah makam Sunan Drajad
- Menginap di Pantai Tuban

Hari Kedua :
- Ziarah makam Sunan Bonang
- Ziarah Petilasan Sunan Bonang
- Melawat Pondok Pesantren Gus Mus (KH Mustafa Bisri) ATAU Pondok Pensantren Sarang KH Maemun Zuber (Tertakluk kepada keizinan dan budi bicara, salah satunya)
- Ziarah makam Sunan Muria
- Ziarah makam Sunan Kudus
- Menginap di Kudus

Hari Ketiga :
- Ziarah makam Sunan Kalijaga
- Melawat Masjid Demak dan ziarah makam Sultan Demak
- Ziarah makam Syeh Jumadil Kubro
- Acara bebas (Beli belah dan makanan khas Jawa Tengah di Pandanaran Simpang Lima Pusat Oleh-Oleh Khas )
- Berangkat ke Cirebon, ziarah makam Sunan Gunung Jati
- Berangkat ke Bandung

Hari Keempat :
- Melawat Gunung Tangkuban Perahu
- Bertolak ke Jakarta
- Melawat tempat-tempat pelancongan di Jakarta seperti Masjid Istiqlal, MONAS dsb
- Menginap di Jakarta

Hari Kelima :
- Acara bebas (Beli belah di Mangga Dua)
- Melawat Masjid Kubah Emas
- Melawat PPPA Darul Qur’an (Ustadz Yusuf Mansyur) , Jakarta.
- Pulang ke Kuala Lumpur (Malam)

Berikut adalah keterangan tambahan :
I) BAYARAN
- Bayaran Pendahuluan - RM500.
- Bayaran Keseluruhan - RM1, 500
(Bakinya diselesaikan selewat-lewatnya 1 minggu sebelum keberangkatan)

II) PAKEJ ZIARAH
Pakej adalah termasuk perkara-perkara berikut:
- Tiket kapal terbang pergi dan pulang
- Kenderan perjalanan, termasuk sewa, minyak, tol dan upah pemandu
- Penginapan
- Cukai Airport di Jakarta
- Disediakan makanan ringan (seperti roti, keropok, air mineral) sekali setiap hari

*Tidak termasuk :
- Kos makan dan minum sepanjang perjalanan (makanan sampingan dan utama seperti nasi adalah tanggungan sendiri), namun persinggahan kedai makan tempatan setiap tempat akan diuruskan oleh pihak agensi.
- Beli belah barangan peribadi dan cenderamata

III) URUSETIA ZIARAH
Perjalanan diketuai oleh seorang ustaz dari Indonesia, seorang wakil dari Khazanah Fathaniyah, dengan bantuan seorang pemandu pelancong yang berpengalaman dari Indonesia.

IV) PERKARA LAIN
- Bagi yang berminat, pastikan tarikh luput passport lebih dari 6 bulan dari tarikh keberangkatan.
- Tempat penginapan/ Hotel adalah bertaraf dua atau tiga bintang.
- Kapal terbang : Airasia/ Malindo Air dan Lion Air.
- Untuk maklumat lanjut, sila hubungi terus Khazanah Fathaniyah :

KHAZANAH FATHANIYAH,
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200,
Kuala Lumpur. MALAYSIA.
No. Tel: +603-42656444 / No. Faks: +603-42656446.

Monday, October 27, 2014

Terbitan Terbaharu : Turjuman al-Mustafid, terjemahan Tafsir Baidhawi, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri


Alhamdulillah. Sebagai makluman kitab Turjuman al-Mustafid terjemahan Tafsir al-Baidhawi, oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri telah siap berada di pasaran.

Turjuman al-Mustafid, terbitan terbaharu Khazanah Fathaniyah 2014.

Kitab Turjuman al-Mustafid merupakan terjemahan Tafsir al-Qur'an yang pertama dan terawal di Alam Melayu, yang diusahakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Usaha untuk memperluaskannya pula diteruskan oleh ramai ulama, dengan melalui pelbagai peringkat, seperti pentashihan, penyalinan, percetakan dan sebagainya. Antaranya pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani (selain pentashihan bersama-sama ulama lain iaitu Syeikh Idris al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani), Syeikh Ahmad al-Fathani juga memperkembangkannya dengan menerbit sekaligus mencetaknya dengan bantuan Sultan Turki 'Uthmaniyyah pada zaman tersebut, iaitu Sultan Abd al-Hamid Khan al-Thani. Terkemudian dari itu, pentashihan juga dilakukan oleh ulama yang tidak asing lagi di Malaysia, yang juga penyusun Qamus al-Marbawi, Syeikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi al-Azhari. Manakala di peringkat penyalinan pula, disalin oleh Baba Daud al-Jawi bin Ismail Agha Mustafa Bin Agha Ali al-Rumi, dan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (atau lebih terkenal digelar Tok Ku Pulau Manis), seorang ulama Melayu yang menjadi perintis kepada pengajian Tafsir di tanah Melayu.  Selain itu, penulis juga pendakwah terkenal Indonesia, Buya HAMKA turut menjadikan kitab Turjuman al-Mustafid sebagai pendorong untuk beliau menterjemahkan serta mentafsirkan al-Qur'an di dalam Tafsir al-Azhar.

Contoh salinan asal, cetakan Turki tahun 1324 H.

Usaha demi usaha cetakan semula kitab ini juga giat dijalankan, sama ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah Khazanah Fathaniyah (KF) juga pernah menerbitkannya sebelum ini. Namun disebabkan beberapa halaman yg dikesan gugur// hilang/tiada, maka pihak KF menghentikan edarannya. Alhamdulillah, kini warisan harta keintelektualan Melayu kita yang berusia lebih 100 tahun ini telah  diterbitkan semula dengan lengkap, dan masih masih mengekalkan cetakan asal terbitan Turki, tahun 1324 Hijrah. 

*******************

Berikut dikongsikan sinposis ringkas mengenai kitab ini, oleh Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, dalam buku berjudul Ensiklopedia Nusantara;


Tafsir Al-Baidhawi,
Terjemah Al-Quran Melayu Yang Pertama (Tarjuman al-Mustafid)
Oleh : Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah

DALAM percakapan dinamakan orang "Tafsir Baidhawi Melayu". Tetapi dalam persuratan judul yang diberi oleh penyusunnya Syeikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fansuri, ialah "Turjuman al-Mustafid bi al-Jawi". Atau judul yang lain dinamakan juga "Tafsir al-Baidhawi asy-Syarif.  Terjemahan dan tafsir al-Quran lengkap tiga puluh juzuk yang dibicarakan ini adalah merupakan yang pertama sekali  dalam bahasa Melayu. Selain yang berupa cetakan beberapa versi salinan tulisan tangan (manuskrip) Turjuman al-Mustafid sejak lama telah mendapat perhatian para sarjana peneliti manuskrip. Turjuman al-Mustafid berupa cetakan ada yang  tanpa tashih dan ada pula yang tashih. Cetakan yang ditashih adalah atas usaha Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah  merupakan pentashhih pertama dan yang memperjuangkan penerbitannya di Istanbul (Turki) dan Mesir. Penanganan tashih Turjuman al-Mustafid  Syeikh Ahmad al-Fathani dibantu oleh dua orang murid beliau, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Penerbitan­-penerbitan awal Turjuman al-Mustafid  tercatat:  1). Cetakan pertama Istanbul (Turki) 1302 H/1884 M dan 2).  Cetakan pertama Mathba‘ah Miriyah, Bulaq, Mesir 1303 H/1885 M.

Sejarah sebab-sebab terjadi penerbitan pertama di Istanbul (Turki), bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani mentashih pelbagai kitab Melayu / Jawi maka untuk mencetaknya timbul halangan yang   meng­hendaki perjuangan yang gigih. Raja Makkah ketika itu tidak membenarkan menerbitkan kitab-kitab selain bahasa Arab. Syeikh Ahmad al-Fathani telah membantah larangan seumpama itu. Kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, larangan seperti demikian itu akan menyempitkan penyebaran Islam ke seluruh dunia. Penduduk selain tanah Arab tidak  faham dengan bahasa Arab. Secara diam-diam Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengirim surat kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah, iaitu Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani. Sumber cerita ini dari Ustaz Haji  Mansor Merbok,  Kedah, pada 30 Mei 1990. Dia men­dengar cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Ibrahim. Tuan Guru Haji Ibrahim mendengar  cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Yahya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Cerita ini disesuaikan dengan pelbagai catatan Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Syeikh Ahmad al-Fathani telah dijemput oleh Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan dalam waktu yang sama pemerintah Makkah atas permintaan ulama Makkah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani untuk mewakili ulama Makkah di persidangan ulama Islam se dunia yang diadakan di Turki. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berangkat ke Turki dengan membawa beberapa beg kitab-kitab bahasa Melayu dan Arab yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu, yang telah beliau tashih. Khazanah karya ulama dunia Melayu itu semuanya untuk diperkenalkan kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan pihak-pihak penting di sana. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berhasil mem­perjuangkan penerbitan bukan  untuk kitab-kitab bahasa Melayu saja, juga termasuk bahasa-bahasa lainnya.  Oleh sebab itulah pada tahun 1302 H/1884M tersebut terdapat sekurang-kurangnya tiga buah kitab Melayu / Jawi yang diterbitkan di Istanbul. Dua yang lainnya ialah Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari­ dan Furu‘ al-Masail karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Pada kata pengantar Turjuman al-Mustafid cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani menulis, “Inilah kitab yang bernama Turjuman  al-Mustafid bi al-Jawi yang diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang  diambil setengah maknanya dari Tafsir al Baidhawi. Ka­rangan al-Alim al-Allamah wa al-Bahr al-Fahamah Farid Ashriri wa Wahidu Dahrihi Tuan  Syeikh Abdur Rauf ibnu asy-Syeikh Ali al-Fanshuri al-Jawi...”  Turjuman al-Mustafid yang diusaha cetak oleh Syeikh Ahmad al-Fathani adalah berasal dari manuskrip  yang diselesaikan oleh murid pengarangnya yang bernama Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha ‘Ali ar-Rumi. Salah seorang pentashih yang bernama Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani adalah keturunan Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu  Agha Mustafa ibnu Agha  ‘Ali ar-Rumi yang tersebut.  

Bukti Turjuman al-Mustafid dapat perhatian pelbagai bahawa seorang orientalis bernama Peter Riddell pernah membuat tesis Ph. D, ANU, Canberra dengan judul ‘Abd al-Rauf al-Singkili's al-Mustafid. Tokoh yang sama juga me­nulis artikel dalam JMBRAS  (1984) dengan judul The Sources of  ‘Abd al-Rauf's Turjuman al-Mustafid. Karel A. Steenbrink menyebut pada nota kaki buku “Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat” bahawa “sekarang ini  Drs. Salman Harun dari IAIN Ciputat, Jakarta tengah mempersiapkan sebuah disertasi menge­nai beberapa aspek lain dari karya yang besar ini.”

Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa Turjuman al-Mustafid adalah  “diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al-Baidhawi ....”, jadi bererti Turjuman al-Mustafid bukanlah merupakan terjemah secara ke seluruhan Tafsir al-Baidhawi  seperti banyak diperkatakan orang. Pendapat Syeikh Ahmad al-Fathani  itu sesuai pula dengan tulisan penyalin pertamanya Daud Jawi bin Ismail yang mengatakan “Akan kisahnya yang diambil kebanyakannya daripada Khazin.” Terlalu baru Karel A. Steenbrink yang merupakan petikan  dan tulisan Peter Riddell yang mengatakan bahawa “ternyata dasar tafsir ini adalah sebuah terjemahan yang cukup harfiyah dari Tafsir Jalalayn.” Walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani tidak menyebut Tafsir Jala­layn itu, namun kalimat beliau itu telah mewakili bahawa Turjuman al-Mustafid hanya sebahagianya saja dari Tafsir al-Baidhawi selainnya termasuk Khazin, Jalalain dan tafsir-tafsir selain itu.