Saturday, February 28, 2015

ULAMA DALAM MENGHADAPI CABARAN KHILAFIYAH

Dipetik dari buku Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu oleh Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah:

"Zaman Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani belum terjadi khilafiyah fiqh di dunia Melayu, yang terjadi sebelum beliau di Aceh antara pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin Sumatra-i dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan masalah fiqh, tetapi adalah masalah tasawwuf. Oleh sebab itu dalam semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyalahkan pihak mana¬ pun. Tulisannya hanyalah bersifat pendidikan dan penyebaran Mazhab Syafi‘ie, golongan penentang-penentang mazhab tidak pernah beliau persalahkan. Tidak terdapat tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyalahkan ulama-ulama seperti: Ibnul Qaiyim, Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazam, Daud Zhahiri dan lain-lain, walaupun nama-nama ulama-ulama itu ada beliau sebut, tetapi bukan menyalahkan. Menyu¬ruh mengikut mereka pun tidak pula, tulisan beliau mengenai tokoh-tokoh tersebut hanya sebagai perbandingan saja.

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani juga tawaquf tentang tokoh-tokoh itu, padahal pada zamannya, dunia mulai gempar akibat gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir. Kerana pertikaian antara Syeikh Muhammad Abduh dengan Syeikh Yusuf an-Nabhani ulama Makkah telah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani ke Beirut menemui Syeikh Yusuf an-Nabhani dan ke Mesir menemui Syeikh Muhammad Abduh. Syeikh Ahmad al-Fathani sedar bahawa apabila persoalan pertikaian sesama ulama diperbesar-besarkan, akibatnya tidak baik terhadap orang awam. Oleh itu tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tersebar atau yang pernah diterbitkan tidak membicarakan persoalan itu. Kedua-dua samudera ilmu keislaman itu tetap mempunyai hubungan baik dengan Syeikh Ahmad al-Fathani".
 
Sumber: PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DI DUNIA MELAYU, Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah, Hlmn 120, Terbitan Khazanah Fathaniyah.

Maklumat buku, boleh rujuk di link ini: Klik di sini


No comments: