Alhamdulillah pagi tadi (Isnin/ 22 Ramadhan), siaran TURATH ULAMA bagi pengajian kitab Munyatul Mushalli dilanjutkan lagi dengan perkara berkaitan Sujud Sahwi.
Kesinambungan dari minggu yang lepas -bahawa andai ditinggalkan lapan perkara dalam Sunat-Sunat Ab'adh adalah disunatkan sujud Sahwi. Kali ini al-Fadhil Ustaz Abdul Halim menyambung kepada perkara-perkara lain dari tersebut yang disunatkan juga sujud Sahwi. Perkara-perkara tersebut disebut Syeikh Daud al-Fathani dalam kitabnya, ringkasan adalah berikut:
1) Memanjangakan rukun yang pendek dengan tidak sengaja. Adapun sekiranya sengaja adalah terbatal. Rukun pendek yang dimaksudkan adalah i) iktidal dan ii) duduk antara dua sujud.
Menurut al-Fadhil Ustaz, kedua-dua rukun pendek tersebut tidak boleh lama seperti rukun-rukun yang lain yang tiada hadnya. Had bagi Iktidal adalah berdiri tidak boleh lebih dari seolah-olah membaca al-Fatihah. Bagi duduk antara dua sujud pula adalah separu dari al-Fatihah.
2) Bercakap/ Berkata-kata dengan sedikit. Sedikit yang dimaksudkan adalah tidak lebih dari 6 perkataan/ kalimah. Hal ini diqiaskan dari kisah sahabat Rasulullah SAW, iaitu Zil-Yadain, yang menegur Baginda yang kurang rakaat semasa solat. Diringkaskan, setelah berlaku perbualan yang singkat antara Baginda dan Zil-Yadain, maka Rasulullah terus sambung rakaat solat tersebut, tanpa memulakan solat semula.
3) Termakan/ terminum sedikit dengan tidak sengaja.
4) Melebihkan rakaat kerana terlupa.
5) Memindahkan rukun Qauli, contohnya membaca Surah Fatihah pada Ruku' atau Sujud. Seandainya terlupa sekalipun, ianya tidak membatalkan sembahyang kerana berkait dengan tahaffuz.
6) Syak meninggalkan sunat-sunat Ab'adh tertentu, seperti Qunut Subuh atau Tasyahud Awal.
7) Syak tentang rakaat dalam sembahyang.
Penutup pengajian, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa menurut ulama terdapat lebih 6000 masalah-masalah berkaitan sembahyang. Maka Ustaz menasihatkan agar dititikberatkan soal sembahyang ini, di samping sembahyang ianya adalah amalan yang awal akan dihisab. Wallahu a'lam.
Alhamdulillah siaran TURATH ULAMA berlangsung seperti yang dijadualkan, iaitu setiap hari Isnin dan Rabu jam 6.30 pagi, di saluran RTM TV1. Untuk siaran pagi semalam -Isnin/ 20 Ramadhan- disambung pula pengajian kitab Faridatul Faraid (Karya Syeikh Ahmad al-Fathani) yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Hashim al-Hadhrami.
Sedikit perkongsian - Pengajian disambung dengan sifat wajib bagi Allah yang kesepuluh iaitu 'Hayat'. Sifat Hayat diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh pengarang kitab (Syeikh Ahmad al-Fathani) sebagai 'hidup'. Di sini, al-Fadhil Ustaz Azhar membuat perbandingan dengan terjemahan oleh pengarang kitab Bakurah al-Amani (Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathani/ Pak Da 'el) sebagai 'penghidup'.
Melihat kepada perbezaan kedua ulama tersebut, terselit pengajaran yang wajar diambil. Menurut al-Fadhil Ustaz, pertikaian tersebut tidaklah sepatutnya kita meletakkan mana yang benar atau salah, kerana kedua-duanya dikenali sebagai ulama besar Melayu. Kita harus melihat perbezaan tersebut dengan pandangan yang beradab tanpa mempertikaikannya. Contoh dalam sifat 'Hayat' ini, Syeikh Ahmad menterjemahkan atas jalan lazim, manakala Pak Da 'El pula menterjemahkan atas jalan sifat, kerana terjemahan mereka berbeza.
Dengan cara ini, selamatlah kita dalam beradab dengan ulama, kerana adab adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan.
Alhamdulillah pada 9 Ramadhan yang lalu facebook untuk Khazanah Fathaniyah baru didaftarkan. Moga dengan bertambah rangkaian saluran komunikasi ini memudahkan pelbagai pihak untuk berhubung dengan kami, di samping menyebarluaskan lagi makluman-makluman terkini dari Khazanah Fathaniyah. InsyaAllah pengemaskinian terkini berkaitan Khazanah Fathaniyah akan dimaklumkan juga melalui facebook tersebut.
Oleh itu, dijemput untuk menjadi rakan facebook Khazanah Fathaniyah : Klik di sini.
* Makluman Ulangan - Khazanah Fathaniyah telah berpindah ke lokasi baru, beralamat berikut:
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200, KL
(Atas KK Mart 24 Jam).
No. Tel : 03-4265 6444 / No. Faks: 03-4265 6446.
Berkenaan lokasi lama iaitu di Taman Melewar (Dewan Syeikh Daud al-Fathani) pula, insyaAllah akan dipenuhi dengan kelas pengajian kitab, di samping aktiviti-aktiviti lain, khususnya membabitkan persatuan PENGKAJI.
Alhamdulillah hari ini -15 Ramadhan- siaran TURATH ULAMA disambung dengan pengajian kitab Munyatul Mushalli, dalam fasal 'Hikmah dan Kesempurnaan dalam Sembahyang' disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Saad.
Di awal siaran, al-Fadhil Ustaz menjelaskan tiga kemuliaan (Karamah) bagi orang yang sembahyang iaitu:
(Riwayat daripada Hasan Basri R.A, daripada Rasulullah SAW, bahawasanya bersabda: "Bagi orang yang sembahyang itu tiga karamah")*
1) Berteraburan kebaikan/ kebajikan ke atas kepalanya (orang yang mengerjakan sembahyang) dari langit.
2) Malaikat berkeliling dari dua tapak kakinya (orang yang mendirikan sembahyang) hingga langit ke-3.
3) Malaikat menyeru andai seseorang itu tahu akan segala kemuliaan melaksanakan sembahyang, nescaya tidak berhenti seseorang itu dari mengerjakannya.
Seterusnya dibicarakan mengenai sunat dalam memberi Salam, dan perkara-perkara berkaitan sunat Hai'at dan Ab'adh. Secara ringkasnya berkaitan Salam, adalah lebih utama diniatkan memberi Salam kepada para Malaikat, dilanjutkan dengan jemaah yang sembahyang bersama dan juga kepada jin (Jin Islam).
Manakala berhubung perkara Sunat Hai'at dan Ab'adh, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa Sunat Ab'adh akan menyebabkan pahala sembahyang berkurang andai ditinggalkan, kerana itu digantikan dengan sujud Sahwi, dan sebaliknya pula pada Sunat Hai'at yang mana pahala tidak akan terjejas (berkurang), tetapi pelaksanaannya adalah bertujuan 'mencantikkan' sembahyang.
Alhamdulillah telah masuk 9 hari Ramadhan. Mengambil sempena bulan yang penuh barakah ini, sukacita dimaklumkan bahawa bermula bulan Julai ini, Khazanah Fathaniyah telah beroperasi di lokasi yang baharu, beralamat seperti berikut:
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200 KL. (Atas KK Mart 24 Jam) No Tel: 03-4265 6444 / No Faks : 03-4265 6446 Facebook: Khazanah Fathaniyah
InsyaAllah lokasi ini akan dibuka setiap hari (7 hari seminggu), bermula jam 10 pagi-5.30 petang. Dipersilakan!.
Sebagai
pembuka kata, kami memohon berbanyak-banyak kemaafan bagi yang telah
menghantar emel, yang tidak dibalas dan direspon lagi, sama ada
berbentuk pertanyaan atau pesanan kitab-kitab. Setelah diteliti, begitu
banyak email yang masuk, dan terdapat pula yang masuk ke bahagian 'spam'
yang dikirakan email yang penting. InsyaAllah hal ini akan cuba
diperbaiki, dan dibalas secara berperingkat. Mohon maaf atas segala
kesulitan.
Sebagai makluman juga, pesanan melalui email ditutup buat sementara waktu, dan akan dibuka kembali pada 1 Julai 2013 ini, kerana proses pengemaskinian laman web Khazanah Fathaniyah.
Seterusnya,
kini kami dalam proses ulangcetak terbitan-terbitan Khazanah
Fathaniyah. InsyaAllah sebarang pengemaskinian terbaharu, akan
dimaklumi kembali.
Sekali lagi, pihak kami memohon berbanyak-banyak kemaafan akan segala permasalahan dan kesulitan.
Khazanah
Fathaniyah bukan hanya menjual buku / kitab, bahkan juga mewujudkan
sistem wakaf kitab. Sistem ini dijalankan dengan cara seseorang
individu / institusi membeli kitab-kitab yang disenaraikan untuk tujuan
wakaf, dengan tujuan untuk diwakafkan ke tempat-tempat yang dipilih dan
diuruskan oleh Khazanah Fathaniyah. Pihak kami akan memastikan bahawa
kitab tersebut akan sampai
dan digunakan di tempat-tempat yang sepatutnya.
Wakaf kitab ini diedarkan ke
tempat-tempat yang mengadakan pengajian kitab-kitab tersebut, contohnya
di masjid, surau, pondok pengajian, sekolah dan lain-lain tempat serata
Nusantara. Hingga kini, pengedaran kitab-kitab wakaf tersebut telah
diedarkan bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Patani, Kemboja, dan
Indonesia. Tujuan pengedaran kitab-kitab wakaf ini adalah untuk
menyebarkan dan memperkenalkan kitab-kitab turath karya ulama Alam
Melayu kepada masyarakat agar ianya tidak luput ditelan zaman . Di
samping itu juga untuk memartabatkan kembali tulisan jawi di kalangan
generasi kini.
Terdapat 6 buah kitab yang diterbitkan secara wakaf iaitu:
Munyatul Mushalli karya Syeikh Daud al-Fathani (Solat)
Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Tauhid)
'Unwanul Falah karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Fiqh)
Abniyatul Asma' wal Af'al dan Risalatul Fathaniyah karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Nahu Sharaf)
Tashilu Nailil Amani fi Syarhi 'Awamilil Jurjani karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Nahu Sharaf)
Risalah Nahu dan Sharaf (Kumpulan Nahu dan Sharaf dari pelbagai kitab, yang kebanyakan adalah karya Syeikh Ahmad al-Fathani)
Sekiranya
Tuan-tuan /Puan-puan yang dihormati mahu mewakafkan kitab-kitab
tersebut, mahupun ada individu / institusi-institusi yang
berkehendakkan kitab-kitab
tersebut untuk belajar ataupun diajarkan, boleh menghubungi kami di
talian 03-61897231 (pejabat) , atau staf yang menguruskan bahagian tersebut, iaitu:
Abdul Halim Muhammed : 013-3564496
Azrul Basaruddin : 016-3520094
Namun, untuk tahun 2012 ini, kami hanya menerbitkan sebuah sahaja kitab
berupa wakaf, iaitu kitab Nahu - TASHIL NAIL AL-AMANI (RM10), manakala
kitab-kitab yang lain disenaraikan di atas telah kehabisan stok.
Berikut dilampirkan sedikit sinopsis dari kitab, yang pernah ditulis
oleh al-Marhum haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, semoga ada manfaatnya,
InsyaAllah.
TASHIL NAIL AL-AMANI
Kitab Nahu yang Berpengaruh
Kulit kitab TASHIL NAIL AL-AMANI (Depan)
Judul lengkap Tashilu Nailil Amani fi Syarh
‘Awamilil Jurjani atau dinamakan juga dengan Tasrihul Ghawamil fi Syarhil
‘Awamil. Ditulis dalam bahasa Arab dan selesai penulisan waktu Azan Zohor,
hari Isnin 12 Rabi‘ulawal 1300 H/21 Januari 1883 M, di Makkah. Nama lengkap
diletakkan pada mukadimah ialah Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.
Kandungan mebicarakan ilmu Nahu, merupakan syarah Matan ‘Awamil karya Syeikh
‘Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 471 H1078 M).
Pada bahagian nota menyentuh secara ringkas
tentang Melayu yang terdiri dari: geografi, bahasa, perwatakan, sejarah dan
pemerintahan. Secara khusus disebut juga tentang Patani adalah termasuk
bahagian negeri Melayu yang pernah mempunyai kedaulatan yang besar.
Kitab ini dapat diklasifikasikan termasuk dalam
senarai kitab Nahu tradisional yang
dikenal seluruh dunia Islam. Masih diajarkan di beberapa tempat sama ada
di dunia Melayu sendiri dan tempat-tempat lain dalam negeri-negeri Arab dan
lain-lain hingga sekarang ini. Terdapat pelbagai edisi cetakan di antaranya,
ialah: Cetakan yang pertama, Mathba‘ah al-Bahiyah, di lorong Quthub ad-Dardir,
Mesir, Muharram 1301 H/Disember 1883 M disebut pada cetakan ini bahawa
dicetak atas zimmah pengarang sendiri. Dicetak pula oleh Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah,
Makkah nama percetakan ini di bahagian
belakang lebih lengkap iaitu Mathba‘ah al-‘Amirah al-Miriyah al-Kainah, disebut
sebagai cetakan yang ketiga, 20 Rabi‘ulawal 1317 H/29 Julai 1899 M. Dinyatakan
pada cetakan ini atas zimmah Fida Muhammad
al-Kasymiri al-Makki. Cetakan ini juga lebih lengkap, terdapat catatan
nota-nota dari pengarang pada hampir semua
halaman. Maka dapat diambil kesimpulan bahawa mengenai Tashil Nail
al-Amani ini terdapat dua edisi cetakan, iaitu yang lengkap dan yang tak lengkap. Yang masih
beredar sampai sekarang ialah cetakan yang
tidak lengkap.
Kulit belakang
Tashil Nail al-Amani telah diajarkan di Pulau
Jawa, di negeri-negeri dunia Melayu dan lainnya sejak Syeikh Ahmad al-Fathani
masih hidup lagi, mungkin kitab itu dibawa dan kemudian diajarkan oleh murid-
murid beliau sendiri. Buktinya pada kitab Matan ‘Awamil yang bergantung
maknanya dengan bahasa Jawa dicetak oleh Syarkah Maktabah wa Mathba‘ah Ahmad bin Nabhan,
Surabaya, Indonesia pada akhir kitab terdapat kenyataan itu. Bahagian tepinya
tercantum keringkasan dari Tashil Nail al-Amani
yang setiap selesai perbicaraan
ditulis dengan "Tashil" saja. Bukti lain bahawa bahagian akhir tertulis doa yang ditulis oleh Syeikh Ahmad
al-Fathani dalam Tashil Nail al-Amaninya yang doa itu sebenarnya tidak pernah
ada dalam Matan ‘Awamil karya Syeikh
‘Abdul Qahir al-Jurjani. Matan ‘Awamil
bergantung makna bahasa Jawa selesai ditulis tahun 1319 H (Syeikh Ahmad
al-Fathani wafat 1325 H/1908 M). Sayang penulis tidak menyebut namanya, namun pada bahagian kedua (pada
Matan al-Ajrumiyah) dia menyebut namanya al-Haji Ahmad bin Imam Pura Jawa asal
Kampung Kalija Sala (Solo, ?). Dengan maklumat ini, sebagai bukti pula,
barangkali sangat ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang membuka
Pondok-pesantren di Pulau Jawa, kerana dari dulu hingga kini masih banyak
Pondok-pesantren tradisional di Jawa dan Madura yang mengajar kitab Tashil Nail al-Amani Orang Jawa menyebut kitab tersebut dengan
Kitab Ngawamil. Manakala untuk Syeikh Ahmad al-Fathani mereka sebut dengan "Kiyai Syeikh
Ngawamil" saja.
________________________
Alhamdulillah, rancangan TURATH ULAMA telah kembali bersiaran ke udara kembali, bermula minggu lepas. Moga kita diberi kelapangan waktu untuk menontonnya, insyaAllah.
Seperti biasa, InsyaAllah setiap hari Rabu dan Khamis, bermula jam 6.30 petang, di TV1. Moga ada manfaatnya, ameen.