Munyatul Mushalli diselesaikan pada tahun Hijrah, 1242. Ini bererti pengarangnya, as-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani 'berusia' tatkala menamatkan penulisan kitab tersebut, jika mengambilkira pendapat yang mengatakan bahawa beliau lahir pada tahun 1133 H. Pendapat lain 1153 H dan 1183 H.
Kitab Munyatul Mushalli, edisi Jawi
(Terbitan: Khazanah Fathaniyah)
Dalam usia sama ada 109 tahun (jika lahir tahun 1133 H), atau 89 tahun (lahir tahun 1153 H), sekalipun berumur 59 tahun (lahir tahun 1183 H), namun bukanlah masih boleh dianggap satu umur yang 'muda' bagi seseorang menghasilkan sebuah karya sedemikian. Bahkan hingga hari ini Munyatul Mushalli masih tetap 'segar', tanpa mengira betapa modennya zaman yang datang kemudiannya.
Pengaruh nama ulama besar Melayu, Syeikh Daud al-Fathani sangat kuat melalui karya-karya peninggalan, yang antaranya adalah kitab Munyatul Mushalli. Buktinya, dari dulu hingga hari ini hasil karya-karya beliau banyak diajarkan serata Nusantara, baik bidang Fiqh, Tasawuf, Aqidah dan sebagainya, selain mencangkupi pelbagai genre, sama ada berbentuk puisi, syair, nazam, manaqib dan sebagainya, juga melalui pelbagai medium, dari belajar secara bertalaqqi di pondok-pondok, hinggalah ke peringkat masyarakat awam di surau/masjid/ sebagainya, hinggalah kepada rakaman melalui kaset, dan alhamdulillah, buat julung kalinya mulai tahun 2011, Munyatul Mushalli diajarkan di kaca televisyen. Alhamdulillah.
Buku Transliterasi Munyatul Mushalli
(Terbitan: Khazanah Fathaniyah)
Namun, bak kata Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir (dalam buku transliterasi Munyatul Mushalli), secara kesimpulannya adalah difahami seperti berikut: bahawa bagaimana dipersembahkan Munyatul Mushalli tersebut dalam segala pelbagai bentuk, sama ada diringkaskan, disyarahkan, mahupun ditransliterasikan, atau dimodenkan mengikut peredaran zaman, namun ianya tidak akan menjangkau kemasyhuran dan berpengaruh sebesar Munyatul Mushalli yang aslinya. Tetapi, dengan mengambilkira kesukaran dalam memahami kitab Munyatul Mushalli yang asli, langkah-langkah tersebut tetap dilaksanakan.
Kesukaran dalam memahami kitab turath memang dimaklumi, baik dari bahasanya dan ejaannya. Bahasanya mungkin bercampur dialek, contohnya Syeikh Daud al-Fathani memakai bahasa Melayu Pattani. Masalah ejaan juga tidak dinafikan, lain yang ditulis, lain yang dibaca. Tetapi, apabila difikirkan, mungkin inilah hikmahnya ditakdirkan sebegitu, ya, kita perlu 'berguru'! Sekiranya disampaikan dengan mudah dan ringkas, mungkin kita abaikan metode 'berguru'. Apabila senang difahami, maka belajar sendiri menjadi jalan keluar, yang sebenarnya tanpa kita sedari tersembunyi 1001 ilmu-ilmu lain apabila menuntut secara 'berguru'. Atau tanpa disedari, mungkin yang mudah boleh terjadi kekeliruan pemahaman makna sebenar.
Kini, dengan peningkatan teknologi moden, 'berguru' tidak menjadi masalah lagi. Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan bertalaqqi secara udara sebegini, tetapi dari tanpa berguru, lebih baik dilakukan yang terbaik, bukankah?. KepadaNya jua kita serahkan sekalian urusan, insyaAllah moga ada keberkatan dari-Nya.
Oleh itu, dijemput moga dilapangkan masa untuk menadah kitab Munyatul Mushalli secara 'berguru', insyaAllah setiap hari Rabu jam 6.30 petang, seperti biasa di TV1.
Alhamdulillah, setelah terhenti agak lama, kerana kekangan yang tidak dapat dielakkan, Munyatul Mushalli kembali ke udara buat pertama kalinya tahun 2012 pada 21 Mac (Rabu) yang lalu. Bagi musim ke-2 ini, rakaman telah disambung kembali pada 17 Mac baru-baru ini, dengan berwajah baru. Alhamdulillah.
Jemput tonton!
Setelah hampir setahun, baru selesai 12 halaman. Munyatul Mushalli lengkapnya 40 halaman. Mungkin akan memakan masa antara 3-4 tahun. Dapatkah istiqamahnya kita? Mudah-mudahan program ini akan berakhir hingga ke 'khatimah'nya kitab. Sama2 kita doakan, insyaAllah.
----------------------------
----------------------------
P/S:
- Program TURATH ULAMA telah ditukar hari siarannya, iaitu kepada hari Rabu = untuk kitab Munyatul Mushalli, dan Khamis = untuk kitab Faridatul Faraid. Manakala waktu siarannya masih sama, 6.30 - 7.00 petang, InsyaAllah.
- Kedua-dua kitab tersebut boleh diperolehi melalui Khazanah Fathaniyah (No. Tel: 03-61897231/03-61883790), sama ada berbentuk Jawi atau Rumi (transliterasi). Pengeposan adalah percuma untuk kitab Munyatul Mushalli dan Faridatul Faraid edisi Jawi, kerana ianya adalah kitab Wakaf.
- Sekiranya menghantar sebarang pesanan melalui emel, harap dapat memaklumkan kepada kami, sama ada melalui talian telefon pejabat (03-61897231/03-61883790, atau sms ke talian 013-2089345.
Sekian, sekadar makluman. Semoga bermanfaat dan dimanfaatkan.
2 comments:
Alhamdulillah. Tahniah kepada TV1 kerana menyiarkan program Tutarh Ulama.
Insya Allah bila ada rezeki saya akan Khazanah Fathaniyah untuk mendapatkan kitab2 sebagai rujukan.
Tahniah juga kepada pemilik Khazanah Fathaniyah kerana masih meneruskan usaha dan menyediakan koleksi2 Fathaniyah yang dipelopori oleh Almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir. Semoga usaha Almarhum serta Khazanah Fathaniah diberkati Allah Taala.
Alhamdulillah , terima kasih atas sokongan. Dijemput untuk ziarah, dan jika berminat untuk mengikuti kelas, silakan saja terus ke lokasi.
Post a Comment