Munyatul   Mushalli diselesaikan pada  tahun Hijrah, 1242. Ini bererti   pengarangnya, as-Syeikh Daud Abdullah  al-Fathani 'berusia' tatkala   menamatkan penulisan kitab tersebut, jika  mengambilkira pendapat yang   mengatakan bahawa beliau lahir pada tahun  1133 H. Pendapat lain 1153 H   dan 1183 H. 
Kitab Munyatul Mushalli, edisi Jawi
(Terbitan: Khazanah Fathaniyah)
Dalam    usia sama ada 109 tahun (jika lahir tahun 1133 H), atau 89 tahun   (lahir  tahun 1153 H), sekalipun berumur 59 tahun (lahir tahun 1183 H),   namun  bukanlah masih boleh dianggap satu umur yang 'muda' bagi   seseorang  menghasilkan sebuah karya sedemikian. Bahkan hingga hari ini   Munyatul Mushalli  masih tetap 'segar', tanpa mengira betapa modennya   zaman yang datang  kemudiannya. 
Pengaruh   nama ulama besar Melayu, Syeikh Daud al-Fathani sangat kuat melalui  karya-karya  peninggalan,  yang antaranya adalah kitab Munyatul  Mushalli.  Buktinya, dari dulu hingga hari ini hasil  karya-karya beliau  banyak  diajarkan serata Nusantara, baik bidang Fiqh,  Tasawuf, Aqidah  dan  sebagainya, selain mencangkupi pelbagai genre, sama  ada berbentuk   puisi, syair, nazam, manaqib dan sebagainya, juga melalui  pelbagai   medium, dari belajar secara bertalaqqi di pondok-pondok,  hinggalah ke   peringkat masyarakat awam di surau/masjid/ sebagainya,  hinggalah kepada   rakaman melalui kaset, dan alhamdulillah, buat julung  kalinya mulai   tahun 2011, Munyatul Mushalli diajarkan di kaca  televisyen.   Alhamdulillah.
Buku Transliterasi Munyatul Mushalli
(Terbitan: Khazanah Fathaniyah) 
Namun,    bak kata Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir (dalam buku transliterasi  Munyatul  Mushalli), secara kesimpulannya adalah difahami seperti  berikut:  bahawa bagaimana dipersembahkan Munyatul Mushalli tersebut   dalam segala  pelbagai bentuk, sama ada diringkaskan, disyarahkan,   mahupun  ditransliterasikan, atau dimodenkan mengikut peredaran zaman,   namun  ianya tidak akan menjangkau kemasyhuran dan berpengaruh sebesar    Munyatul Mushalli yang aslinya. Tetapi, dengan mengambilkira kesukaran    dalam memahami kitab Munyatul Mushalli yang asli, langkah-langkah    tersebut tetap dilaksanakan.
Kesukaran    dalam memahami kitab turath memang dimaklumi, baik dari bahasanya dan    ejaannya. Bahasanya mungkin bercampur dialek, contohnya Syeikh Daud    al-Fathani memakai bahasa Melayu Pattani. Masalah ejaan juga tidak    dinafikan, lain yang ditulis, lain yang dibaca. Tetapi, apabila difikirkan, mungkin inilah hikmahnya ditakdirkan sebegitu, ya, kita    perlu 'berguru'! Sekiranya disampaikan dengan mudah dan ringkas, mungkin    kita abaikan metode 'berguru'. Apabila senang difahami, maka belajar    sendiri menjadi jalan keluar, yang sebenarnya tanpa kita sedari    tersembunyi 1001 ilmu-ilmu lain apabila menuntut secara 'berguru'. Atau tanpa disedari, mungkin yang mudah boleh terjadi kekeliruan pemahaman makna sebenar.
Kini,    dengan peningkatan teknologi moden, 'berguru' tidak menjadi masalah    lagi. Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan bertalaqqi secara udara    sebegini, tetapi dari tanpa berguru, lebih baik dilakukan yang   terbaik, bukankah?. KepadaNya jua kita serahkan sekalian urusan,    insyaAllah moga ada keberkatan dari-Nya. 
Oleh    itu, dijemput moga dilapangkan masa untuk menadah kitab  Munyatul   Mushalli secara 'berguru', insyaAllah setiap hari Rabu jam  6.30 petang,   seperti biasa di TV1. 
Alhamdulillah,   setelah terhenti agak lama, kerana kekangan yang  tidak dapat   dielakkan, Munyatul Mushalli kembali ke udara buat pertama  kalinya   tahun 2012 pada 21 Mac (Rabu) yang lalu. Bagi musim ke-2 ini,  rakaman   telah disambung kembali pada 17 Mac baru-baru ini, dengan  berwajah   baru. Alhamdulillah. 
Jemput tonton!
Setelah   hampir setahun, baru selesai 12 halaman. Munyatul Mushalli lengkapnya   40 halaman. Mungkin akan memakan masa antara 3-4 tahun. Dapatkah   istiqamahnya kita? Mudah-mudahan program ini akan berakhir hingga ke   'khatimah'nya kitab. Sama2 kita doakan, insyaAllah.
----------------------------
----------------------------
P/S: 
-  Program TURATH ULAMA telah ditukar hari siarannya, iaitu kepada hari  Rabu = untuk kitab Munyatul Mushalli, dan Khamis = untuk kitab Faridatul  Faraid.  Manakala waktu siarannya masih sama, 6.30 - 7.00 petang,  InsyaAllah.
-  Kedua-dua kitab tersebut boleh diperolehi melalui Khazanah Fathaniyah  (No. Tel: 03-61897231/03-61883790), sama ada berbentuk Jawi atau Rumi  (transliterasi). Pengeposan adalah percuma untuk kitab Munyatul Mushalli dan Faridatul Faraid edisi Jawi, kerana ianya adalah kitab Wakaf.
-  Sekiranya menghantar sebarang pesanan melalui emel, harap dapat  memaklumkan kepada kami, sama ada melalui talian telefon pejabat  (03-61897231/03-61883790, atau sms ke talian 013-2089345.
Sekian, sekadar makluman. Semoga bermanfaat dan dimanfaatkan. 
 



