Ada yang bertanya kenapa kitab Faridatul Faraid dipilih sebagai
pengajian untuk program Turath Ulama (TV1), selain kitab Munyatul
Mushalli. Ada juga yang berpendapat bahawa Kitab Munyatul Mushalli
mungkin tidak menghairankan, kerana ramai yang mengakui pernah
mempelajarinya, tidak kurang juga yang hanya pernah mendengar namanya
sahaja.
Berbeza dengan Faridatul Faraid. Di kalangan pelajar-pelajar pondok,
ianya tidak janggal, tetapi di kalangan awam, kitab yang dinamakan
sebagai Faridatul Faraid tersebut masih 'baru' bagi mereka. Walhal, kitab ini sangat masyhur di kalangan para ulama, terutama ulama Fathani.
Bagi saya kitab Faridatul Faraid, karya Syeikh Ahmad al-Fathani ini
mempunyai kelasnya tersendiri. Menurut al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd
Sahghir Abdullah, beliau sendiri pada mulanya kurang mengerti kenapa
kitab ini sangat diperbesar-besarkan di kalangan ulama. Memetik dari
kata-kata beliau dalam
muqaddimah kitab;
"Sewaktu saya ke Bangkok pada tahun 1971, ramai kalangan
ulama dan pelajar Islam di sana menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani
dengan "Tuan Faridah", sebagaimana di Jawa hingga tahun 1960, para
ulama'nya mengenal Syeikh Ahmad al-Fathani dengan sebutan "Tuan
Ngawamil". Demikian besarnya pengaruh kitab ini, sehingga sangat ramai
yang pernah belajarnya, manakala ada mendapat anak perempuan lalu
menamakan dengan "Faridah"".
Sambung beliau lagi;
"Sewaktu saya ke Mekah pada tahun 1979, salah seorang 'alim berasal
dari Fathani mengatakan bahawa kitab Faridatul Faraid jika diajar oleh
orang yang lebih 'alim, lebih sedap, lebih luas, dan lebih
mengasyikkan. Salah seorang tuan guru pondok di Fathani mengatakan
bahawa kitab Faridatul Faraid tetap akan diajarkan di pondok-pondok
dalam wilayah Fathani. Menurutnya lagi, hingga ke hari ini tidak ada
satu kitab Tauhid dalam bahasa Melayu yang menyamai kemasyhuran kitab
Faridatul Faraid. Mereka menyebut bahawa dalam kitab ini mempunyai
pengertian yang tersirat, baik ditinjau dari segi susunan Nahu dan
Saraf, mahupun penafsiran secara batin atau rahsia...".
Menurut Ustaz Wan Shaghir lagi,
"Dalam tahun 1992, salah seorang ustaz yang mengajar sebagai pensyarah
di Nilam Puri (Kelantan) bercerita kepada saya, "Saya mengajar di
banyak masjid dalam Kota Bharu Kelantan, di antara kitab yang saya ajar
ialah Faridatul Faraid oleh Tok Guru Wan Ahmad al-Fathani. Cukup besar
'amal jariah Tok Guru Wan Ahmad, kerana di salah satu masjid saya
mengajar tidak kurang yang hadir sekitar lima ratus orang. Yang
mengajar Faridah bukan saya sahaja, tetapi ramai ustaz lainnya. Cuba
bayangkan dari dulu hingga sekarang Faridah masih tetap diajarkan,
itulah sebabnya saya katakan cukup banyak 'amal jariah yang diterima
oleh Tok Guru Wan Ahmad, tuan punya kitab itu"....". MasyaAllah.
Hingga hari ini kisah yang dikhabarkan oleh tuan guru-tuan guru pondok
tersebut kepada al-Marhum Ustaz Wan Shaghir tersebut telah terbukti
kerelevanannya. Sejak tahun 2008, hingga hari ini 2012, Khazanah
Fathaniyah bergiat aktif dalam penyebaran kitab wakaf, yang antaranya
adalah kitab Faridatul Faraid. Sehingga 2012 ini, hampir 40,000 buah
kitab Faridatul Faraid telah diwakafkan, dan permintaan majoritinya
adalah dari pondok-pondok di Fathani. Malah, permintaan sentiasa
berterusan, dan terus meningkat dari tahun ke tahun, hingga pengulangan
cetak masih diteruskan. Alhamdulillah.
Tahun 2011 pula menyaksikan kitab Faridatul Faraid diajar di kaca TV,
melalui program Turath Ulama. Kerjasama antara Khazanah Fathaniyah dan
JAKIM ini sesungguhnya adalah satu dakwah dalam memartabatkan kembali
keilmuan ulama silam, yang mungkin semakin dilupai. Dengan ini juga
khazanah ulama melalui pengajian kitab kian bertapak di hadapan umum,
bukan setakat di'kenali' di kalangan pelajar-pelajar pondok sahaja.
Ustaz Azhar Bin Hashim,
yang mengajar kitab Faridatul Faraid, dalam Turath Ulama.
Untuk itu, tanpa jemu, kami menjemput untuk sama-sama kita mendalami
ilmu Tauhid dalam kitab Faridatul Faraid, karya Syeikh Ahmad
al-Fathani, setiap hari Khamis, bermula 6.30 petang (TV1), dalam
program yang sama dengan Munyatul Mushalli, iaitu Turath Ulama. InsyaAllah.
------------------------------
Pengumuman :
Khazanah Fathaniyah menyediakan dua versi kitab, dalam versi Jawi dan
rumi, bagi kedua-dua kitab yang digunakan dalam program Turath Ulama.
- Untuk versi Jawi, ianya adalah diberi secara percuma, kerana
merupakan kitab yang telah diwakafkan, dengan SYARAT penerima kitab
harus memanfaatkan dengan sebetulnya, sama ada untuk diajar atau
dipelajari, dan tidak boleh dilakukan sebarang transaksi jualbeli.
- Untuk versi rumi, berikut adalah harga bagi kedua buah kitab:
1. Kitab Munyatul Mushalli : RM 18.00
2. Kitab Faridatul Faraid : RM 28.00
- Untuk mendapatkan kitab-kitab tersebut, sama ada versi Jawi/rumi,
boleh diperolehi sama ada melalui telefon di talian : 03-6189 7231/
email: khazanahfathaniyah[at]yahoo.com, atau sms : 013-2089345 (sms sahaja).
Sekian, sekadar makluman. Semoga bermanfaat, insyaAllah.