Seperti yang dijanjikan pada entri yang lepas, dipetik beberapa petikan-petikan karya al-Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah mengenai ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya. Untuk siri ini, segala petikan diambil dari karya beliau yang berjudul PENYEBARAN THARIQAT-THARIQAT SHUFIYAH MU'TABARAH DI DUNIA MELAYU, antara karya beliau yang khusus membicarakan silsilah ilmu Tasawuf dan Thariqat di alam Melayu. Dimulakan dengan kata-kata beliau yang diambil dari isi kandungan muqaddimah buku iaitu;
"Perkembangan mutakhir ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya di dunia Melayu, diwarnai dengan penuh cabaran dan kecaman. Segelintir intelektual Islam masa kini sering memandang sesat dan menyalah-nyalahkan mereka. Sebaliknya sekian ramai orang, termasuk ulama, mempelajari dan mengamalkannya dengan tekun tanpa ragu. Saya berpendapat bahawa ilmu tasawuf dan thariqat-thariqat yang tidak tentu asal-usulnya memang boleh dianggap salah. Namun ilmu tasawuf dan thariqat-thariqat tertentu yang telah diamalkan oleh sekian ramai ulama sekarang, atau masa dulu, yang bersanad/bersilsilah sambung menyambung dengan para 'ulama shalihin, salafus shalih, hingga sampai kepada para tabi'in, sahabat Radhiyallahu 'anhum, dan Rasulullah S.A.W sendiri adalah suatu jalan yang benar, yang tiada perlu dipertikaikan. Oleh sebab itu saya berpendapat bahawa para ulama yang beramal dengan ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya berada pada posisi yang sebenarnya,.........".
Antaranya yang diperjelaskan oleh beliau lagi adalah;
"Dalam buku ini hanya dimuat sebahagian kecil thariqah shufiyah yang berkembang dan dikenalpasti oleh masyarakat shufi Melayu sahaja, walaupun sebenarnya masih banyak thariqat shufiyah yang tidak disebut dalam buku ini juga terdapat di dunia Melayu. Sebagai contoh pada halaman 2 dan 3 buku ini, saya petik tulisan Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dalam kitab Asrar as-Suluk ila Mala'il Muluk, menurut beliau bahawa asal thariqah tasawuf Islami dalam dunia ada empat belas. Ada ulama berpendapat bahawa nama thariqah shufiyah mu'tabarah adalah sembilan puluh sembilan. Saya berpendapat dengan yang disebut oleh Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi itu. Tetapi walau bagaimanapun, yang empat belas itu adalah setelah dijabarkan dari sumber yang satu, menurut jumhur ulama' shufiyah, bahawa asalnya adalah satu jua, iaitu berasal dari Nabi Muhammad S.A.W, termaktub hujah-hujah dalam al-Qur'an dan as-Sunnah, iaitulah hujah-hujah mengenai 'zikrullah'. Adapun nama thariqat yang diberikan, yang datang kemudian, hanyalah berdasarkan kerana terdapat seseorang nama tokoh terkenal. Sebagai contoh, Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi menulis, "Thariqat Thaifuriyah pengetuanya Abu Yazid al-Bisthami, Thariqat Jistiyah pengetuanya Abu Ahmad Badruddin, Thariqat Qadiriyah pengetuanya Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani...". Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi menggunakan istilah 'pengetua' adalah tepat dan betul sebagaimana tepat dan betul istilah yang digunakan oleh beberapa orang 'ulama shufiyah sendiri pada tempat yang disebut 'nisbah'/dibangsakan. Sebagai contoh; Thariqat Syathariyah dinisbahkan kepada Syeikh 'Abdullah asy-Syathari, Thariqat Naqsyabandiyah dinisbahkan kepada Syeikh Bahauddin an-Naqsyabandi, dan lain-lain. Saya tidak berpendapat dengan istilah yang digunakan seperti 'didirikan' atau 'diasaskan'. Thariqat Qadiriyah bukan didirikan atau diasaskan oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Thariqat Syathariyah bukan diasaskan atau didirikan oleh Syeikh 'Abdullah asy-Syathari, juga beberapa thariqat-thariqat lain lagi, tetapi sebenarnya semua thariqat yang disebut contohnya itu telah wujud jauh sebelum kelahiran ulama-ulama yang tersebut. Nama sesuatu thariqat memang belum ada, tetapi amalannya iaitu 'zikrullah' adalah merupakan amalan Rasulullah S.A.W. Bahkan merupakan amalan para Anbiya' yang terdahulu, sejak dari Nabi Adam 'Alaihis Salam lagi. Keterangan lanjut sebagai amalan Rasulullah S.A.W dapat diperhatikan silsilah yang saya muatkan dalam buku ini......"
Antara thariqat-thariqat yang dibicarakan oleh beliau dalam buku berjudul PENYEBARAN THARIQAT-THARIQAT SHUFIYAH MU'TABARAH DI DUNIA MELAYU tersebut adalah seperti Thariqat Syathariyah, Thariqat Qadiriyah, Thariqat Naqsyabandiyah, Thariqat Rifa'iyah, Thariqat Ba'alawiyah/ 'Alawiyin, Thariqat Khalwatiyah, Thariqat Syaziliyah, Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah, Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah, dan Thariqat Rahmaniyah. Terkandung di dalam buku ini adalah silsilah thariqat yang dibicarakan, termasuk kitab-kitab hadits, yang dilengkapi dengan sanad.
Sebelum mengakhiri bicara ini, dipetik lagi kata-kata pengarang buku yang ditulis pada bahagian akhir muqaddimah beliau, iaitu;
"Saya mengharapkan kepada semua pihak marilah kita mempelajari kepelbagaian disiplin ilmu tasawuf dan thariqah-thariqah shufiyah yang ada di dalamnya. Marilah kita sama-sama saling menghargai penyelidikan sesuatu disiplin ilmu dalam Islam termasuk juga ilmu-ilmu tasawuf dan thariqah-thariqah shufiyahnya. Usaha-usaha ke arah menghindarkan diri dari bermusuhan sesama Islam dan mencari jalan perpaduan ummah adalah pekerjaan yang sangat mulia, yang diredhai oleh Allah S.W.T. Sekian dulu, mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah, Amin, Ya Rabbal 'Alamin!".
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
* Di kesempatan ini, pihak kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS atas cenderahati yang berbentuk buku-buku ilmiah yang sangat berguna pada seminar yang diadakan baru-baru ini. Dan antaranya yang ingin dikongsi adalah kitab Mathla'ul Badrain edisi terbitan 2009 yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.
1 comment:
Katakan hai manimanaka, dimana gustimu dimulakala, ini kata gembala swarga, pengabdi sabda pemegang kuasa, pucuk dicita pendam dirasa, bukan mainan sebarang manusia, atih kata meratih jiwa, ronta didamba kasih diduga, hai intan rastana dharma, cuba kau lerai ini rahsia, mencari permata didalam dunia, tiada kau jumpa akan-nya ia, bidalan kata bayangan harta, sembunyi ia dialam tapa, kau jumpa dia merata-rata, namun matamu tetap buta, mengenal ikat tersimpul rata, tiga kerat pembekal makna, jika bijak buka sampulnya, jika hebat pecah ruyungnya, jika tidak berundur sahaja, cemeti raja bukan bentuknya, sastra dibaca bukan pengenalannya, kemana jua kau lihat dunia, terang dan nyata gambarannya ia, hati-hati bila berkata, mengiakan ia jahil jadinya, diambil orang sebagai petua, nyata hikmahnya menjadi guna, buat apa berkira-kira, selagi hati masih durjana, buat apa berjanji setia, hanya semu lidah bertahta, apa guna ilmu diminta, hati tiada mau sesiapa, pahala mana hendak diminta, amal tiada menjana apa, ingatlah hai manimanaka, naraka ini tempat yang nyata, aku hanya gembala swarga, menunjuk jalan tempatnya mula, tiada titik akhirnya jua, kerana jasad tiada binasa, nafsumu itu raja bahagia, kau cipta ia setiap masa, marilah kita renungkan masa, setiap saat menjadi tiada, setahun berlalu begitu sahaja, matimu pasti tibanya jua.
Post a Comment