Thursday, February 25, 2010

Kitab Badr at-Tamam papar sirah Rasulullah SAW

Dalam entri kali ini pula diperkenalkan antara kitab turats yang membicarakan sirah Nabi Muhammad SAW, iaitu kitab Badr at-Tamam, karya ulama terkenal Nusantara, Syeikh Ahmad al-Fathani. Berkenaan perbicaraan kitab Badr at-Tamam ini dipetik dari penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah, sepertimana yang pernah diterbitkan dalam ruangan Ensiklopedia Nusantara akhbar Berita Harian. Semoga karya-karya beliau ini dapat dimanfaatkan kembali oleh kita generasi kini.

'Kitab Badr at-Tamam Papar Sirah Rasulullah SAW'

Oleh:
Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah

SEJARAH Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda belum pernah dimuat dalam Ensiklopedia Nusantara. Artikel ini adalah yang pertama kali diperkenalkan mengenainya. Mengenang Syeikh Ahmad al-Fathani yang meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325/14 Januari 1908, saya memilih karya beliau yang berjudul Badr at-Tamam wa an-Nujum ats-Tsawaqib.

Keterangan judul selengkapnya beliau tulis dalam bahasa Melayu iaitu "Pada menyatakan setengah daripada kelakuan an-Nabi al-Mustafa Muhammad SAW, dan pada menyatakan barang yang bagi setengah daripada keluarganya, dan sahabatnya, daripada manaqib, ertinya: segala kelebihan dan kelakuan yang kepujian."

Karya ini selesai ditulis di Makkah pada waktu Dhuha, Jumaat 9 Rabiulakhir 1307/3 November 1889. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 15 Muharam 1309/21 Ogos 1891. Ada lagi cetakan Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 25 Zulkaedah 1377 atas kebenaran Kadi Haji Wan Ismail Syeikh Ahmad al-Fathani.


Sebelum menceritakan sejarah, secara keseluruhan Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa "yang sayugia bagi umat ialah mengetahui ia sirah (perjalanan) segala penghulunya, istimewa Nabinya yang maha mulia". Yang beliau maksudkan dengan "segala penghulunya" ialah semua pemimpin, imam yang muktabar, yang bersambung sampai kepada yang "istimewa", iaitulah "Nabinya yang maha mulia". Tiada pemimpin yang lebih mulia mulai dari dunia ini hingga alam akhirat hanya Nabi Muhammad.


Khusus mengenai sirah Rasulullah, keluarga dan sahabatnya, Syeikh Ahmad al-Fathani berpandangan bahawa "menjadikan lebih bertambah mantap keyakinan, lebih tetap keimanan, bertambah-tambah kemuliaan, dan kelebihan mereka itu pada hatinya".
Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut "Dan tiada hamba terlihat atas karangan ulama Melayu pada demikian itu sekali-kali", yang beliau maksudkan bahawa hingga tahun 1307 hijrah/1889 masihi belum ada tulisan ulama Melayu kitab yang bercorak sejarah lengkap. Yang ada dalam bahasa Melayu hanya pujian kepada Nabi Muhammad tanpa dilengkapi dengan tahun.

Dalam penelitian keseluruhan kitab "Maulid Nabi" yang sekian banyak dalam bahasa Melayu yang dibuat perbandingan dengan Badr at-Tamam, ternyata kenyataan adalah benar. Bererti Badr at-Tamam adalah kitab sirah Nabi Muhammad yang pertama dalam bahasa Melayu, yang sekaligus menyentuh sirah puteri Baginda, Saidatina Fatimah; dua cucu Baginda, Saidina Hassan dan Husein. Sekaligus, membicarakan empat sahabat Baginda yang paling terkenal, iaitu Saidina Abu Bakar, Umar bin Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.


Seperti tradisi penulisan ilmu lain dalam Islam, sewaktu menulis Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani juga menggunakan rujukan yang banyak. Beliau nyatakan: "Maka hamba pungutkan daripada beberapa kitab yang bahasa Arab yang mu'tabarah...". Dalam kandungan dapat diketahui antara kitab yang beliau rujuk ialah Tarikh Ibnu Ishaq, Tarikh Ibnu Hisyam, al-Anwar al-Muhammadiyah oleh Saiyid Muhammad Yusuf an-Nabhani.

Keseluruhan kandungan
Badr at-Tamam daripada tujuh Fasal. Mengenai Nabi Muhammad mulai kejadiannya hingga wafat ditempatkan pada Fasal Yang Pertama. Syeikh Ahmad al-Fathani menempatkan Manaqib Saidatina Fatimah pada Fasal Yang Kedua. Pada Fasal Yang Ketiga pula ditempatkan Manaqib Saidina Hassan dan Husein. Daripada susunan fasal yang dinyatakan dapat difahami bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani menempatkan "ahlu al-bait Rasulullah" adalah didulukan daripada sahabat yang empat orang (al-Khulafa' ar-Rasyidun) yang sangat terkenal itu.

Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani sejarah Nabi Muhammad adalah sejarah yang paling besar, tiada dapat dibanding dengan sejarah siapa pun. Justeru, beliau ungkapkan katanya: "Maka kami berkata bahawasa[nya] perkataan atas barang yang bergantung dengan segala sirahnya SAW, ertinya segala kelakuannya yang dipuji itu tiada hampir dapat dihinggakan."
Perkataan ini beliau sambung dengan dua rangkap syair dalam bahasa Arab dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu: "Dan atas pelbagai segala yang menyifatkan dia dengan keelokannya, habislah zaman, dan pada hal ada padanya barang yang tiada disifatkan".

Berapa banyak pun tulisan yang membicarakan mengenai Nabi Muhammad, namun rahsia kebesaran atau keagungan Baginda hingga ke hari kiamat tidak akan habis terungkap semuanya.
Sejarah siapa pun dalam dunia ini yang dibicarakan bermula daripada kedua-dua ayah dan ibu. Tetapi, sangat jauh berbeza dengan sejarah Nabi Muhammad yang hampir semua sejarah klasik Islam dimulai dari alam ghaib, mengenai ‘Nur Muhammad’. Sangat ramai ulama, termasuk ulama ahli hadis mengakui ada hadis mengenai ‘Nur Muhammad’ walaupun akhir-akhir ini pihak tertentu mempertikaikannya.

Dalam
Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani menggabungkan sejarah yang diguna pakai pada zaman klasik dengan sejarah yang diguna pakai oleh golongan ahli zahir, yang menggunakan teori sejarah yang dianggap moden pada zaman beliau.

Wallahua'lam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Selamat Menyambut 'MAULIDUR RASUL'
1431 H



Dari kami:

Ahli Jemaah
Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara
(PENGKAJI)

&

KHAZANAH FATHANIYAH


No comments: