Monday, February 22, 2010

Karya Saiyid 'Utsman Betawi berkaitan Maulud Nabi S.A.W

Dalam entry sebelum ini telah diperkenalkan antara ulama Melayu yang meraikan perayaan Maulud Nabi iaitu Tok Selehor, seorang ulama yang terkenal di Kelantan. Oleh kerana kita masih di bulan Rabi'ul Awwal ini, iaitu bulan kelahiran junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W, maka diperkenalkan pula antara kitab Melayu yang membicarakan tentang Maulud Nabi ini. Perbicaraan mengenai ini adalah diambil dari penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah sepertimana yang pernah dibicarakan beliau dalam kolum 'Ensiklopedia Nusantara' terbitan akhbar Berita Harian. Kitab Melayu yang dimaksudkan dalam perbicaraan mengenai Maulud Nabi ini ialah kitab Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim Shallallahu 'Alaihi wa Sallam.


'KITAB MELAYU BETAWI TERTIB MEMPERINGATI NABI MUHAMMAD S.A.W'

Oleh:

Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah

DALAM rangka memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW cukup banyak peringatan yang diistilahkan dengan "maulud" atau "maulid". Rasanya elok juga diperkenalkan sebuah kitab klasik Melayu-Betawi yang khusus membicarakan mengenainya iaitu Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim Shallallahu 'Alaihi wa Sallam.


Digunakan perkataan "Ad-Durr" pada awal judul kerana ada pada cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 hijrah. Tetapi, pada edisi cetakan di Betawi digunakan perkataan "Az-Zahar".


Nama pengarang ialah Saiyid 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil ibnu Yahya al-Batawi. Tidak ada tarikh mula mahupun selesai penulisan. Semua edisi cetakan diberi keterangan pada bahagian atas dengan kalimat- "Ini kitab menyatakan perihal junjungan kita Saidina wa Maulana Muhammad SAW dengan sebutan mauludnya dan mi'rajnya dan kelakuannya dan perkataannya dan budi bahasanya. Yang sekalian itu elok dan harum hingga dirupakan dengan bunga ros ."


Bunga ros yang terdapat pada tajuk kitab. Saiyid 'Utsman Betawi menyifatkan bahawa betapa indahnya sifat Baginda Nabi Muhammad S.A.W sehingga digambarkan seperti harumnya bunga ros.


Dilanjutkan dengan keterangan yang di bawah judul dalam lingkaran bunga, katanya: "Yang ada di dalam bunga ini tertulis, itulah namanya kitab ini. Ertinya bunga yang baru mekar bermusim-musim mehikayatkan perihal ayahandanya Qasim. Iaitulah junjungan kita Nabi Muhammad SAW ..."


Dalam kitab ini, Saiyid 'Utsman Betawi menggunakan istilah "maulud" bukan "maulid". Istilah "maulud" memang digunakan sejak dulu hingga bertukar secara perlahan-lahan pada 1970-an. Kini, di beberapa tempat lebih banyak digunakan istilah "maulid". Untuk menyesuaikan dengan istilah yang digunakan oleh pengarang kitab yang dibicarakan di sini, saya gunakan juga istilah "maulud". Sebelum memasuki perbicaraan maulud, Saiyid 'Utsman Betawi terlebih dulu membicarakan adab itu, yang beliau bahagikan pada "Empat Faedah".


Kata beliau: "Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad SAW hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.


Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW dengan sehabis-habis hormatnya..." Saiyid 'Utsman Betawi mengulas pada bahagian ini dengan agak panjang, menurut beliau bahawa jika mengadakan "Maulud Nabi SAW" janganlah ada di tempat itu jenis "berhala yang dibenci oleh junjungan kita dan oleh malaikat."


Masih dalam "Faedah yang pertama", Saiyid 'Utsman Betawi berpendapat: "Dan lagi, tiada pantas pula dibaca itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."


Saiyid 'Utsman Betawi menegaskan lagi: "Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah SAW di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah SAW. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."


Pada "Faedah yang kedua", Saiyid 'Utsman Betawi menyebut beberapa kitab yang beliau rujuk, antaranya Maulud al-Barzanji, Syaraf al-Anam dan syarahnya.


Selanjutnya mengenai "Faedah yang ketiga", Saiyid 'Utsman Betawi menulis: "Dibaca di waktu ini Maulud-Mi'raj kapan sahaya, maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya. Dan lebih afdal dibaca pada malam 27 bulan Rejab dan pada malam atau pada hari 12, bulan Rabi'ul Awwal adanya."


Terakhir, "Faedah yang keempat", Saiyid 'Utsman Betawi menggalakkan bacaan selawat, kata beliau: "Jika yang membaca sampai bacaannya kepada suatu fasal, maka dibaca olehnya berserta sekalian yang hadir akan selawat yang ada antara fasal itu berserta doanya".


Selawat dan doa lafaz Arab dan terjemahnya dalam bahasa Melayu beliau sebut pada "Faedah yang keempat" ini. Saiyid 'Utsman Betawi memulakan riwayat Maulud Nabi SAW diawali dengan Jibril mengambil sekepal tanah dari tempat yang nantinya menjadi kubur Nabi Muhammad SAW di Madinah.


Kalimat selengkapnya: "Bermula waktu masa yang telah ditakdirkan oleh Allah akan kejadian Nabi Muhammad SAW, maka berperintah oleh-Nya akan Jibrail mengambil segempal tanah daripada tanah yang bercahaya, daripada bahagian tempat kubur Rasulullah SAW di negeri yang mulia, iaitu negeri Madinah al-Munawwarah.


Maka, lalu turun Jibrail diiringi oleh segala malaikat al-Firdaus dan malaikat ar-Rafi' al-A'la. Maka diambil oleh Jibrail akan yang demikian itu. Maka digulingkannya di syurga dan dicelupkannya di sungai syurga yang bernama Tasnim. Maka bertambah bersinar-sinar cahayanya, lebih dari segala kamalan (maksudnya: keadaan kesempurnaan, pen:) syurga. Dan digulingkannya pula di 'Arasy, dan Kursi, dan segala langit dan bumi dan laut. Hingga diketahui oleh segala mereka itu akan kejadian Nabi Muhammad SAW sebelum diketahui oleh mereka itu akan kejadian Nabi Adam..."


No comments: