Tuesday, July 30, 2013

TURATH ULAMA - Kitab Faridatul Faraid (Sifat ke-10- Hayat)


Alhamdulillah siaran TURATH ULAMA berlangsung seperti yang dijadualkan, iaitu setiap hari Isnin dan Rabu jam 6.30 pagi, di saluran RTM TV1. Untuk siaran pagi semalam -Isnin/ 20 Ramadhan- disambung pula pengajian kitab Faridatul Faraid (Karya Syeikh Ahmad al-Fathani) yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Hashim al-Hadhrami.


Sedikit perkongsian - Pengajian disambung dengan sifat wajib bagi Allah yang kesepuluh iaitu 'Hayat'. Sifat Hayat diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh pengarang kitab (Syeikh Ahmad al-Fathani) sebagai 'hidup'. Di sini, al-Fadhil Ustaz Azhar membuat perbandingan dengan terjemahan oleh pengarang kitab Bakurah al-Amani (Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathani/ Pak Da 'el) sebagai 'penghidup'.


Melihat kepada perbezaan kedua ulama tersebut, terselit pengajaran yang wajar diambil. Menurut al-Fadhil Ustaz, pertikaian tersebut tidaklah sepatutnya kita meletakkan mana yang benar atau salah, kerana kedua-duanya dikenali sebagai ulama besar Melayu. Kita harus melihat perbezaan tersebut dengan pandangan yang beradab tanpa mempertikaikannya. Contoh dalam sifat 'Hayat' ini, Syeikh Ahmad menterjemahkan atas jalan lazim, manakala Pak Da 'El pula menterjemahkan atas jalan sifat, kerana terjemahan mereka berbeza. 

Dengan cara ini, selamatlah kita dalam beradab dengan ulama, kerana adab adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan.

Wallahu a'lam.