Wednesday, July 24, 2013

Ringkasan TURATH ULAMA (Kitab Munyatul Mushalli)


Alhamdulillah hari ini -15 Ramadhan- siaran TURATH ULAMA disambung dengan pengajian kitab Munyatul Mushalli, dalam fasal 'Hikmah dan Kesempurnaan dalam Sembahyang' disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Saad.


Di awal siaran, al-Fadhil Ustaz menjelaskan tiga kemuliaan (Karamah) bagi orang yang sembahyang iaitu:
(Riwayat daripada Hasan Basri R.A, daripada Rasulullah SAW, bahawasanya bersabda: "Bagi orang yang sembahyang itu tiga karamah")*

1) Berteraburan kebaikan/ kebajikan ke atas kepalanya (orang yang mengerjakan sembahyang) dari langit.
2) Malaikat berkeliling dari dua tapak kakinya (orang yang mendirikan sembahyang) hingga langit ke-3.
3) Malaikat menyeru andai seseorang itu tahu akan segala kemuliaan melaksanakan sembahyang, nescaya tidak berhenti seseorang itu dari mengerjakannya.

Seterusnya dibicarakan mengenai sunat dalam memberi Salam, dan perkara-perkara berkaitan sunat Hai'at dan Ab'adh. Secara ringkasnya berkaitan Salam, adalah lebih utama diniatkan memberi Salam kepada para Malaikat, dilanjutkan dengan jemaah yang sembahyang bersama dan juga kepada jin (Jin Islam).

Manakala berhubung perkara Sunat Hai'at dan Ab'adh, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa Sunat Ab'adh akan menyebabkan pahala sembahyang berkurang andai ditinggalkan, kerana itu digantikan dengan sujud Sahwi, dan sebaliknya pula pada Sunat Hai'at yang mana pahala tidak akan terjejas (berkurang), tetapi pelaksanaannya adalah bertujuan 'mencantikkan' sembahyang. 

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat. 

* Sumber: Munyatul Mushalli -Pengetahuan Sembahyang Masyhur- Syeikh Daud al-Fathani, terbitan edisi Rumi, 1991.