MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Tuesday, May 25, 2010

Rentetan 'Seminar Bicara Ulama Alam Melayu'

Alhamdulillah, hujung minggu baru-baru ini telah berakhir sudah Seminar Bicara Ulama Alam Melayu seperti yang diwar-warkan pada entri sebelum ini. Terdapat 3 pembentangan kertas kerja, yang mana salah satu darinya adalah dari Persatuan PENGKAJI sendiri. Berikut dikongsi judul kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar tersebut, iaitu:
(Kertas kerja boleh diperolehi melalui pihak penganjur)
  • 'AL-USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH AL-FATHANI SEBAGAI TOKOH PENGUMPUL & PENGKAJI SEJARAH ULAMA DUNIA MELAYU: USAHA DAN JASA BELIAU', (Kertas kerja dari Persatuan PENGKAJI, yang disediakan oleh Cik Wan Jumanatul Karamah, dan dibentangkan oleh En. Mohd Saifulrizan Bin Sa'id).
  • 'MENGENALI TUAN HAJI SAAID MUFTI KEDAH ULAMA TERSOHOR DI ALAM MELAYU', (Kertas kerja dari Persatuan Keluarga Hj. Mohd Saaid Mufti, Malaysia, yang dibentangkan oleh Ustaz Abd. Razak Bin Abd Rahman)
  • 'PENGKISAHAN TUAN HJ. ZAIN B. ABDUL RAHMAN: GURU HIKAM YANG TERSENDIRI', (Kertas kerja dari Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MAJMAK), yang disediakan oleh Ustaz Zaid Muhammad Bin Mohd Rais, dan dibentangkan oleh Mejer (B) Mohmad Anuar Ahmad.

Gambaran ringkas mengenai tokoh-tokoh yang dibicarakan seperti yang dipetik dari penganjur (seperti petikan dari entri sebelum ini), dikira sudah cukup menjelaskan sedikit pengenalan awal mengenainya:

"....Tuan Hj Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebagai contoh merupakan guru agama kepada kerabat diraja Kedah dan antara pengarang terawal kitab tafsir Al Quran Berbahasa Melayu. Kitab Tafsir Nurul Ehsan karanngannya masih lagi terjual dan digunapakai dalam kelas-kelas pengajian tafsir di mana-mana pun di nusantara ini.

Manakala individu seperti Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir b. Wan Abdullah yang merupakan cucu kepada Syeikh Ahmad Al Fatahni dikategorikan sebagai tokoh yang berjasa dalam mengembalikan kehebatan ulamak melayu silam melalui kajian dan penulisan semula yang diusahakan oleh beliau. Keilmuan beliau juga adalah diakui sehingga menjadi pakar rujuk kepada pelajar-pelajar universiti dan orang awam mahupun ahli agama dalam soal pendapat-pendapat dan keilmuan ulama-ulamak melayu nan silam. Beliau bolehlah dianggap sebagai pencungkil dan orang yang mempertahankan kehebatan ulama nusantara. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau telah membuka jalan untuk orang-orang yang mencintai ilmu untuk menghargai dan mencintai tulisan dan jasa-jasa ulama-ulamak melayu yang terdahulu.

....Tuan Haji Zain b. Abdul Rahman seorang tokoh agama pada zamannya yang menjadikan kitab Al Hikam sebagai teks kajiaan dan bacaan dalam pengajarannya kepada murid-murid beliau. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Haji Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau juga merupakan anak murid bahkan juga rakan seperjuangan semasa menuntut ilmu di Mekah. Sungguhpun beliau tidak terkenal tetapi ketokohannya dapat dirasai oleh anak-anak murid beliau sehinggakan anak-anak murid beliau juga mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai selepas kepulangannya ke rahmatullah. Memang benarlah kata-kata orang hikmah bahawa pendidikan yang terdapat dalam Al Hikam bukanlah untuk menjadi megah di mata masyarakat bahkan untuk menjadi hamba Allah yang sejati.''

Sebelum menutup bicara ini, dipetik sedikit pantun yang dinukil oleh pembentang yang mewakili Persatuan PENGKAJI, En. Mohd Saifulrizan Bin Sa'id pada hari pembentangan tersebut, iaitu:

Tingkah bertingkah paluan rebak,
Menggegar rasa perwira Islam,
Menyingkap wasilah perjuangan Ulama',
Di Seminar Bicara Ulama Silam.

Di Pulau Sialu pesan Jeragan Jaga,
Laluan di sini kerap undang petaka,
Walau bermutu intan luar negara,
Intan di sini tetap terbilang nama.

Di kesempatan ini, kami mewakili pihak Khazanah Fathaniyah dan Persatuan PENGKAJI mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih atas undangan pihak penganjur ini. Semoga apa yang telah dikerjakan ini diberkati-Nya. Terima kasih tidak terhingga atas segalanya.


1 comment:

ponpakya said...

Salam perjuangan,

Satu bicara dan pembentangan yang cukup menarik oleh En. Mohd Saifulrizan Bin Sa'id dalam seminar itu menyentuh tentang kelestarian budaya dan peradaban melayu selari dengan perkembangan memperkukuhkan syiar islam di bumi melayu islam ini.

Bicara ini terasa begitu penting untuk diperluaskan kepada masyarakat melayu kita agar kekal menjadi teras sebagai bangsa melayu islam.

Kurang sejarah dan kenal akan sumbangan bangsa sendiri yg cukup berjasa kepada perkembangan islam di tanah air ini akan membuat ketulinan asli melayu islam akan terkubur.

Tahniah.

http://ponpakya.blogspot.com