Seperti yang telah dimaklumi pada entri sebelum ini, bahawa Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pernah mendirikan sekaligus mengasaskan sebuah pusat pendidikan yang diberi nama Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyah al-Fathaanah, Kalimantan Barat (Kal-Bar) Indonesia. Pada awal penubuhannya dalam tahun 1974, Yayasan al-Fathaanah bertempat di Sungai Bundung, yang juga masih dalam kawasan Kalimantan Barat. Di Sungai Bundung ini pada awalnya dinamakan sebagai Pondok Pesantren al-Fathaanah.

Setahun kemudiannya, pusat pendidikan al-Fathaanah dipindahkan pula di Kuala Secapah dan sehingga kini ianya kekal dalam kawasan yang sama. Semenjak berpindahnya di tempat yang baharu (dalam tahun 1975), beliau membangunkan pula panti asuhan yang masih tetap di bawah naungan Yayasan al-Fathaanah, dengan nama Panti Asuhan al-Hamidiyah. Penubuhannya juga bertujuan membantu anak-anak yang fakir miskin dan yatim piatu dari segi pendidikan. Oleh itu, secara tidak langsung anak-anak yang kurang mampu tersebut meneruskan pengajian di Yayasan al-Fathaanah. Bermula dari itu jualah, Tuan Guru melaksanakan pelbagai usaha-usaha untuk menampung segala kos penyelenggaraan dan perbelanjaan tersebut. Namun, dalam tahun 1980-an, panti asuhan tersebut tidak dapat menerima anak-anak yang kurang mampu itu lagi atas beberapa faktor, di samping pada ketika itu juga beliau telah berhijrah pula ke Malaysia untuk menyebarkan serta memperluaskan khazanah-khazanah ulama ini ke seratanya. Tetapi bagi anak-anak yang sedia ada, tetap ditampung sehingga tamatnya pengajian mereka.
Walaupun tanpa panti asuhan tersebut, Yayasan al-Fathaanah tetap berjalan seperti biasa dengan peningkatan pelajar yang setiap tahun semakin bertambah. Hal ini kerana pada ketika itu, Yayasan al-Fathaanah merupakan satu-satu pondok pesantren di sekitar Kuala Secapah tersebut. Alhamdulillah, dengan usaha yang sentiasa berterusan tersebut Yayasan al-Fathaanah dapat berjalan dengan lancar sehingga kini.
Sedikit perkongsian maklumat lagi, bahawa Yayasan al-Fathaanah adalah sebuah pusat pendidikan swasta. Maka segala kos tampungan adalah dibiayai sendiri. Demikian itu, terdapat beberapa bahagian lagi dalam Yayasan al-Fathaanah yang bertujuan selain untuk pendidikan. Bahagian-bahagian lain pula adalah I. bahagian perkebunan dan tanah, II. bahagian perniagaan iaitu membuat kuih untuk dipasarkan ke serata toko-toko (kedai) di sekitarnya. Ya, sudah tentu ianya bertujuan untuk menambahkan dana-dana dalam menampung segala kos perbelanjaan.
Semenjak kembalinya Tuan Guru ke rahmatullah, kini Yayasan al-Fathaanah dinaungi oleh anak sulung beliau, sebagai Ketua Umum Yayasan al-Fathaanah, dan dibantu oleh jawatankuasa-jawatankuasa panitia al-Fathaanah lain yang diketuai oleh Bapak Hamdan Bochari selaku pengerusi al-Fathaanah. Bapak Hamdan Bochari merupakan orang kepercayaan Tuan Guru semenjak hidupnya untuk mengawasi segala pentadbiran Yayasan al-Fathaanah sepanjang ketiadaan beliau di Indonesia. Bahkan kini Bapak Hamdan masih tetap sebagai pengerusi Yayasan al-Fathaanah atas kepercayaan waris-waris Tuan Guru pula. Semoga dengan pimpinan beliau ini, Yayasan al-Fathaanah ini dapat dipertingkatkan dan dinaiktarafkan lagi sistem pengajiannya. InsyaAllah, usaha yang berterus-terusan akan sentiasa dijalankan demi menyebarkan dakwah ini ke seratanya.


Sekian, InsyaAllah bersambung lagi. Agak panjang untuk menceritakan selengkapnya sejarah penubuhan Yayasan al-Fathaanah ini. Hanya dapat dikongsikan secara umum sahaja. Berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment