MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Sunday, January 10, 2010

Kuliah Pagi anjuran PENGKAJI

Persatuan PENGKAJI (Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia) adalah persatuan yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam tahun 1996. Penubuhannya adalah untuk bersama-sama membantu perjalanan beliau dalam menggerakkan usaha-usaha penyebaran khazanah-khazanah ulama ini agar berjalan dengan lebih lancar dan sistematik. Terdapat pelbagai aktiviti PENGKAJI yang dijalankan, antaranya adalah mengadakan kelas pengajian berkitab, dengan menjemput beberapa tokoh-tokoh agama yang juga kesemuanya merupakan kenalan-kenalan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir semasa hidupnya. Terdapat dua bentuk kelas pengajian yang diadakan, yang mana ada yang secara tetap rutinnya, dan terdapat juga yang tidak tetap bergantung kepada kelapangan penceramah yang diundang.

Seperti rutinnya pada setiap hujung minggu bermula pukul 9 pagi, di Dewan Syeikh Daud al-Fathani akan diadakan kuliah pagi yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim Saad (bekas Imam Masjid Negara). Beliau merupakan seorang penceramah bebas yang juga mengajar di beberapa masjid/surau sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ini. Kitab yang diajarkan adalah kitab Mathla' al-Badrain (Fiqh) karya Syeikh Muhammad Shaghir atau lebih terkenal dengan gelaran Syeikh Nik Mat Kechik al-Fathani dan kitab Zahratul Murid fi 'Aqaid at-Tauhid, karya Syeikh Wan 'Ali bin Wan 'Abdur Rahman bin 'Abdul Ghafur al-Kalantani.

Kitab Zahratul Murid fi 'Aqaid at-Tauhid, edisi terbitan Khazanah Fathaniyah tahun 2007.

Sedikit perkembangan yang ingin dikongsikan, pada akhir tahun 2009 yang lepas, ahli-ahli jemaah PENGKAJI yang hadhir telah mengkhatamkan kitab Faridatul Faraid, karya Syeikh Ahmad al-Fathani, yang juga diajarkan oleh Ustaz Abdul Halim. Alhamdulillah.

Kitab Faridatul Faraid, juga edisi terbitan Khazanah Fathaniyah tahun 2007.

Baiklah, kembali kepada topik asal, antara intipati-intipati yang diajarkan oleh beliau hari ini adalah hukum berkaitan zakat, yang dimulakan dengan lima perkara-perkara asas dalam zakat, iaitu; (walaupun perkara asas ini sudah kita maklumi, namun untuk saling ingat-mengingati, adalah lebih baik disampaikan lagi).

1. Na'am - Binatang-binatang ternakan yang dikategorikan kepada lima jenis sahaja, iaitu unta, lembu, kerbau, kambing biri-biri (kibas), kambing (biasa). Adapun binatang seperti seladang atau kacukan yang disebut selembu, mengikut pendapat yang rajih tidak diwajibkan berzakat.

2. Atsman - Bahan galian yang berharga iaitu emas dan perak sahaja. Bahan galian selainnya seperti tembaga, keluli, aluminium adalah tidak termasuk.

3. Zuro' - Biji-bijian yang mengenyangkan seperti kalau di Malaysia adalah padi, atau gandum dan sebagainya.

4. Buah-buahan kayu yang mengenyangkan iaitu tamar dan anggur kering. Adapun anggur yang basah tidak diwajibkan berzakat.

5. Segala jenis perniagaan yang sah dalam Islam.

Seterusnya, pada kuliah pagi hari ini, beliau (Ustaz Abdul Halim) menyampaikan pula syarat-syarat dalam berzakat dengan dimulakan syarat-syarat zakat bagi binatang-binatang ternakan (Na'am) dengan sedalamnya. Antara yang diperjelaskan adalah lima syarat wajibnya, iaitu:

1. Islam (Dalam kuliahnya, beliau sempat bergurau yang mana ada juga yang keliru tentang syarat wajib pertama ini. Diulangi lagi kata-kata beliau tersebut, bukan binatang ternakan itu yang Islam ya, tapi penternaknya:-) Disebabkan itulah beliau berseloroh, dalam mengaji kitab-kitab ini, perlukan mengaji dengan gurunya. Ya, ini mungkin contoh yang mudah dan boleh ditafsirkan dengan mudah, namun sekiranya tersalah pengertian apabila mengaji tanpa berguru, mungkin besar pula akibatnya.

2. Diteruskan pula syarat kedua, iaitu merdeka. Maka hamba atau penternak yang masih dalam tawanan adalah tidak diwajibkan.

3. Cukup nisab/kadar haulnya.

4. Dipeliharakan binatang ternakan itu di ladang yang harus seperti adanya tempat sendiri atau tempat yang diizinkan oleh orang ramai.

5. Binatang tersebut hendaklan ternakan sahaja. Sekiranya binatang tersebut digunakan untuk membuat kerja seperti mengangkat barang, menggala dan sebagainya adalah tidak diwajibkan berzakat.

Petikan-petikan ini adalah sebahagian sahaja dari kuliah pagi tadi. Pelbagai lagi masalah-masalah furu' lain berkaitan zakat binatang ternakan ini yang disampaikan oleh beliau dengan penjelasan yang cukup jelas, antaranya jumlah-jumlah kadar nisabnya, bagaimana zakat bagi orang yang berkongsi ternakannya dan sebagainya. Agak terlalu panjang untuk dikongsikan, namun sebagai asas untuk memudahkan ingatan tentang zakat binatang ternakan ini adalah dengan mengingati nombor ini 5-30-40, iaitu bermula zakat bagi unta adalah apabila cukup 5 ekor, lembu dan kerbau pula 30 ekor, dan kibas serta kambing adalah 40 ekor. Maka, berjaga-jagalah apabila binatang ternakan kita cukup jumlah tersebut. Tetapi jangan lupa harus diselarikan dengan syarat-syaratnya.

Wallahu a'lam.

..........................

Sebelum mengakhiri entri ini, dipetik dari artikel penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah berkenaan kitab yang dipelajari pada kuliah pagi ini, iaitu kitab Mathla' al-Badrain. Artikel ini pernah dimuatkan dalam akhbar Berita Harian, dalam ruangan Ensiklopedia Nusantara (2005-2007), setiap hari selasa. (InsyaAllah, artikel-artikel dalam ruangan Ensiklopedia Nusantara ini juga akan dibukukan dan diterbitkan tidak lama lagi).

Kitab Mathla' al-Badrain, terbitan al-Muarif Sdn Bhd, Pulau Pinang.

Tajuk:

MATHLA‘ AL-BADRAIN


KITAB FIQH MELAYU BICARA SEMUA RUBU'


PADA hari Selasa minggu yang lalu ruangan Ensiklopidea Nusantara, Berita Harian telah diperkenalkan Sabil al-Muhtadin iaitu fiqh bahagian ibadah. Dalam artikel ini pula saya perkenalkan fiqh yang lengkap semua rubuatau semua bahagiannya. Fiqh yang lengkap semua rubuatau semua bahagiannya yang pertama dalam bahasa Melayu ialah Hdayah al-Mutaallim oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun setelah muncul kitab Mathla al-Badrain wa Majmaal-Bahrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani ternyata sebelum muncul fiqh tulisan Latin/Rumi seperti Fiqhi Islam oleh Haji Sulaiman Rasyid dan lain-lain ternyata Mathlaal-Badrain yang diambil datanya ini adalah yang paling banyak diajar di seluruh dunia Melayu.


Perlu saya jelaskan bahawa dalam semua penulisan termasuk dalam Mathlaal-Badrain beliau menggunakan nama Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. Yang dimaksudkan dengan nama "Daud" ialah kerana mengambil berkat nama datuk saudara beliau Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Datuk beliau yang sebenarnya ialah "Ahmad" bukan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ada nama lain untuk pengarang Mathla al-Badrain yang terkenal itu, orang Arab Makkah dan Mesir menamakannya dengan Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani. Orang-orang Melayu terutama keluarga terdekat dan muridnya yang sangat ramai lebih mesra dengan panggilan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Dalam artikel ini selanjutnya digunakan nama Syeikh Nik Mat Kecik.


Mathlaal-Badrain diselesaikan penulisannya pada 12 Syaban 1303 H/16 Mei 1886 M.Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan bahawa Mathlaal-Badrain cetakan yang pertama dan kedua tanpa ditashhih oleh beliau dan tidak pula oleh Syeikh Nik Mat Kecik mahu pun kedua-dua anaknya Syeikh Abdullah al-Fathani dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Oleh itu cetakan yang pertama dan yang kedua itu banyak terdapat kekeliruan cetak. Banyak salah susunan kalimat-kalimatnya itu bukan kesalahan pengarangnya tetapi adalah dilakukan oleh pekerja-pekerja di Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Cerita salah seorang guru saya bernama Abdul Wahhab (di Kepulauan Riau) bahawa dalam tahun 1927 M ada cetakan Mathla al-Badrain yang sengaja diselewengkan. Menurut beliau kerana Mathla al-Badrain banyak diajar oleh masyarakat Melayu di Makkah dan dunia Melayu, lagi pula menjadi pegangan dan pedoman masyarakat Islam di dunia Melayu pada zaman itu, yang menyelewengkan itu adalah seorang yang beragama Yahudi di Timur Tengah. Cerita mengenai ini hanya saya dengar dari Tuan Guru Abdul Wahhab belum diperoleh dari sumber-sumber lainnya. Oleh itu masih dalam tahap penelitian. Menurut catatan Syeikh Ahmad al-Fathani yang dapat dipertanggungjawabkan ialah mulai cetakan yang ketiga dan keempat kerana mulai cetakan ini adalah ditashhih oleh beliau (Syeikh Ahmad al-Fathani) dan diketahui oleh pengarangnya Syeikh Nik Mat Kecik.


Kesimpulan kandungan Mathla al-Badrain dapat disingkatkan di antaranya ialah sesudah mukadimah diberi komentar tentang kelebihan ilmu pengetahuan mengikut al-Quran, hadits dan pendapat ulama. Sebelum membicarkan pokok perbicaraan fiqh, terlebih dahulu Syeikh Nik Mat Kecik membahas perkara aqidah, iaitu huraian mengenai Allah, Rasul, dan lain-lain yang ada hubungan dengan ilmu aqidah. Apabila ikuti semua judul karya Syeikh Nik Mat Kecik ternyata hanya dalam Mathlaal-Badrain saya beliau bahas tentang ilmu aqidah. Walau bagaimanapun dalam Mathla al-Badrain yang dirumikan akhir-akhir ini tentang ilmu aqidah tidak dibicarakan oleh para pelaksana bahkan dalam bahagian-bahagian yang lain pun banyak yang ditinggalkan. Tindakan yang demikian dapat dituduh bahawa seseorang yang melakukan pekerjaan itu adalah tidak amanah terhadap ilmu kerana bagi orang yang belajar atau membaca teks Mathla al-Badrain dalam tulisan Latin/Rumi dapat dipastikan mereka tidak dapat mengetahui kandungan kitab itu secara keseluruhan jika kita bandingkan dengan orang yang belajar atau membaca teks Mathla al-Badrain dalam tulisan Melayu/Jawi.


Model penulisan Mathla al-Badrain jika kita teliti dari pelbagai aspek dapat kita klasifikasikan sebagai penulisan klasik ilmiah. Sebagai contoh pada banyak tempat digunakan nota kaki atau nota hujung, istilah orang Melayu pada zaman dahulu dinamakan "dhabit". Akhir setiap sesuatu dhabit ada yang digunakan istilah "Muallif" maksudnya ialah "pengarang". Pada konteks Mathla al-Badrain maksudnya ialah Syeikh Nik Mat Kecik. Pada tempat yang lain digunakan istilah "Mushahhihahu" maksudnya ialah "pentashihnya". Pada konteks Mathla al-Badrain maksudnya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada setiap penghabisan dhabit Syeikh Nik Mat Kecik menyebut nama kitab yang beliau rujuk. Kitab Melayu/Jawi yang banyak beliau sebut ialah Sabil al-Muhtadin tetapi Sabil al-Muhtadin hanya disebut pada bahagian ibadah saja. Kitab-kitab bahasa Arab seperti Fath al-Wahhab, Bujairimi 'Ala Fath al-Wahhab, dan lain-lain.


Kerana Mathla al-Badrain terlalu banyak diajarkan terutama dalam kerajaan Johor maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu Mathla al-Badrain. Hanya Mathla al-Badrain lah satu-satunya kitab Melayu/Jawi yang telah ditulis kamus. Tidak terdapat kitab-kitab lainnya. Kamus Mathla al-Badrain tersebut diberi judul Suluh Mathlaul Badrain disusun oleh Al-Ustaz Haji Abdul Ghani Yahya salah seorang murid Tok Kenali. Suluh Mathlaul Badrain ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Banyak kali diterbitkan dan di antara terbitan yang agak akhir 1988 oleh Pustaka Hussein No. 9, Jalan Sisi, 84000, Muar Johor.

............................

Sekian untuk bingkisan hari ini. Semoga dapat dimanfaatkan bersama. Berjumpa lagi:)



No comments: