Alhamdulillah. Sebagai makluman kitab Turjuman al-Mustafid terjemahan Tafsir al-Baidhawi, oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri telah siap berada di pasaran.
Turjuman al-Mustafid, terbitan terbaharu Khazanah Fathaniyah 2014.
Kitab Turjuman
al-Mustafid merupakan terjemahan Tafsir al-Qur'an yang pertama dan
terawal di Alam Melayu, yang diusahakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri. Usaha untuk memperluaskannya pula diteruskan oleh ramai
ulama, dengan melalui pelbagai peringkat, seperti pentashihan,
penyalinan, percetakan dan sebagainya. Antaranya
pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani (selain pentashihan bersama-sama
ulama lain iaitu Syeikh Idris al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail
al-Fathani), Syeikh Ahmad al-Fathani juga memperkembangkannya dengan
menerbit sekaligus mencetaknya dengan bantuan Sultan Turki 'Uthmaniyyah
pada zaman tersebut, iaitu Sultan Abd al-Hamid Khan al-Thani.
Terkemudian dari itu, pentashihan juga dilakukan oleh ulama yang tidak
asing lagi di Malaysia, yang juga penyusun Qamus al-Marbawi, Syeikh
Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi al-Azhari. Manakala di peringkat penyalinan pula, disalin oleh Baba Daud al-Jawi bin Ismail Agha Mustafa Bin Agha Ali al-Rumi, dan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (atau lebih terkenal digelar Tok Ku Pulau Manis), seorang ulama Melayu yang menjadi perintis kepada pengajian Tafsir di tanah Melayu. Selain itu, penulis juga pendakwah terkenal Indonesia, Buya HAMKA turut menjadikan kitab Turjuman al-Mustafid sebagai pendorong untuk beliau menterjemahkan serta mentafsirkan al-Qur'an di dalam Tafsir al-Azhar.
Contoh salinan asal, cetakan Turki tahun 1324 H.
Usaha demi usaha cetakan semula kitab ini juga giat dijalankan, sama
ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah Khazanah Fathaniyah (KF)
juga pernah menerbitkannya sebelum ini. Namun disebabkan beberapa
halaman yg dikesan gugur// hilang/tiada, maka pihak KF menghentikan edarannya.
Alhamdulillah, kini warisan harta keintelektualan Melayu kita yang berusia lebih 100 tahun ini telah diterbitkan semula dengan lengkap, dan masih masih mengekalkan cetakan
asal terbitan Turki, tahun 1324 Hijrah.
*******************
Berikut dikongsikan sinposis ringkas mengenai kitab ini, oleh Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, dalam buku berjudul Ensiklopedia Nusantara;
Tafsir Al-Baidhawi,Terjemah Al-Quran Melayu Yang Pertama (Tarjuman al-Mustafid)Oleh : Hj Wan Mohd Shaghir AbdullahDALAM percakapan dinamakan orang "Tafsir Baidhawi Melayu". Tetapi dalam persuratan judul yang diberi oleh penyusunnya Syeikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fansuri, ialah "Turjuman al-Mustafid bi al-Jawi". Atau judul yang lain dinamakan juga "Tafsir al-Baidhawi asy-Syarif. Terjemahan dan tafsir al-Quran lengkap tiga puluh juzuk yang dibicarakan ini adalah merupakan yang pertama sekali dalam bahasa Melayu. Selain yang berupa cetakan beberapa versi salinan tulisan tangan (manuskrip) Turjuman al-Mustafid sejak lama telah mendapat perhatian para sarjana peneliti manuskrip. Turjuman al-Mustafid berupa cetakan ada yang tanpa tashih dan ada pula yang tashih. Cetakan yang ditashih adalah atas usaha Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah merupakan pentashhih pertama dan yang memperjuangkan penerbitannya di Istanbul (Turki) dan Mesir. Penanganan tashih Turjuman al-Mustafid Syeikh Ahmad al-Fathani dibantu oleh dua orang murid beliau, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Penerbitan-penerbitan awal Turjuman al-Mustafid tercatat: 1). Cetakan pertama Istanbul (Turki) 1302 H/1884 M dan 2). Cetakan pertama Mathba‘ah Miriyah, Bulaq, Mesir 1303 H/1885 M.Sejarah sebab-sebab terjadi penerbitan pertama di Istanbul (Turki), bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani mentashih pelbagai kitab Melayu / Jawi maka untuk mencetaknya timbul halangan yang menghendaki perjuangan yang gigih. Raja Makkah ketika itu tidak membenarkan menerbitkan kitab-kitab selain bahasa Arab. Syeikh Ahmad al-Fathani telah membantah larangan seumpama itu. Kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, larangan seperti demikian itu akan menyempitkan penyebaran Islam ke seluruh dunia. Penduduk selain tanah Arab tidak faham dengan bahasa Arab. Secara diam-diam Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengirim surat kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah, iaitu Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani. Sumber cerita ini dari Ustaz Haji Mansor Merbok, Kedah, pada 30 Mei 1990. Dia mendengar cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Ibrahim. Tuan Guru Haji Ibrahim mendengar cerita dari ayahnya Tuan Guru Haji Yahya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Cerita ini disesuaikan dengan pelbagai catatan Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Syeikh Ahmad al-Fathani telah dijemput oleh Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan dalam waktu yang sama pemerintah Makkah atas permintaan ulama Makkah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani untuk mewakili ulama Makkah di persidangan ulama Islam se dunia yang diadakan di Turki. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berangkat ke Turki dengan membawa beberapa beg kitab-kitab bahasa Melayu dan Arab yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu, yang telah beliau tashih. Khazanah karya ulama dunia Melayu itu semuanya untuk diperkenalkan kepada Sultan Turki ‘Utsmaniyah dan pihak-pihak penting di sana. Syeikh Ahmad al-Fathani telah berhasil memperjuangkan penerbitan bukan untuk kitab-kitab bahasa Melayu saja, juga termasuk bahasa-bahasa lainnya. Oleh sebab itulah pada tahun 1302 H/1884M tersebut terdapat sekurang-kurangnya tiga buah kitab Melayu / Jawi yang diterbitkan di Istanbul. Dua yang lainnya ialah Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Furu‘ al-Masail karya Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.Pada kata pengantar Turjuman al-Mustafid cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani menulis, “Inilah kitab yang bernama Turjuman al-Mustafid bi al-Jawi yang diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al Baidhawi. Karangan al-Alim al-Allamah wa al-Bahr al-Fahamah Farid Ashriri wa Wahidu Dahrihi Tuan Syeikh Abdur Rauf ibnu asy-Syeikh Ali al-Fanshuri al-Jawi...” Turjuman al-Mustafid yang diusaha cetak oleh Syeikh Ahmad al-Fathani adalah berasal dari manuskrip yang diselesaikan oleh murid pengarangnya yang bernama Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha ‘Ali ar-Rumi. Salah seorang pentashih yang bernama Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani adalah keturunan Baba Daud al-Jawi ibnu Ismail ibnu Agha Mustafa ibnu Agha ‘Ali ar-Rumi yang tersebut.Bukti Turjuman al-Mustafid dapat perhatian pelbagai bahawa seorang orientalis bernama Peter Riddell pernah membuat tesis Ph. D, ANU, Canberra dengan judul ‘Abd al-Rauf al-Singkili's al-Mustafid. Tokoh yang sama juga menulis artikel dalam JMBRAS (1984) dengan judul The Sources of ‘Abd al-Rauf's Turjuman al-Mustafid. Karel A. Steenbrink menyebut pada nota kaki buku “Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat” bahawa “sekarang ini Drs. Salman Harun dari IAIN Ciputat, Jakarta tengah mempersiapkan sebuah disertasi mengenai beberapa aspek lain dari karya yang besar ini.”Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa Turjuman al-Mustafid adalah “diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil setengah maknanya dari Tafsir al-Baidhawi ....”, jadi bererti Turjuman al-Mustafid bukanlah merupakan terjemah secara ke seluruhan Tafsir al-Baidhawi seperti banyak diperkatakan orang. Pendapat Syeikh Ahmad al-Fathani itu sesuai pula dengan tulisan penyalin pertamanya Daud Jawi bin Ismail yang mengatakan “Akan kisahnya yang diambil kebanyakannya daripada Khazin.” Terlalu baru Karel A. Steenbrink yang merupakan petikan dan tulisan Peter Riddell yang mengatakan bahawa “ternyata dasar tafsir ini adalah sebuah terjemahan yang cukup harfiyah dari Tafsir Jalalayn.” Walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani tidak menyebut Tafsir Jalalayn itu, namun kalimat beliau itu telah mewakili bahawa Turjuman al-Mustafid hanya sebahagianya saja dari Tafsir al-Baidhawi selainnya termasuk Khazin, Jalalain dan tafsir-tafsir selain itu.
4 comments:
ada jual tak kitab ni?
ada jual tak kitab ni?
Dimana sy boleh dapatkan tafsir ni....
Assalamu'alaykum, saya mau beli kitab tarjumanul mustafid, berapa harganya?
Post a Comment