MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Monday, July 02, 2012

Program Wakaf Kitab : TASHIL NAIL AL-AMANI

Khazanah Fathaniyah bukan hanya menjual buku / kitab, bahkan juga mewujudkan sistem wakaf kitab. Sistem ini dijalankan dengan cara seseorang individu / institusi membeli kitab-kitab yang disenaraikan untuk tujuan wakaf, dengan tujuan untuk diwakafkan ke tempat-tempat yang dipilih dan diuruskan oleh Khazanah Fathaniyah.  Pihak kami akan memastikan bahawa kitab tersebut akan sampai dan digunakan di tempat-tempat yang sepatutnya.

Wakaf kitab ini diedarkan ke tempat-tempat yang mengadakan pengajian kitab-kitab tersebut, contohnya di masjid, surau, pondok pengajian, sekolah dan lain-lain tempat serata Nusantara. Hingga kini, pengedaran kitab-kitab wakaf tersebut telah diedarkan bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Patani, Kemboja, dan Indonesia. Tujuan pengedaran kitab-kitab wakaf ini adalah untuk menyebarkan dan memperkenalkan kitab-kitab turath karya ulama Alam Melayu kepada masyarakat agar ianya tidak luput ditelan zaman . Di samping itu juga untuk memartabatkan kembali tulisan jawi di kalangan generasi kini.

Terdapat 6 buah kitab yang diterbitkan secara wakaf iaitu:
  • Munyatul Mushalli  karya Syeikh Daud al-Fathani (Solat) 
  • Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Tauhid)
  • 'Unwanul Falah karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Fiqh)
  • Abniyatul Asma' wal  Af'al dan Risalatul Fathaniyah karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Nahu Sharaf)
  • Tashilu Nailil Amani fi Syarhi 'Awamilil Jurjani karya Syeikh Ahmad al-Fathani (Nahu Sharaf) 
  • Risalah Nahu dan Sharaf (Kumpulan Nahu dan Sharaf dari pelbagai kitab, yang kebanyakan adalah karya Syeikh Ahmad al-Fathani)


Sekiranya Tuan-tuan /Puan-puan yang dihormati mahu mewakafkan kitab-kitab tersebut,  mahupun ada individu / institusi-institusi yang berkehendakkan kitab-kitab tersebut untuk belajar ataupun diajarkan, boleh menghubungi kami di talian 03-61897231 (pejabat) , atau staf yang menguruskan bahagian tersebut, iaitu:
  • Abdul  Halim Muhammed : 013-3564496
  • Azrul Basaruddin : 016-3520094

Namun, untuk tahun 2012 ini, kami hanya menerbitkan sebuah sahaja kitab berupa wakaf, iaitu kitab Nahu - TASHIL NAIL AL-AMANI (RM10), manakala kitab-kitab yang lain disenaraikan di atas telah kehabisan stok. Berikut dilampirkan sedikit sinopsis dari kitab, yang pernah ditulis oleh al-Marhum haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, semoga ada manfaatnya, InsyaAllah.


TASHIL NAIL AL-AMANI
Kitab Nahu yang Berpengaruh
Kulit kitab TASHIL NAIL AL-AMANI (Depan)
Judul lengkap Tashilu Nailil Amani fi Syarh ‘Awamilil Jurjani atau dinamakan juga dengan Tasrihul Ghawamil fi Syarhil ‘Awamil.  Ditulis dalam bahasa  Arab dan selesai penulisan waktu Azan Zohor, hari Isnin 12 Rabi‘ulawal 1300 H/21 Januari 1883 M, di Makkah. Nama lengkap diletakkan pada mukadimah ialah Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Kandungan mebicarakan ilmu Nahu, merupakan syarah Matan ‘Awamil karya Syeikh ‘Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 471 H1078 M). 
Pada bahagian nota menyentuh secara ringkas tentang Melayu yang terdiri dari: geografi, bahasa, perwatakan, sejarah dan pemerintahan. Secara khusus disebut juga tentang Patani adalah termasuk bahagian negeri Melayu yang pernah mempunyai kedaulatan  yang besar.
Kitab ini dapat diklasifikasikan termasuk dalam senarai kitab Nahu tradisional yang  dikenal seluruh dunia Islam. Masih diajarkan di beberapa tempat sama ada di dunia Melayu sendiri dan tempat-tempat lain dalam negeri-negeri Arab dan lain-lain hingga sekarang ini. Terdapat pelbagai edisi cetakan di antaranya, ialah: Cetakan yang pertama, Mathba‘ah al-Bahiyah, di lorong Quthub ad-Dardir, Mesir, Muharram 1301 H/Disember 1883 M disebut pada cetakan  ini bahawa  dicetak atas zimmah pengarang sendiri. Dicetak  pula oleh Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah  nama percetakan ini di bahagian belakang lebih lengkap iaitu Mathba‘ah al-‘Amirah al-Miriyah al-Kainah, disebut sebagai cetakan yang ketiga, 20 Rabi‘ulawal 1317 H/29 Julai 1899 M. Dinyatakan pada cetakan ini atas zimmah Fida Muhammad  al-Kasymiri al-Makki. Cetakan ini juga lebih lengkap, terdapat catatan nota-nota dari pengarang pada hampir semua  halaman. Maka dapat diambil kesimpulan bahawa mengenai Tashil Nail al-Amani ini terdapat  dua  edisi cetakan, iaitu yang   lengkap dan yang tak lengkap. Yang masih beredar sampai sekarang ialah cetakan yang  tidak lengkap.
Kulit belakang
Tashil Nail al-Amani telah diajarkan di Pulau Jawa, di negeri-negeri dunia Melayu dan lainnya sejak Syeikh Ahmad al-Fathani masih hidup lagi, mungkin kitab itu dibawa dan kemudian diajarkan oleh murid- murid beliau sendiri. Buktinya pada kitab Matan ‘Awamil yang bergantung maknanya dengan bahasa Jawa dicetak oleh Syarkah  Maktabah wa Mathba‘ah Ahmad bin Nabhan, Surabaya, Indonesia pada akhir kitab terdapat kenyataan itu. Bahagian tepinya tercantum keringkasan dari Tashil Nail al-Amani  yang  setiap selesai perbicaraan ditulis dengan "Tashil" saja. Bukti lain bahawa bahagian akhir  tertulis doa yang ditulis oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Tashil Nail al-Amaninya yang doa itu sebenarnya tidak pernah ada dalam Matan ‘Awamil  karya Syeikh ‘Abdul Qahir al-Jurjani. Matan ‘Awamil  bergantung makna bahasa Jawa selesai ditulis tahun 1319 H (Syeikh Ahmad al-Fathani wafat 1325 H/1908 M). Sayang penulis tidak menyebut  namanya, namun pada bahagian kedua (pada Matan al-Ajrumiyah) dia menyebut namanya al-Haji Ahmad bin Imam Pura Jawa asal Kampung Kalija Sala (Solo, ?). Dengan maklumat ini, sebagai bukti pula, barangkali sangat ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang membuka Pondok-pesantren di Pulau Jawa, kerana dari dulu hingga kini masih banyak Pondok-pesantren tradisional di Jawa dan Madura yang mengajar  kitab Tashil Nail al-Amani  Orang Jawa menyebut kitab tersebut dengan Kitab Ngawamil. Manakala untuk Syeikh Ahmad al-Fathani  mereka sebut dengan "Kiyai Syeikh Ngawamil" saja.

________________________

Alhamdulillah, rancangan TURATH ULAMA telah kembali bersiaran ke udara kembali, bermula minggu lepas. Moga kita diberi kelapangan waktu untuk menontonnya, insyaAllah.

Seperti biasa, InsyaAllah setiap hari Rabu dan Khamis, bermula jam 6.30 petang, di TV1. Moga ada manfaatnya, ameen.



No comments: