ISRAK MIKRAJ DAN KEBANGKITAN UMMAH
Siri 2
Oleh:
Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah
AL-KAUKAB AD-DURRI FIN NUR AL-MUHAMMADI
PEMBUKA JALAN PADA PENGENALAN YANG GHAIB-GHAIB
Al-Kaukabud Durri fin Nuril Muhammadi adalah karangan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, seorang ulama besar dunia Melayu yang sangat terkenal, terutama kerana sebuah karyanya yang berjudul "Mathla‘ul Badrain". Beliau pula adalah guru hampir semua ulama dunia Melayu yang belajar di Makkah pada zamannya. Dalam sebuah surat tanah, Makkah 1281 H, diperoleh maklumat bahawa ulama yang berasal dari Patani, kelahiran Pulau Duyung Kecil, Terengganu tersebut adalah seorang "Hakim Syar‘ie Makkah". Barangkali pada zaman itu hanya beliau seorang saja orang Melayu yang berkedudukan demikian di Makkah. Selain karyanya "Mathla‘ul Badrain" yang membicarakan fiqh, yang sedang dibicarakan ini ialah الكوكب الدرى فـي النور الـمحمدى (Al-Kaukabud Durri fin Nuril Muhammadi), merupakan kitab khusus membicarakan kejadian alam yang ghaib-ghaib termasuk juga tentang Isra' dan Mi‘raj. Kitab yang bercorak sastera Islam Melayu klasik ini telah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, dan padanya terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:
Wa ba‘du,
Maka telah selesailah thaba‘ ini kitab
yang mengandung akan beberapa banyak ‘ajaib
Yang menyatakan daripada ahwal bahamut,
dan malakut, dan ‘azhamut, akan badai‘ dan gharaib
Maka seyogialah,
bagi segala mata,
bahawa berkuhul ia,
dengan itsmid muthala‘ahkan ibaratnya
Dan bagi segala telinga,
bahawa berlazat-lazat ia,
dengan halawah mendengarkan hikayatnya.
Yang diisnadkan sekaliannya,
kepada tsiqat al-‘ulama' zawit tahqiq
Maka lazimlah atas segala hati,
bahawa ada ia baginya Aba Bakar as-Shiddiq
Dan sesungguhnya,
jikalau dituliskan risalah ini,
atas shafaih al-fiddah dengan ma' az-zahab
niscaya berpatutanlah demikian itu,
dengan mahasinnya yang indah lagi ‘ajab
KETERANGAN
Setelah puji-pujian, shalawat dan salam, Syeikh Ahmad al-Fathani memulakan puisinya dengan memperkatakan kitab Al-Kaukab Ad-Durri yang selesai dicetak (thaba‘) pada pembuka kata. Dan penutup puisi tersebut beliau menulis:
“Dan adalah capnya pada Mathba‘ah al-Miriyah Yang pada Makkah al-Mahmiyah.
Tamam thab‘ihi fi awakhir zil Hijjah
Min ‘ami alfin wa tsamaniyatin wa tsalatsa miah
minal hijhrah an-Nabawiyah”.
Puisi di atas bermaksud bahawa kitab Al-Kaukab Ad-Durri itu pertama kalinya dicetak oleh Mathba‘ah al-Miriyah, di negeri Makkah dan sempurna mencetaknya pada akhir bulan Zulhijah tahun 1308 H/1890 M. Pada muqaddimah, Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa kandungan kitab ini, penuh dengan berbagai-bagai keajaiban sehingga beliau sifatkan “yang menyatakan daripada ahwal bahamut…”. Yang dimaksudkan dengan بـهـمـوت (bahamut) ialah “nama seekor ikan yang sangat besar di alam ghaib, dalam laut yang ke tujuh, di bawah ‘Arasy”. Disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dalam Al-Kaukab Ad-Durri, merupakan petikan dari perkataan Tsa‘labi (hlm. 13).
Mengenai proses kejadian insani, disebut oleh pengarang kitab Al-Kaukab Ad-Durri sendiri pada bahagian muqaddimah, “… iaitu Bab Pada Menyatakan Kejadian Nabi Adam dan Hawa, Dan Masa Antara Adam Dan Antara Segala Anbiya’, Dan Bab Pada Menyatakan Masa Dahulu Daripada Dijadikan Dunia Dan Masa Dunia.”
Mengenai proses kejadian insani, disebut oleh pengarang kitab Al-Kaukab Ad-Durri sendiri pada bahagian muqaddimah, “… iaitu Bab Pada Menyatakan Kejadian Nabi Adam dan Hawa, Dan Masa Antara Adam Dan Antara Segala Anbiya’, Dan Bab Pada Menyatakan Masa Dahulu Daripada Dijadikan Dunia Dan Masa Dunia.”
Mengiringi perkataan بـهـمـوت (bahamut), Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut pula perkataan مـلكوت (malakut). Perkataan ini mengandungi pelbagai makna, iaitu dalam karya-karya tasawuf biasa disebut dengan عـالـم ملكوت(‘Alam Malakut). Perkataan "malakut" juga boleh diertikan dengan "kekuasaan dan kebesaran Allah". Selain itu, ia juga diertikan dengan “kerajaan yang maha besar”.
Syeikh Ahmad al-Fathani selanjutnya mengiringkan perkataan "malakut" itu dengan perkataan عـظـمـوت(‘azhamut). Perkataan "‘azhamut" ini bermaksud “keagungan”, “kemuliaan” dan “kebebasan”. Kedua-dua perkataan itu, "malakut" dan "‘azhamut", dapat dihubungkaitkan pula dengan muqaddimah dalam Al-Kaukab Ad-Durri, yang menyebut, “Dan Bab Pada Menyatakan Tujuh Petala Langit Dan Bumi. Dan Kejadian ‘Arasy Dan Kursi, Dan Lauh Dan Qalam Dan Baitul Ma‘mur Was Saqful Marfu‘ Wal Bahrul Masjur Dan Sidratul Muntaha Dan Qisah Isra’ dan Mi‘raj…”. Semua yang tersebut itu, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, diceritakan dengan indah (bada'i‘), aneh (gharaib) menurut asal kejadiannya, yang bertitik mula dari kejadian Nur Muhammad.
Syeikh Ahmad al-Fathani selanjutnya mengiringkan perkataan "malakut" itu dengan perkataan عـظـمـوت(‘azhamut). Perkataan "‘azhamut" ini bermaksud “keagungan”, “kemuliaan” dan “kebebasan”. Kedua-dua perkataan itu, "malakut" dan "‘azhamut", dapat dihubungkaitkan pula dengan muqaddimah dalam Al-Kaukab Ad-Durri, yang menyebut, “Dan Bab Pada Menyatakan Tujuh Petala Langit Dan Bumi. Dan Kejadian ‘Arasy Dan Kursi, Dan Lauh Dan Qalam Dan Baitul Ma‘mur Was Saqful Marfu‘ Wal Bahrul Masjur Dan Sidratul Muntaha Dan Qisah Isra’ dan Mi‘raj…”. Semua yang tersebut itu, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, diceritakan dengan indah (bada'i‘), aneh (gharaib) menurut asal kejadiannya, yang bertitik mula dari kejadian Nur Muhammad.
Dalam puisi, bait yang berikutnya, Syeikh Ahmad al-Fathani menganjurkan pembaca agar memanfaatkan “segala mata” dan “segala telinga”. Yang dimaksudkan dengan “segala mata”, ialah banyak mata yang menunjukkan kepada banyak orang. Begitu pula dengan “segala telinga”, tetapi di sini secara sindiran, Syeikh Ahmad al-Fathani mengatakan “segala mata” ialah yang terdiri daripada dua biji mata, mata hati, pemikiran otak dan diri roh yang merupakan diri yang sebenar-benar diri. “Segala mata” yang bermaksud demikian itu, menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, hendaklah dicelakkan (berkuhul) dengan celak yang paling terkenal (itsmid) yang dapat membaca (memuthala‘ahkan) sekalian yang tersurat dan yang tersirat. Jadi tugas “segala mata” adalah untuk membaca. Yang dimaksudkan dengan “segala telinga” pula ialah yang terdiri daripada dua buah telinga yang termasuk juga telinga bathin. “Segala telinga” hendaklah diberikan berlazat-lazat dengan kemanisan (halawah) mendengar hikayat yang termaktub di dalam kitab seperti Al-Kaukab Ad-Durri itu.
Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani memberi jaminan secara pasti bahawa kandungan kitab Al-Kaukab Ad-Durri itu bersandarkan (diisnadkan) kepada "tsiqat" dan "ahli tahqiq". Kitab itu berasal dari karya-karya ulama yang "tsiqat" dan dikarang oleh ulama atau disusun oleh ulama dunia Melayu yang sangat terkenal pula, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, maka Syeikh Ahmad al-Fathani menganjurkan kepada pembaca supaya tidak ragu-ragu akan keshahihan kandungannya. Begitulah maksud kalimat,
“Maka lazimlah atas segala hati,
bahawa ada ia baginya Abu Bakar as-Shiddiq”.
Sebagaimana Sayidina Abu Bakar Shiddiq mempercayai apa saja yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W mengenai peristiwa Israk dan Mikraj, maka yang diharapkan kepada umat Islam agar mempercayai apa saja yang diriwayatkan oleh para ulama yang "tsiqat" dan ‘ulama' ahli tahqiq". Ini adalah kerana apa saja yang mereka riwayatkan adalah berasal daripada Nabi Muhammad S.A.W ataupun berasal daripada para tabi‘in yang boleh dipercayai.
Keistimewaan kitab Al-Kaukab Ad-Durri karya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani itu, digambarkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada penutup puisinya iaitu dikatakan bahawa seolah-olah berpatutanlah kitab itu ditulis di atas kepingan-kepingan daripada perak (shafaih al-fiddah) dengan air emas (ma’ az-zahab).
DHAU AS-SIRAJ FI QISHSHATIL ISRA' WAL MI‘RAJ
PEMBELA AJARAN ISLAM DARI PANDANGAN BARAT
Syeikh Ahmad Khathib bin ‘Abdul Lathif al-Minankabawi (lahir hari Isnin, 6 Zulhijjah 1276 H/26 Jun 1860 M, wafat 9 Jumadil Awwal 1334 H/ 13 Mac 1916 M). ) adalah seorang ulama besar dunia Melayu di Makkah. Beliau berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat pernah menjadi Imam dan Khathib Mazhab Syafi‘ie di Masjid al-Haram Makkah al-Mukarramah. Selain itu menghasilkan banyak karangan dalam bahasa Arab dan Melayu terutama dalam bidang ilmu falak dan hisab. Di bawah ini saya petik kalimat-kalimat beliau dalam ضوء السراج فـي قـصـة الإسـراء والـمعراج (Dhau-us Siraj fi Qishshatil Isra' wal Mi‘raj) yang merupakan pembelaan ‘aqidah Islam dan menolak pemikiran orientalis Barat.
Pada muqaddimah, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menulis, “Ketahui olehmu bahawasanya tatkala mendengar hamba daripada ahwal saudara-saudara kita daripada orang Melayu yang telah bernama dengan Islam, yang telah bercampur mereka itu dengan orang kafir daripada orang putih, sebelum ia mengetahui daripada agamanya akan lain daripada syahadah sahaja. Dan menyatakanlah orang putih itu kepadanya akan syubhat-syubhat pada agama Islam. Yang ada setengah syubhat itu Mi‘raj Nabi kita kepada langit. Dan menerima pula orang jahil itu akan demikian syubhat. Dan memungkiri pulalah ia akan Mi‘raj Nabi kita karena mengikut gurunya orang kafir itu, karena jahil dengan haqiqat agamanya. Dan karena butanya daripada ilmu. Dan karena itu adalah ia kepada barang mana ditariknya oleh orang putih niscaya tertariklah ia sertanya, dan tiada mengetahui ia akan bodohnya. Maka kasihlah hati hamba kepada mereka itu, mendengar hal mereka itu, karena telah jadi mereka itu dengan demikian itu murtad, keluar daripada agama Islam. Dan tiadalah harus bahawa disembahyangkan mereka itu kemudian daripada mati mereka itu.”
Kata Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau selanjutnya, “Dan tiadalah dapat bagi mereka itu pada dunia mereka itu, melainkan semata-mata jadi hamba orang putih saja. Dan pada akhiratnya masuk Jahannam yang berkekalan. Dan rugilah mereka itu daripada dunia dan akhirat. Dan karena itu hamba karanglah kitab ini pada menyatakan haqiqat agama Islam dan dalil benarnya. Dan batal lainnya ...” (Dhau-us Siraj, hlm. 3 - 4).
Selanjutnya Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyebut tentang bahagian kandungan karangannya yang menolak pendapat orientalis Barat, katanya, “Dan kedelapan pada menyatakan dalil benar naik Nabi kita kepada langit, dan mumkin pada akal, dan dalil batal syubhat orang putih pada naik Nabi kita kepada langit. Dan yang kesembilan pada menyatakan Hikayat Mi‘raj Nabi kita kepada langit. Mudah-mudahan apabila melihat orang yang jahil-jahil yang disesatkan oleh orang putih itu akan kitab ini, niscaya mengetahuilah ia akan bahawasanya agama Islam ialah agama yang betul. Dan kembali ia kepada Islam daripada murtadnya itu, supaya lepas ia daripada azab yang berkekalan ...” (Dhau-us Siraj, hlm. 4).
Demikianlah petikan. Sungguhpun beberapa perkataan dalam kalimat Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau agak keras dan tegas mungkin ada yang tidak sependapat namun saya petik juga adalah untuk sebagai informasi para penyelidik yang cinta akan kebenaran. Adapun hujah-hujah Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau mempertahankan pendapat beliau yang terdapat dalam kitab tersebut saya tinggalkan, mudah-mudahan akan dibicarakan pada kesempatan-kesempatan waktu yang lain. Saya berkesimpulan bahawa pendapat Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dalam menangkis pendapat orang-orang yang bukan Islam adalah sesuai dengan semua ulama Islam, kerana berdasarkan kepada hujah atau dalil al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
No comments:
Post a Comment