Hari ini 24 Rabi'ul Awwal 1431H (berdasarkan tahun hijrah) genaplah 3 tahun kembalinya Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah ke rahmatullah, iaitu bersamaan 12 April 2007 yang lalu. Setelah 3 tahun, diakui penerbitan Khazanah Fathaniyah mengalami pelbagai liku dan cabaran yang kadangkala hampir melumpuhkan semangat dan keghairahan untuk meneruskan perjuangan ini. Bukanlah berniat untuk putus asa dan mengeluh dengan keadaan yang menimpa, namun sebagai manusia yang tidak maksum adakalanya akan hadir juga sifat mazmumah sedemikian, setelah diasak dengan pelbagai halangan dan rintangan yang juga adakalanya tidak termampu ditanggung. Adakalanya benar-benar kehidupan di hujung tanduk! Tetapi, alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada-Nya kerana dengan cabaran tersebutlah menjadikan seseorang lebih mendekatkan diri kepada-Nya, kerana liku yang berduri itulah telah mengajar diri bagaimana untuk mengharungi duri itu, kerana halangan itulah menjadikan seseorang semakin bijak mencari jalan penyelesaiannya, kerana rintangan yang melanda jualah telah berani mencuba untuk bina kubu pertahanan yang utuh, kerana hampir di hujung tanduk itulah juga telah memotivasikan Khazanah Fathaniyah agar tidak seseringnya bergantung setiap kali dilanda kesukaran, ya, kebergantungan hanyalah kepada-Nya sahaja. Dan secara tidak langsung dapat merasai betapa peritnya selama ini dilalui oleh beliau, namun dizahirkannya dengan hati yang tenang seolah-olah tiada kacau bilau yang melanda. Dan secara tidak langsung, dipohon kesyukuran kerana tidak mengalami kesulitan seperti beliau yang bermula tanpa apa-apa berbanding kini. Alhamdulillah segalanya telah banyak tersedia.
Sedikit yang dapat dicoretkan, bahawa setiap sesuatu yang telah ditakdirkan-Nya walaupun zahirnya kelihatan tidak menyebelahi kita, InsyaAllah terkandung hikmah-hikmah yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah akan takdir-Nya ini, walaupun kini Khazanah Fathaniyah masih diumpamakn merangkak-rangkak untuk cuba berjalan dengan betul, namun sekurang-kurangnya usaha tetap diteruskan tanpa berputus asa, dan diharapkan usaha-usaha perjuangan ini berkesinambungan dari generasi ke generasi akan datang. InsyaAllah.
Al-Fatihah.
InsyaAllah, persatuan PENGKAJI akan mengadakan majlis tahlil, yang mana masa dan hari akan dimaklumkan kelak. Terima kasih tidak terhingga atas sokongan dari pelbagai pihak:)
2 comments:
Ayahanda akan sentiasa dikasihi, dikenang dan dirindui, perjuangan bersambung dari RasuluLlah SAW kepada para sahabat RA, kepada para wali, para syuhada', para ulamak solihin..kepada Tuan Guru dan seterusnya kepada pewaris, kepada penuntut sehingga tiba masanya nanti.. ila hadratin Nabi SALlahu 'alaihi wa alihi wasallam, ila ALlahyarham Syeikh Ustaz Wan Mohd Shaghir AbduLlah.. al fatihah
Terima kasih.
Semoga perjuangan al-Marhum berkesinambungan hingga akhir hayat.
Post a Comment