MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Thursday, April 12, 2012

Mengenali FARIDATUL FARAID - Bahagian #2

Ilmu adalah ibarat bunga tiada layu, 
Bunga dicium kerana wanginya, 
Walau dahan dan rantingnya berduri. 
- SYEIKH AHMAD AL-FATHANI 
 


Gambar di atas adalah kulit kitab Faridatul Fara'id, terbitan Khazanah Fathaniyah, baik edisi Jawi atau rumi. Berdasarkan kajian Ustaz Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, bahawa lukisan berbentuk bunga dan grafik angka tersebut merupakan asli tulisan tangan Syeikh Ahmad al-Fathani, pengarang Faridatul Fara'id. 

Menurut beliau lagi, lukisan tersebut sengaja dikekalkan dan diletakkan setiap kali cetakan Faridatul Faraid, sebagai renungan bersama bahawa seorang ulama itu juga mencintai seni lukis. Namun, tidak dapat diketahui maksud dan apakah yang tersirat yang ingin disampaikan oleh Syeikh Ahmad al- Fathani pada grafik yang berbentuk angka tersebut. Wallahu a'lam...

*Dijemput menyaksikan TURATH ULAMA, 6.30 petang ini (TV1), bagi menyambung pengajian kitab Faridatul Fara'id, yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Hashim. InsyaAllah.


Monday, April 02, 2012

Mengenali FARIDATUL FARAID - Bahagian #1

Ada yang bertanya kenapa kitab Faridatul Faraid dipilih sebagai pengajian untuk program Turath Ulama (TV1), selain kitab Munyatul Mushalli. Ada juga yang berpendapat bahawa Kitab Munyatul Mushalli mungkin tidak menghairankan, kerana ramai yang mengakui pernah mempelajarinya, tidak kurang juga yang hanya pernah mendengar namanya sahaja.

Berbeza dengan Faridatul Faraid. Di kalangan pelajar-pelajar pondok, ianya tidak janggal, tetapi di kalangan awam, kitab yang dinamakan sebagai Faridatul Faraid tersebut masih 'baru' bagi mereka. Walhal, kitab ini sangat masyhur di kalangan para ulama, terutama ulama Fathani.

Bagi saya kitab Faridatul Faraid, karya Syeikh Ahmad al-Fathani ini mempunyai kelasnya tersendiri. Menurut al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd Sahghir Abdullah, beliau sendiri pada mulanya kurang mengerti kenapa kitab ini sangat diperbesar-besarkan di kalangan ulama. Memetik dari kata-kata beliau dalam muqaddimah kitab;
 "Sewaktu saya ke Bangkok pada tahun 1971, ramai kalangan ulama dan pelajar Islam di sana menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan "Tuan Faridah", sebagaimana di Jawa hingga tahun 1960, para ulama'nya mengenal Syeikh Ahmad al-Fathani dengan sebutan "Tuan Ngawamil". Demikian besarnya pengaruh kitab ini, sehingga sangat ramai yang pernah belajarnya, manakala ada mendapat anak perempuan lalu menamakan dengan "Faridah"".
Sambung beliau lagi;
"Sewaktu saya ke Mekah pada tahun 1979, salah seorang 'alim berasal dari Fathani mengatakan bahawa kitab Faridatul Faraid jika diajar oleh orang yang lebih 'alim, lebih sedap, lebih luas, dan lebih mengasyikkan. Salah seorang tuan guru pondok di Fathani mengatakan bahawa kitab Faridatul Faraid tetap akan diajarkan di pondok-pondok dalam wilayah Fathani. Menurutnya lagi, hingga ke hari ini tidak ada satu kitab Tauhid dalam bahasa Melayu yang menyamai kemasyhuran kitab Faridatul Faraid. Mereka menyebut bahawa dalam kitab ini mempunyai pengertian yang tersirat, baik ditinjau dari segi susunan Nahu dan Saraf, mahupun penafsiran secara batin atau rahsia...".
Menurut Ustaz Wan Shaghir lagi,
"Dalam tahun 1992, salah seorang ustaz yang mengajar sebagai pensyarah di Nilam Puri (Kelantan) bercerita kepada saya, "Saya mengajar di banyak masjid dalam Kota Bharu Kelantan, di antara kitab yang saya ajar ialah Faridatul Faraid oleh Tok Guru Wan Ahmad al-Fathani. Cukup besar 'amal jariah Tok Guru Wan Ahmad, kerana di salah satu masjid saya mengajar tidak kurang yang hadir sekitar lima ratus orang. Yang mengajar Faridah bukan saya sahaja, tetapi ramai ustaz lainnya. Cuba bayangkan dari dulu hingga sekarang Faridah masih tetap diajarkan, itulah sebabnya saya katakan cukup banyak 'amal jariah yang diterima oleh Tok Guru Wan Ahmad, tuan punya kitab itu"....". MasyaAllah.
Hingga hari ini kisah yang dikhabarkan oleh tuan guru-tuan guru pondok tersebut kepada al-Marhum Ustaz Wan Shaghir tersebut telah terbukti kerelevanannya. Sejak tahun 2008, hingga hari ini 2012, Khazanah Fathaniyah bergiat aktif dalam penyebaran kitab wakaf, yang antaranya adalah kitab Faridatul Faraid. Sehingga 2012 ini, hampir 40,000 buah kitab Faridatul Faraid telah diwakafkan, dan permintaan majoritinya adalah dari pondok-pondok di Fathani. Malah, permintaan sentiasa berterusan, dan terus meningkat dari tahun ke tahun, hingga pengulangan cetak masih diteruskan. Alhamdulillah.

Tahun 2011 pula menyaksikan kitab Faridatul Faraid diajar di kaca TV, melalui program Turath Ulama. Kerjasama antara Khazanah Fathaniyah dan JAKIM ini sesungguhnya adalah satu dakwah dalam memartabatkan kembali keilmuan ulama silam, yang mungkin semakin dilupai. Dengan ini juga khazanah ulama melalui pengajian kitab kian bertapak di hadapan umum, bukan setakat di'kenali' di kalangan pelajar-pelajar pondok sahaja.


Ustaz Azhar Bin Hashim,
yang mengajar kitab Faridatul Faraid, dalam Turath Ulama.

Untuk itu, tanpa jemu, kami menjemput untuk sama-sama kita mendalami ilmu Tauhid dalam kitab Faridatul Faraid, karya Syeikh Ahmad al-Fathani, setiap hari Khamis, bermula 6.30 petang (TV1), dalam program yang sama dengan Munyatul Mushalli, iaitu Turath Ulama. InsyaAllah.

------------------------------

Pengumuman :

Khazanah Fathaniyah menyediakan dua versi kitab, dalam versi Jawi dan rumi, bagi kedua-dua kitab yang digunakan dalam program Turath Ulama.

- Untuk versi Jawi, ianya adalah diberi secara percuma, kerana merupakan kitab yang telah diwakafkan, dengan SYARAT penerima kitab harus memanfaatkan dengan sebetulnya, sama ada untuk diajar atau dipelajari, dan tidak boleh dilakukan sebarang transaksi jualbeli.

- Untuk versi rumi, berikut adalah harga bagi kedua buah kitab:
1. Kitab Munyatul Mushalli : RM 18.00
2. Kitab Faridatul Faraid : RM 28.00

- Untuk mendapatkan kitab-kitab tersebut, sama ada versi Jawi/rumi, boleh diperolehi sama ada melalui telefon di talian : 03-6189 7231/ email: khazanahfathaniyah[at]yahoo.com, atau sms : 013-2089345 (sms sahaja).

Sekian, sekadar makluman. Semoga bermanfaat, insyaAllah.