MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Wednesday, July 31, 2013

TURATH ULAMA - Kitab Munyatul Mushalli (Sujud Sahwi)


Alhamdulillah pagi tadi (Isnin/ 22 Ramadhan), siaran TURATH ULAMA bagi pengajian kitab Munyatul Mushalli dilanjutkan lagi dengan perkara berkaitan Sujud Sahwi.

Kesinambungan dari minggu yang lepas -bahawa andai ditinggalkan lapan perkara dalam Sunat-Sunat Ab'adh adalah disunatkan sujud Sahwi. Kali ini al-Fadhil Ustaz Abdul Halim menyambung kepada perkara-perkara lain dari tersebut yang disunatkan juga sujud Sahwi. Perkara-perkara tersebut disebut Syeikh Daud al-Fathani dalam kitabnya, ringkasan adalah berikut: 

1) Memanjangakan rukun yang pendek dengan tidak sengaja. Adapun sekiranya sengaja adalah terbatal. Rukun pendek yang dimaksudkan adalah i) iktidal dan ii) duduk antara dua sujud.

Menurut al-Fadhil Ustaz, kedua-dua rukun pendek tersebut tidak boleh lama seperti rukun-rukun yang lain yang tiada hadnya. Had bagi Iktidal adalah berdiri tidak boleh lebih dari seolah-olah membaca al-Fatihah. Bagi duduk antara dua sujud pula adalah separu dari al-Fatihah.

2) Bercakap/ Berkata-kata dengan sedikit. Sedikit yang dimaksudkan adalah tidak lebih dari 6 perkataan/ kalimah. Hal ini diqiaskan dari kisah sahabat Rasulullah SAW, iaitu Zil-Yadain, yang menegur Baginda yang kurang rakaat semasa solat. Diringkaskan, setelah berlaku perbualan yang singkat antara Baginda dan Zil-Yadain, maka Rasulullah terus sambung rakaat solat tersebut, tanpa memulakan solat semula. 

3) Termakan/ terminum sedikit dengan tidak sengaja.

4) Melebihkan rakaat kerana terlupa.

5) Memindahkan rukun Qauli, contohnya membaca Surah Fatihah pada Ruku' atau Sujud. Seandainya terlupa sekalipun, ianya tidak membatalkan sembahyang kerana berkait dengan tahaffuz.

6) Syak meninggalkan sunat-sunat Ab'adh tertentu, seperti Qunut Subuh atau Tasyahud Awal.

7) Syak tentang rakaat dalam sembahyang.

Penutup pengajian, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa menurut ulama terdapat lebih 6000 masalah-masalah berkaitan sembahyang. Maka Ustaz menasihatkan agar dititikberatkan soal sembahyang ini, di samping sembahyang ianya adalah amalan yang awal akan dihisab. Wallahu a'lam.

Tuesday, July 30, 2013

TURATH ULAMA - Kitab Faridatul Faraid (Sifat ke-10- Hayat)


Alhamdulillah siaran TURATH ULAMA berlangsung seperti yang dijadualkan, iaitu setiap hari Isnin dan Rabu jam 6.30 pagi, di saluran RTM TV1. Untuk siaran pagi semalam -Isnin/ 20 Ramadhan- disambung pula pengajian kitab Faridatul Faraid (Karya Syeikh Ahmad al-Fathani) yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Hashim al-Hadhrami.


Sedikit perkongsian - Pengajian disambung dengan sifat wajib bagi Allah yang kesepuluh iaitu 'Hayat'. Sifat Hayat diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh pengarang kitab (Syeikh Ahmad al-Fathani) sebagai 'hidup'. Di sini, al-Fadhil Ustaz Azhar membuat perbandingan dengan terjemahan oleh pengarang kitab Bakurah al-Amani (Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathani/ Pak Da 'el) sebagai 'penghidup'.


Melihat kepada perbezaan kedua ulama tersebut, terselit pengajaran yang wajar diambil. Menurut al-Fadhil Ustaz, pertikaian tersebut tidaklah sepatutnya kita meletakkan mana yang benar atau salah, kerana kedua-duanya dikenali sebagai ulama besar Melayu. Kita harus melihat perbezaan tersebut dengan pandangan yang beradab tanpa mempertikaikannya. Contoh dalam sifat 'Hayat' ini, Syeikh Ahmad menterjemahkan atas jalan lazim, manakala Pak Da 'El pula menterjemahkan atas jalan sifat, kerana terjemahan mereka berbeza. 

Dengan cara ini, selamatlah kita dalam beradab dengan ulama, kerana adab adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan.

Wallahu a'lam.

Thursday, July 25, 2013

Facebook Rasmi Khazanah Fathaniyah

Assalammu'alaikum Wrt Wbt.

Alhamdulillah pada 9 Ramadhan yang lalu facebook untuk Khazanah Fathaniyah baru didaftarkan. Moga dengan bertambah rangkaian saluran komunikasi ini memudahkan pelbagai pihak untuk berhubung dengan kami, di samping menyebarluaskan lagi makluman-makluman terkini dari Khazanah Fathaniyah. InsyaAllah pengemaskinian terkini berkaitan Khazanah Fathaniyah akan dimaklumkan juga melalui facebook tersebut. 

Oleh itu, dijemput untuk menjadi rakan facebook Khazanah Fathaniyah : Klik di sini. 

* Makluman Ulangan - Khazanah Fathaniyah telah berpindah ke lokasi baru, beralamat berikut: 

No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa, 54200, KL
(Atas KK Mart 24 Jam).
No. Tel : 03-4265 6444 / No. Faks: 03-4265 6446.

Berkenaan lokasi lama iaitu di Taman Melewar (Dewan Syeikh Daud al-Fathani) pula, insyaAllah akan dipenuhi dengan kelas pengajian kitab, di samping aktiviti-aktiviti lain, khususnya membabitkan  persatuan PENGKAJI.

Wassalam. 

Wednesday, July 24, 2013

Ringkasan TURATH ULAMA (Kitab Munyatul Mushalli)


Alhamdulillah hari ini -15 Ramadhan- siaran TURATH ULAMA disambung dengan pengajian kitab Munyatul Mushalli, dalam fasal 'Hikmah dan Kesempurnaan dalam Sembahyang' disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Saad.


Di awal siaran, al-Fadhil Ustaz menjelaskan tiga kemuliaan (Karamah) bagi orang yang sembahyang iaitu:
(Riwayat daripada Hasan Basri R.A, daripada Rasulullah SAW, bahawasanya bersabda: "Bagi orang yang sembahyang itu tiga karamah")*

1) Berteraburan kebaikan/ kebajikan ke atas kepalanya (orang yang mengerjakan sembahyang) dari langit.
2) Malaikat berkeliling dari dua tapak kakinya (orang yang mendirikan sembahyang) hingga langit ke-3.
3) Malaikat menyeru andai seseorang itu tahu akan segala kemuliaan melaksanakan sembahyang, nescaya tidak berhenti seseorang itu dari mengerjakannya.

Seterusnya dibicarakan mengenai sunat dalam memberi Salam, dan perkara-perkara berkaitan sunat Hai'at dan Ab'adh. Secara ringkasnya berkaitan Salam, adalah lebih utama diniatkan memberi Salam kepada para Malaikat, dilanjutkan dengan jemaah yang sembahyang bersama dan juga kepada jin (Jin Islam).

Manakala berhubung perkara Sunat Hai'at dan Ab'adh, al-Fadhil Ustaz menyimpulkan bahawa Sunat Ab'adh akan menyebabkan pahala sembahyang berkurang andai ditinggalkan, kerana itu digantikan dengan sujud Sahwi, dan sebaliknya pula pada Sunat Hai'at yang mana pahala tidak akan terjejas (berkurang), tetapi pelaksanaannya adalah bertujuan 'mencantikkan' sembahyang. 

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat. 

* Sumber: Munyatul Mushalli -Pengetahuan Sembahyang Masyhur- Syeikh Daud al-Fathani, terbitan edisi Rumi, 1991.

Thursday, July 18, 2013

Lokasi Baru Khazanah Fathaniyah

Assalammu'alaikum Wrt. Wbt,

Alhamdulillah telah masuk 9 hari Ramadhan. Mengambil sempena bulan yang penuh barakah ini, sukacita dimaklumkan bahawa bermula bulan Julai ini, Khazanah Fathaniyah telah beroperasi di lokasi yang baharu, beralamat  seperti berikut:

No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8, 
Taman Setiawangsa, 54200 KL.
(Atas KK Mart 24 Jam)
No Tel: 03-4265 6444 / No Faks : 03-4265 6446 Facebook: Khazanah Fathaniyah

InsyaAllah lokasi ini akan dibuka setiap hari (7 hari seminggu), bermula jam 10 pagi-5.30 petang. Dipersilakan!.