MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Tuesday, July 13, 2010

Israk Mikraj dan Kebangkitan Ummah - Siri 3


PENGERTIAN  ISRA' ( إسـراء)
Dalam Jumanatut Tauhid, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis sebagai berikut,


اُسْـرِىْ بِذَا الـنَّـبِـىْ مِنَ الْحَرَامِ
لَيْلاً عَلَـى الْـبُرَاقِ ذِى اللّـِجَامِ

لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدهُ عُـرِجْ
بِهِ إِلَـَى السَّـبْعِ الْعُلَـى لِـيَبْتَهِجْ
 
Maksudnya:
Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid al-Haram,
ketika malam di atas buraq yang mempunyai kekang

ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu baginda dinaikkan, 
sertanya pada tujuh kemuliaan bagi menggembirakan

Yang dimaksudkan dengan isra' ( إسـراء) ialah Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid al-Haram Makkah ketika malam di atas buraq yang mempunyai kekang ke Masjid al-Aqsha di Bait al-Maqdis.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Ward az-Zawahir, menegaskan bahawa orang yang ingkar akan isra' kufur ia karena mendustakan Quran. Menurut beliau pula bahawa tiada kufur yang berkata, Adalah  isra' pada tidur juga, karena beberapa jamaah berkata mereka itu, Adalah pada tidur jua, seperti Siti Aisyah dan Muawiyah  ...  (Ward az-Zawahir, hlm. 168). Dalam  Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani, menyebut,  Ada pun di dalam  tidur, maka telah jatuh bagi Nabi S.A.W tiga puluh tiga kali. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menjelaskan tentang terjadi Isra', ialah, ..pada tahun yang kedua belas daripada Nubuwah, dahulu daripada berpindah ke Madinah dengan setahun, dijalankan dengan dia Shallallahu alaihi wa Sallam ke Bait al-Maqdis daripada dalam Hijir atawa daripada rumah Ummu Hani' saudara Saiyidina Ali bin Abi Thalib. Iaitu rumah yang dijadikan mesjid, yang tersembunyi sekarang ini, antara Bab  al-Wida' dan Bab al-Jiyad ... .

Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Badr at-Tamam pula, tentang terjadi Isra' dan Miraj,  "Dan yang demikian itu pada malam Sabtu, tujuh likur daripada bulan Rabiul Awwal. Dan kata qil, pada bulan Rejab, dan atas qaul ini [di]amal[kan] sekarang ini. Dan kata qil, lain daripada [yang] demikian itu(hlm. 16). Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut terjadi pada bulan Rabiul Awwal barangkali merujuk Syarh Muslim oleh Imam Nawawi, yang juga disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani dalam Al-Kaukabud Durri fin Nuril Muhammadi  (hlm. 25). Dari kenyataan ini dapat diambil kesimpulan bahawa tarikh dan bulan peristiwa Isra' dan Miraj juga  terjadi pertikaian pendapat ahli sejarah, namun yang digunapakai di seluruh dunia termasuk dunia Melayu dari dulu sampai sekarang ialah pada 27 Rejab. Tarikh 27 Rejab ini juga disebut oleh Imam Nawawi dalam Raudhah

PENGERTIAN MIRAJ ( مـعـراج)
Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengungkapkan peristiwa Isra' dan Miraj dalam beberapa bait syair di bawah ini, katanya dalam Jumanatut Tauhid,


لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدهُ عُـرِجْ
بِهِ إِلَـَى السَّـبْعِ الْعُلَـى لِـيَبْتَهِجْ
 
Maksudnya:
ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu baginda dinaikkan, 
sertanya pada tujuh kemuliaan bagi menggembirakan

Dalam Munjiyatul Awam, Syeikh Ahmad al-Fathani menggunakan kalimat


لِلْمَسْجِدِ اْلأَقْـًصَى وَبَعْدَ ذَا الْعُـرُوْجِ
إِلَـى السَّمَآءِ فَـفَـتَحُوْا لَـهُ الْـبُـرُوْجْ
 
Maksudnya:
ke Masjid al-Aqsha, sesudah itu ada tangga-tangga naik, 
kepada langit, maka mereka membuka bagi Nabi akan buruj

Puisi yang pertama (Jumanatut Tauhid) digunakan  perkataan  عُـرِجْ (urij)  bermaksud "dinaikkan". Dalam puisi yang kedua (Munjiyatul  ‘Awam) digunakan perkataan  ذَا الْـعُرُوْج (zal uruj) bermaksud "ada tangga-tangga naik". Dalam puisi yang kedua Syeikh Ahmad al-Fathani  menggunakan perkataan   الـسَّـمَـآء(as-sama') "langit".  Pada konteks ini ada persamaan dengan tulisan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani menyebut dalam Al-Kaukab Ad-Durri bahawa "penaikkan yang kedua Miraj ( مـعـراج)". Beliau menulis, Maka mengambil Jibril dengan tangannya kepada pihak shakhrah, dan ia menyeru,  Ya Ismail(1), ulurkan miraj ! Yakni tangga. Maka dibawa datang dengan dia  daripada Firdaus  ... Tulis beliau lagi, ... seelok-elok sesuatu yang dijadikan oleh Allah, umbinya di atas shakhrah, dan kepalanya pada langit dunia.  Baginya seratus anak tangga daripada emas, dan perak,  dan  zabarjad, dan yaqut, dan kasturi, dan anbar ... (2)  Pada halaman berikutnya beliau tulis, [Sabda Nabi S.A.W], Kemudian senantiasa aku naik satu tangga, kemudian daripada satu hingga adalah aku  pada setinggi-tinggi tangga. Maka aku mendengar akan Malaikat mengucap tahlil, dan tasbih mereka itu, dan taqdis mereka itu akan Allah Taala  ... (3)  Dari kalimat yang dipetik dari Al-Kaukab Ad-Durri ini dapat diketahui bahawa perjalanan yang menggunakan Buraq hanyalah dari Makkah ke Baitul Maqdis saja, dari Baitul Maqdis menuju ke langit adalah menaiki tangga yang dinamakan Miraj ( مـعـراج).  Langit adalah tujuh lapis, enam lapis namanya  disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani  dalam Al-Kaukab Ad-Durri ialah:
1.  Langit dunia/langit yang pertama  بـرقـيـعا  (Barqian).  
2.  Langit yang kedua tidak disebut namanya
3.  Langit yang ketiga  الـماعـون(Al-Maun).  
4.  Langit yang keempat  فـيـلون(Filun).  
5.  Langit yang kelima  اللاحقون(Al-Lahiqun).  
6.  Langit yang keenam  عـاروس(Arus).  
7. Langit yang ketujuh الـرفـيع(Ar-Rafi), Al-Kaukab Ad-Durri, hlm.   16 - 17(4).  

Pada hujung puisi yang kedua (Munjiyatul Awam) digunakan perkataan  ذَا الْـعُرُوْج (zal uruj)  untuk padanan sebelum perkataan   الْـبُرُوْج(al-buruj). Al-Buruj boleh diertikan dengan "bintang-bintang". Perkataan "al-buruj" boleh juga diertikan dengan "benteng-benteng pertahanan yang kukuh", "gedung-gedung yang besar", dan  lain-lain. Sewaktu menulis  kalimat :   


إِلَـى السَّمَآءِ فَـفَـتَحُوْا لَـهُ الْـبُـرُوْجْ



Kemungkinan  Syeikh Ahmad al-Fathani mengkaitkan dengan ayat 1, surah al-Buruj, dalam al-Quran, ialah    :     
وَالسَّمَآءِ ذَاتِ الْـبُرُوْجِ



 Maksudnya:Demi langit yang mempunyai bintang-bintang besar. Berdasarkan dari Ibnu Abbas R.A, dan lain-lain Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani menulis tentang langit dengan sangat panjang, di antara tulisan beliau, Dijadikan [oleh] Allah akan tujuh petala langit seperti beberapa kubah. Maka langit dunia diteguhkan segala pihaknya  dengan langit yang kedua. Dan langit yang kedua dengan langit yang ketiga. Dan demikianlah hingga kepada yang ketujuh. Dan yang ketujuh dengan Arasy ... Dan dijadikan matahari pada langit yang  keempat  ...(5). Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dalam Al-Kaukab Ad-Durri juga menulis, Dan dijadikan bintang-bintang atas dua bagi[an]. Setengah daripadanya tergantung pada langit seperti tergantung segala kandil pada masjid. Dan setengah daripadanya dilekatkan dia seperti dilekatkan permata pada cincin. Dan adalah ia  serta banyaknya, bersalah-salahan segala rupanya, tiada dijadikan [oleh] Allah akan satu bintang atas rupa satu bintang. Dan tersebut pada setengah daripada akhbar (maksudnya: hadits-hadits, pen:), [bahawa] tiada ada daripada binatang yang pada bumi, dan tiada binatang yang melata di bawah Arasy melainkan pada kejadian bintang ...(6).

Mengenai "bintang"  dijadikan dalam bentuk "binatang" juga ada persamaan dengan tulisan pelbagai pihak tentang nama-nama bintang di dalam buruj. Mengenai "al-buruj"  yang  terdapat 12 nama bintang di antaranya ada yang dinamakan dengan nama binatang yang ada di dalam dunia.

Syeikh Ahmad al-Fathani selain menyebut  "al-buruj" beliau juga pernah menggubah satu syair/puisi dalam bahasa Arab. Selain itu pada konteks ini Syeikh Ahmad al-Fathani juga telah mentashhih, mentahqiq dan mengarang beberapa buah kitab mengenai ilmu falak juga dalam bahasa Arab. Dalam ilmu perbintangan (Astronomi atau pun Astrologi) pada konteks "al-buruj" terdapat 12  bintang, ialah:
1. اَلأَسَدُ                  = Leo
2.  اَـثَّوْرُ                 = Taurus
3.  اَلْـجَدْيُ               = Capricornus
4.  اَلْجَوْزَاءُ              = Gemini
5.  اَلْـحَـمَلُ               = Aries
6.  اَلْـحُوْتُ               = Piscers
7.  اَلـدَّلْوُ                = Aquarius
8.  اَلـسَّرَطَانُ           = Cancer
9.  اَلـسُّنْبُلَةُ        = Virgo
10.  اَلْـعَقْرَبُ          = Scurpio
11.  اَلْـقَوْسُ وَالرَّمِـى= Sagitarius
12.  اَلْـمِـيْزَانُ          = Libra

Sebagaimana telah dinyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani, menyebut,  Ada pun di dalam  tidur, maka telah jatuh  bagi Nabi S.A.W tiga puluh tiga kali. Pendapat ini ada persamaan dengan yang disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Ward az-Zawahir, beliau menulis, Bahawasanya Miraj berulang-ulang kali, sekali dengan tubuhnya daripada Makkah dan sekali dengan ruhnya daripada Madinah. Walau bagaimana pun Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsir dan menegaskan, Bermula yang shahihnya, barang yang kami kata bahawasanya dengan jaga, dan dengan ruh, dan jasad daripada Masjid al-Haram kepada Masjid Aqsha dengan dalil kitab dan sunnah, dan ijma. Kemudian naik ia kepada langit, kepada syurga, dan kepada Mustawa, atau kepada Arasy, atau kepada atas  Arasy(7).

Sebagai pelengkap maklumat rasanya baik juga saya salin perkataan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam karya yang ditulis dalam bahasa Arab, merupakan syarah karya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, katanya, : 
 "فـيجب إعتقاد أنه صلى اللّه عليه وسلم أسرى به ليلا من الـمكة إلـى بيت الـمقدس


Maksudnya, Wajib itiqad sesungguhnya Nabi S.A.W diperjalankan ketika malam dari Makkah ke Bait al-Maqdis”. Beliau sambung kalimatnya, katanya:
وأنه عرج به من بيت الـمقدس إلـى السموات السبع إلـى سدرة الـمنتهى 

Maksudnya,  Dan dinaikkan dari  Bait al-Maqdis ke langit tujuh ke Sidratil Muntaha”. Beliau  sambung  lagi, katanya : إلـى الكرسـي إلـى مـستـوى سـمع فيه صـريف الأقلام Maksudnya,  naik  ke Kursi, naik ke Mustawa, di sana baginda mendengar qalam-qalam menulis”.  Beliau sambung lagi, katanya:

 إلـى الـعرش وأنه كلمه ربه فـي هذه الليلة ورأى ربه فيها بعينـي رأسه

Maksudnya,  naik  ke Arasy. Dan sesungguhnya baginda berkata-kata akan Tuhannya pada malam tersebut, dan baginda melihat Tuhannya dengan kedua-dua mata kepalanya(8). Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Badr at-Tamam juga sependapat dengan yang disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu dan Syeikh Nawawi al-Bantani itu, katanya,Dan dinaikkan dengan dia ke langit hal keadaannya jaga.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa tujuh langit dilalui adalah menggunakan anak tangga ghaib, namun adalah berbeda dengan perjalanan dari langit yang ketujuh menuju Sidratul Muntaha. Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dalam Al-Kaukab Ad-Durri menamakannya dengan "penaikkan yang keempat sayap Jibril Alaihis Salam"(9). Sesudah itu ada lagi "penaikkan yang kelima Ar-Rafraf menuju ke Qaba Qausain"(10). Iaitulah perjalanan selanjutnya Nabi Muhammad S.A.W tidak lagi bersama Malaikat Jibril, kerana baginda dinaikkan ke Sidratul Muntaha, menuju Mustawa, mendengar Qalam yang bertugas menulis(11) di Lauh al-Mahfuzh tanpa hentinya.