Monday, May 31, 2010

Terbitan Terbaharu: Kitab LUM'ATUL AURAD, karya Syeikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani


RISALAH AMALAN SELAWAT INTIPATI
KITAB LUM'ATUL AURAD
ISBN : 978-983-9701-78-4


LUM'ATUL AURAD : HIMPUNAN WIRID DAN DOA
ISBN : 978-983-9701-77-7

(Illustrasi gambar pada kedua-dua kulit buku adalah lokasi Kelab Balkis di Kelantan, sebuah badan kebajikan yang diusahakan oleh cicit pengarang kitab Lum'atul Aurad, iaitu Hajah Wan Khadijah Binti Haji Wan 'Abdur Rahman)


Alhamdulillah, sebuah lagi kitab terbaharu telah dapat diterbitkan pada 26 Mei baru-baru ini, iaitu kitab Lum'atul Aurad, karya ulama Melayu yang berasal dari Kelantan, Syeikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani. Terdapat dua versi cetakan, iaitu:

1) Himpunan Wirid dan Doa Lum'atul Aurad
2) Risalah Amalan Selawat Intipati Kitab Lum'atul Aurad

Adapun al-Marhum Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pernah menerima ijazah amalan selawat Lum'atul Aurad ini dari beberapa sumber, antaranya adalah melalui ibu beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab Binti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Selain itu, beliau juga menerima dari dua sumber utama berikut, iaitu:


1) Diterima ijazah daripada Syeikh ‘Abdur Rahman bin ‘Abdul Kadir al-Fathani pada malam Khamis 25 Zulhijjah 1399H di Masjidil Haram, Mekah. Haji Wan ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Kadir al-Fathani pula terima daripada Baba Haji Wan ‘Abdul Kadir bin Syeikh Daud Khatib Kelantan.

2) Diterima ijazah terakhir daripada al-‘Alim al-‘Allamah Haji Wan Muhammad Shalih bin ‘Abdullah al-Fathani di Ma’la Mekah al-Mukarramah. Beliau terima ijazah dari al-‘Alim al-‘Allamah Haji ‘Abdul Rasyid bin Ismail al-Fathani yang diterima daripada al-‘Alim al-‘Allamah Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman al-Kalantani, pengarang kitab Lum’atul Aurad yang terkenal di nusantara ini.
 
Berikut pula dilampirkan serba sedikit sejarah pengarang kitab, yang pernah dibicarakan oleh Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah sebelum ini, sebagai informasi tambahan dan semoga mendapat manfaatnya bersama.

***********************

SYEIKH WAN 'ALI KUTAN : GURU PARA ULAMA MELAYU
(Artikel ini pernah diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 27/9/2004)

RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.

Keluarga Besar
Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran
Wan Ali bin Wan Abdur Rahman adalah saudara bungsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan
Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri kepada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga kepada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Karya-karya
Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam bentuk manuskrip.

Disebabkan kekurangan ruangan, keturunan Syeikh Wan Ali al-Kalantani tidak dapat dimuat dalam artikel ini, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan dan waktu yang lain.
***********************

Saturday, May 29, 2010

Sekitar Lawatan Ilmiah dari PUSAT TUISYEN ANDA BESTARI

Pada 12 Mei yang lalu, kira-kira 60 orang pelajar termasuk beberapa guru-guru dari Pusat Tuisyen Anda Bestari (PTAB) telah membuat lawatan ilmiah ke lokasi Khazanah Fathaniyah. Alhamdulillah, segala perjalanan berjalan dengan lancar dan mengikut seperti yang dijadualkan. Terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti ilmiah yang diadakan, antaranya ceramah dari Ustaz Syukri Ghazali (pentahqiq dan pentashih manuskrip Melayu), persembahan sajak, bacaan selawat, termasuk juga bacaan tahlil beramai-ramai sebelum mengakhiri majlis. 

Di kesempatan ini , kami dari Persatuan PENGKAJI dan Khazanah Fathaniyah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih akan kerjasama majlis tersebut kepada semua pihak yang terlibat, iaitu Pn. Hamidiyah Abdul Madjid (Khazanah Fathaniyah), Ustaz Syukri Ghazali, Pn. Hajah Norida Jamal (Pengetua), juga guru-guru yang terlibat, termasuk pelajar-pelajar Pusat Tuisyen Anda Bestari, dan beberapa ahli jawatankuasa PENGKAJI yang hadir. Berikut dikongsikan antara foto-foto sekitar lawatan ilmiah tersebut untuk tatapan bersama,

 Majlis dipengerusikan oleh Setiausaha PENGKAJI, Encik Abdul Halim Muhammed.

 Ustaz Syukri menyampaikan ceramah ilmiah, berjudul "Sejarah Penyebaran Islam dan Peranan Ulama al-Jawi Dalam Penulisan Sastera Melayu Klasik".

Penyampaian sajak berjudul "Perginya Seorang Pemikir Unggul" nukilan Puan Rahmayanti Imran (Guru PTAB) yang disampaikan oleh dua pelajar yang mewakili Pusat Tuisyen Anda Bestari. 

Penyampaian cenderamata antara Pengetua PTAB, Puan Norida Jamal dan Penasihat Khazanah Fathaniyah, Puan Hamidiyah Abdul Madjid.


Semoga lawatan ini diberkati-Nya dan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pihak-pihak terlibat. Sampai berjumpa lagi.

Illalliqa' Ma'assalamah

Tuesday, May 25, 2010

Rentetan 'Seminar Bicara Ulama Alam Melayu'

Alhamdulillah, hujung minggu baru-baru ini telah berakhir sudah Seminar Bicara Ulama Alam Melayu seperti yang diwar-warkan pada entri sebelum ini. Terdapat 3 pembentangan kertas kerja, yang mana salah satu darinya adalah dari Persatuan PENGKAJI sendiri. Berikut dikongsi judul kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar tersebut, iaitu:
(Kertas kerja boleh diperolehi melalui pihak penganjur)
  • 'AL-USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH AL-FATHANI SEBAGAI TOKOH PENGUMPUL & PENGKAJI SEJARAH ULAMA DUNIA MELAYU: USAHA DAN JASA BELIAU', (Kertas kerja dari Persatuan PENGKAJI, yang disediakan oleh Cik Wan Jumanatul Karamah, dan dibentangkan oleh En. Mohd Saifulrizan Bin Sa'id).
  • 'MENGENALI TUAN HAJI SAAID MUFTI KEDAH ULAMA TERSOHOR DI ALAM MELAYU', (Kertas kerja dari Persatuan Keluarga Hj. Mohd Saaid Mufti, Malaysia, yang dibentangkan oleh Ustaz Abd. Razak Bin Abd Rahman)
  • 'PENGKISAHAN TUAN HJ. ZAIN B. ABDUL RAHMAN: GURU HIKAM YANG TERSENDIRI', (Kertas kerja dari Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MAJMAK), yang disediakan oleh Ustaz Zaid Muhammad Bin Mohd Rais, dan dibentangkan oleh Mejer (B) Mohmad Anuar Ahmad.

Gambaran ringkas mengenai tokoh-tokoh yang dibicarakan seperti yang dipetik dari penganjur (seperti petikan dari entri sebelum ini), dikira sudah cukup menjelaskan sedikit pengenalan awal mengenainya:

"....Tuan Hj Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebagai contoh merupakan guru agama kepada kerabat diraja Kedah dan antara pengarang terawal kitab tafsir Al Quran Berbahasa Melayu. Kitab Tafsir Nurul Ehsan karanngannya masih lagi terjual dan digunapakai dalam kelas-kelas pengajian tafsir di mana-mana pun di nusantara ini.

Manakala individu seperti Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir b. Wan Abdullah yang merupakan cucu kepada Syeikh Ahmad Al Fatahni dikategorikan sebagai tokoh yang berjasa dalam mengembalikan kehebatan ulamak melayu silam melalui kajian dan penulisan semula yang diusahakan oleh beliau. Keilmuan beliau juga adalah diakui sehingga menjadi pakar rujuk kepada pelajar-pelajar universiti dan orang awam mahupun ahli agama dalam soal pendapat-pendapat dan keilmuan ulama-ulamak melayu nan silam. Beliau bolehlah dianggap sebagai pencungkil dan orang yang mempertahankan kehebatan ulama nusantara. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau telah membuka jalan untuk orang-orang yang mencintai ilmu untuk menghargai dan mencintai tulisan dan jasa-jasa ulama-ulamak melayu yang terdahulu.

....Tuan Haji Zain b. Abdul Rahman seorang tokoh agama pada zamannya yang menjadikan kitab Al Hikam sebagai teks kajiaan dan bacaan dalam pengajarannya kepada murid-murid beliau. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Haji Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau juga merupakan anak murid bahkan juga rakan seperjuangan semasa menuntut ilmu di Mekah. Sungguhpun beliau tidak terkenal tetapi ketokohannya dapat dirasai oleh anak-anak murid beliau sehinggakan anak-anak murid beliau juga mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai selepas kepulangannya ke rahmatullah. Memang benarlah kata-kata orang hikmah bahawa pendidikan yang terdapat dalam Al Hikam bukanlah untuk menjadi megah di mata masyarakat bahkan untuk menjadi hamba Allah yang sejati.''

Sebelum menutup bicara ini, dipetik sedikit pantun yang dinukil oleh pembentang yang mewakili Persatuan PENGKAJI, En. Mohd Saifulrizan Bin Sa'id pada hari pembentangan tersebut, iaitu:

Tingkah bertingkah paluan rebak,
Menggegar rasa perwira Islam,
Menyingkap wasilah perjuangan Ulama',
Di Seminar Bicara Ulama Silam.

Di Pulau Sialu pesan Jeragan Jaga,
Laluan di sini kerap undang petaka,
Walau bermutu intan luar negara,
Intan di sini tetap terbilang nama.

Di kesempatan ini, kami mewakili pihak Khazanah Fathaniyah dan Persatuan PENGKAJI mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih atas undangan pihak penganjur ini. Semoga apa yang telah dikerjakan ini diberkati-Nya. Terima kasih tidak terhingga atas segalanya.


Saturday, May 22, 2010

Seminar BICARA ULAMA ALAM MELAYU: Menyingkap Wasilah Perjuangan

Assalammu'alaikum Wr. Wbt.

Sekali lagi ingin diwar-warkan bahawa esok akan diadakan satu seminar, seperti judul di atas. Seminar ini telah dimaklumkan pada entri sebelumnya. Cuma entri ini hanya berkongsi sedikit pendahuluan berhubung seminar yang akan diadakan itu, sumber adalah diambil dari blog penganjur (klik sini).

Seminar “BICARA ULAMA’ ALAM MELAYU : Menyingkap Wasilah Perjuangan


*Poster juga diambil dari blog penganjur*

Pendahuluan: 
Peranan ulamak melayu dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam di nusantara ini memang tidak boleh dinafikan lagi. Sejak kurun ke 17 lagi ulama melayu sememangnya terkenal dengan keilmuan dan ketokohan mereka bukan sahaja di nusantara tetapi juga di tanah asing seperti Makkah AL Mukarramah.Sebagai contoh, tokoh seperti Syeikh Arshad AlBanjari umpamanya memang terkenal sehinggakan susur galur keturunannya pun menjadi ulamak-ulamak terkenal di seluruh nusantara.

Seminar ini sebenarnya berhasrat untuk mengenang jasa tokoh ulama dan indivdu yang sangat berjasa dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam samada melalui penulisan dan pengajarannya.

Tokoh seperti Tuan Hj Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebagai contoh merupakan guru agama kepada kerabat diraja Kedah dan antara pengarang terawal kitab tafsir Al Quran Berbahasa Melayu. Kitab Tafsir Nurul Ehsan karanngannya masih lagi terjual dan digunapakai dalam kelas-kelas pengajian tafsir di mana-mana pun di nusantara ini.

Manakala individu seperti Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir b. Wan Abdullah yang merupakan cucu kepada Syeikh Ahmad Al Fatahni dikategorikan sebagai tokoh yang berjasa dalam mengembalikan kehebatan ulamak melayu silam melalui kajian dan penulisan semula yang diusahakan oleh beliau. Keilmuan beliau juga adalah diakui sehingga menjadi pakar rujuk kepada pelajar-pelajar universiti dan orang awam mahupun ahli agama dalam soal pendapat-pendapat dan keilmuan ulama-ulamak melayu nan silam. Beliau bolehlah dianggap sebagai pencungkil dan orang yang mempertahankan kehebatan ulama nusantara. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau telah membuka jalan untuk orang-orang yang mencintai ilmu untuk menghargai dan mencintai tulisan dan jasa-jasa ulama-ulamak melayu yang terdahulu.

Seminar ini juga bakal berkongsi dengan para peserta seminar tentang ketokohan Tuan Haji Zain b. Abdul Rahman seorang tokoh agama pada zamannya yang menjadikan kitab Al Hikam sebagai teks kajiaan dan bacaan dalam pengajarannya kepada murid-murid beliau. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Haji Muhammad Saaid Mufti (Kadhi Jitra) sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau juga merupakan anak murid bahkan juga rakan seperjuangan semasa menuntut ilmu di Mekah. Sungguhpun beliau tidak terkenal tetapi ketokohannya dapat dirasai oleh anak-anak murid beliau sehinggakan anak-anak murid beliau juga mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai selepas kepulangannya ke rahmatullah. Memang benarlah kata-kata orang hikmah bahawa pendidikan yang terdapat dalam Al Hikam bukanlah untuk menjadi megah di mata masyarakat bahkan untuk menjadi hamba Allah yang sejati.

Kesimpulannya seminar ini bakal menyingkap wasilah perjuangan, jasa dan jerih payah tokoh-tokoh yang tersebut di atas dalam sumbangannya kepada anak bangsa agar mencintai ilmu-ilmu Islam bagi meneruskan perjuamgan dan memartabatkan Islam sebagaimana kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Objektif:

  1. Menyingkap ketokohan ulama dan ahli agama dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam kepada umat Islam
  2. Menghargai dan menghayati jasa dan peranan ulamak-ulamak Melayu.
  3. Menyemai tradisi semangat cintakan menuntut ilmu dan berguru dengan sebenar guru dalam menuntut ilmu.

Sasaran peserta:
Terbuka kepada semua lapisan masyarakat samada pelajar mahupun golongan profesional.

Dijadualkan pada :
23hb Mei 2010 (Ahad) 9 Jamidulakhir 1431
Dari jam 8.30 pagi ~ 1.30 petang
Di Dewan Seminar, Mesjid Negeri Selangor, Shah Alam

Pendaftaran penyertaan & Pertanyaan:
Sila hubungi Sdr Rizal 016-7049076 / Sdr Zaid 019-2202327

Tuesday, May 11, 2010

AKTIVITI SEPANJANG BULAN MEI 2010

Assalammu'alaikum  Wr. Wbt.
Sekiranya terdapat kelapangan waktu, kami menjemput Tuan-tuan dan Puan-puan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti yang melibatkan persatuan PENGKAJI dan Khazanah Fathaniyah sepanjang bulan Mei ini. Sekiranya terdapat sebarang perubahan atau penambahan, ianya akan dimaklumi semula di sini kelak. 

AKTIVITI PERTAMA:  
Pengajian kitab turats yang disampaikan oleh al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Baba 'Abdul 'Aziz as-Syafi'e

Kitab : Munyatul Mushalli, Faridatul Fara'id, dan Kanzul Minan. (Kitab pengajian disediakan)
Tempat : Dewan Syeikh Daud al-Fathani, Taman Melewar (Klik lokasi di sini)
Tarikh : 10 - 11 Mei 2010
Masa : Bermula selepas solat Isya' (Dijemput untuk solat Maghrib dan Isya' berjama'ah)
Maklumat lanjut, boleh hubungi:
Tel : 03-61897231 (pejabat)/ 013-3564496 (Abd. Halim)/ 016-3520094 (Azrul).

**********************

AKTIVITI KEDUA :
Lawatan Ilmiah Pelajar-pelajar dari Pusat Tuisyen Anda Bestari 

Tarikh : 12 Mei 2010 
Masa aktiviti : 10 Pagi - 2.00 Petang
Agenda Majlis :
10.00 Pagi  - Ucapan aluan Pengerusi Majlis - Bacaan Doa - Bacaan al-Qur’an

10. 30 Pagi - Ucapan pengenalan Khazanah Fathaniyah dan PENGKAJI

10. 45 Pagi - Ucapan Pengerusi Kelab Bahasa & Kebudayaan Melayu (PTAB)

11.00 Pagi  - Ucapan Pengetua (PTAB)

11. 15 Pagi - Selawat Nabi oleh PTAB

11. 30 Pagi - Slot Ceramah (Penceramah : Ustaz Syukri Ghazali)

12. 15 T/Hari   - Penyampaian cenderamata

12.30 T/Hari    - Tahlil Arwah (Dipimpin oleh : Ustaz Syukri Ghazali) - Jamuan & Pameran

1. 30 Petang     - Solat Zohor dan Bersurai

**********************

AKTIVITI KETIGA :  
Seminar Bicara Ulama Silam : Menyingkap Wasilah Perjuangan

Tarikh : 23 Mei 2010
Masa : 8.30 pagi -  1.30 Tengah hari
Tempat : Dewan Seminar Muzium Kesenian Islam 
Penganjur : Majmak Budaya dan Warisan Jawi (MAJMAK) dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Selangpr (PSSCMCS)
Maklumat lanjut, boleh hubungi:
Tel : 03-41053542 / hp: 019-2202327 (Tuan Zaid Muhammad B. Mohd Rais)
**********************

AKTIVITI KEEMPAT :  
Teater Imam al-Bukhari - Perawi Hadith Sohih

Tarikh : 29 dan 30 Mei 2010
Masa : 8.00 Malam
Anjuran : Jabatan Mufti Johor dan Waqaf an-Nur Corporation Berhad
Pementasan dibangunkan oleh : Magical Theatre (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor
Maklumat lanjut, boleh hubungi :
1. Pejabat Waqaf An-Nur Corporation Berhad,
Aras 2, Persada Johor, Johor Bahru.
- Puan Norlida Hassan / Cik Dahniar Abd. Rahman/ En. Mohd Razlan Abd. Jalil
Tel : 07 - 219 2692 Samb : 2718/ 2784/ 2769

2. Pejabat Jabatan Mufti Johor,
Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
- Ustaz Suhaimi Rabu
Tel : 07- 226 3926/ 27/ 28

3. The Puteri Pacific Johor Bahru & Persada Johor International Convention Centre
- En. Md. Hairulnizam Mohamed Shah
Tel : 07- 219 8888



Wednesday, May 05, 2010

Alhamdulillah, sebuah lagi kitab diulang cetak - KUMPULAN RISALAH NAHU & SHARAF

Alhamdulillah, sebuah lagi terbitan lama Khazanah Fathaniyah telah siap dicetak pada hari Isnin (3/Mei) baru-baru ini.

 KUMPULAN RISALAH NAHU DAN SHARAF
(Koleksi Karya al-'Alim al-'Allamah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani)
ISBN : 978-983-9701-75-3
HALAMAN : 285 M/S

Kumpulan Risalah Nahu & Sharaf ini terkandung di dalamnya gabungan 9 buah kitab, yang mana 8 darinya adalah karya Syeikh Ahmad al-Fathani, manakala sebuah pula karya Syeikh 'Abdul Kadir bin Ismail al-Fathani. Turut dibicarakan pada muqaddimah kitab adalah kata-kata pendahuluan dan sinopsis ringkas kitab-kitab oleh pengasas Khazanah Fathaniyah, iaitu al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah. Seterusnya turut dibicarakan  beliau keterlibatan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Ilmu Nahu dan Sharaf dengan agak panjang, berdasarkan kajian dan penyelidikan terhadap karya-karya peninggalan beliau. Adapun lampiran kandungan kitab ini merupakan cetakan asal dari kitab-kitab tersebut, juga terdapat beberapa versi cetakan untuk sebuah kitab yang sama.

Adalah diharapkan penghasilan kitab ini dapat membantu pengembangan ilmu Nahu dan Sharaf dan dapat disebarkan ke serata pengajian-pengajian di seluruh Alam Melayu ini. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkenaan kitab ini, boleh terus menghubungi kami sama ada melalui emel mahupun talian telefon.