MAKLUMAN


Untuk merujuk senarai penuh terbitan Khazanah Fathaniyah berserta sinopsis ringkas kitab, sila klik =
[http://koleksikf.blogspot.com]

Tuesday, April 27, 2010

RALAT

Sejak beberapa hari ini bermula minggu lepas, kami dari Khazanah Fathaniyah mengalami kerosakan teknikal pada talian telefon & fax, sekaligus jaringan internet. Maka segala proses pengedaran agak tergendala dan pembelian melalui online juga tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.  Oleh itu, kami memohon berbanyak-banyak kemaafan akan perkara ini, dan akan cuba membalas emel-emel berkaitan secepat yang mungkin. Harap maklum, terima kasih. 

Friday, April 16, 2010

BLOG KHAZANAH FATHANIYAH YANG TERBAHARU & KE-2

Alhamdulillah, sebuah lagi blog Khazanah Fathaniyah telah ditubuhkan, yang mana blog tersebut khusus untuk koleksi-koleksi Khazanah Fathaniyah yang dijual kepada umum. Tujuan blog tersebut dihasilkan untuk memudahkan sesiapa sahaja mengenali karya-karya terbitan Khazanah Fathaniyah dengan lebih jelas melalui sinopsis-sinopsis buku yang dilampirkan dalam blog tersebut. Namun, tidak semua judul-judul buku terbitan Khazanah Fathaniyah telah diberi sinopsis, hanya sebahagian sahaja kerana proses tersebut akan dilakukan secara peringkat demi peringkat, dan sehingga kini kami masih di peringkat pengemaskinian.

Diharapkan blog tersebut memudahkan sesiapa sahaja untuk mengenali karya-karya kami dengan lebih dekat. Selamat melayar Laman Koleksi Khazanah Fathaniyah (Klik di sini)

Tuesday, April 13, 2010

Jawapan emel - Siri II (Berkaitan Thariqat)

Terdapat beberapa kiriman emel yang bertanyakan soal thariqat, yang agak sukar untuk pihak kami menjawabnya. Tambahan pula buku berkaitannya berjudul PENYEBARAN THARIQAT-THARIQAT SHUFIYAH MU'TABARAH DI DUNIA MELAYU, yang pernah diterbitkan Khazanah Fathaniyah juga telah kehabisan stok. InsyaAllah buku tersebut akan cuba diulang cetak kembali dalam tahun ini, berikutan permintaan ramai. Baiklah, untuk entri ini, soalan emel yang terbaharu tidak akan disertakan kerana terlalu banyak, tetapi membawa maksud persoalan yang lebih kurang sama. Berikut dilampirkan kiriman-kiriman emel terdahulu yang pernah dijawab oleh al-Marhum Tuan Guru berkaitan Thariqat.

SOALAN:Kiriman emel bertarikh 11 Ogos 2006 (Ahmad Fisol M)
Apa beza tarikat dan usul diri, adakah lari dari akidah?

JAWAPAN al-Marhum Tuan Guru:
Thariqat adalah amalan zikir dalam ilmu tasawuf. Usul pula ialah tentang akidah dan dinamakan juga ilmu sifat 20, dan lain-lain. Thariqat dan Usul yang bersumber dari ulama yang muktabar adalah tidak menyalahi akidah.
(Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah)
SOALAN: Kiriman emel bertarikh 20 September 2006 (Saiful Zairi)
Assalammualaikum.....
Saya ingin bertanya.....
1. Di dalam Malaysia ini ada berapa jenis Thariqat?
2. Macam mana saya ingin mengenalpasti seorang guru mursyid tentang Thariqat?

JAWAPAN al-Marhum Tuan Guru :
Di antara Thariqat di Malaysia ialah Qadiriyah, Syathariyah, Naqsyabandiyah, Ahmadiyah, dll.

(Boleh rujuk banyak buku berkaitan dengannya)

2. Sukar untuk dijelaskan sepintas lalu, kerana perlu belajar ilmu Tasawuf dan Thariqat yang berada di dalamnya. Salah satu ciri khas Syeikh Mursyid ialah sekurang-kurangnya mahir pelbagai ilmu. Yang paling utama ialah 'aqidah, fiqhi, dan tasawuf. Namun dari semua ilmu yang paling dikuasainya ialah Thariqat yang diamalkan. Taqwa, wara' dll adalah mesti sebati dengan seseorang mursyid.
(Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah - 29 Sya'ban 1427 H)


**************

InsyaAllah bersambung lagi perbicaraan mengenai thariqat ini pada masa akan datang.
Berjumpa lagi.

Monday, April 12, 2010

Mencari pengedar

Dengan ini kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pengedar terbitan-terbitan kami, sama ada secara individu mahupun mana-mana institusi. Tawaran diskaun antara 30 - 50 % untuk terbitan Khazanah Fathaniyah sendiri, 15 - 30% untuk terbitan sekolah dan buku-buku Indonesia. Sekiranya berminat, hanya emelkan butir-butir seperti di bawah ini, dan segala maklumat seperti peraturan dan syarat pengedar, senarai buku serta lampiran diskaun akan dihantar melalui emel. Butir-butiran yang perlu dihantar adalah:

Nama :
Alamat :
No. tel :
Emel :

Sekian, terima kasih.

Emelkan kepada : khazanahfathaniyah@yahoo.com


Tuesday, April 06, 2010

Jawapan emel

Ketika meneliti beberapa dokumen peribadi al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang berupa dokumen emel yang pernah dijawab oleh beliau, saya menemui beberapa persoalan-persoalan yang diutarakan kepada beliau dulu ada yang hampir sama dengan emel-emel yang diterima oleh Khazanah Fathaniyah kini. Oleh itu, sekiranya wujud persoalan yang lebih kurang maksudnya, maka saya memutuskan untuk menggunapakai jawapan-jawapan beliau tersebut. Maka secara tidak langsung, ianya dapat menyelesaikan beberapa persoalan emel yang belum dijawab kerana agak  memakan masa untuk dirujuk dan mencari jawapannya, bertambahan pula ceteknya ilmu untuk menjawabnya. Antara persoalan yang dikongsikan untuk entri kali ini adalah:

PERSOALAN:

Kiriman emel bertarikh 27 Mac 2010 (Dari : Hailil78)
Assalammualaikum Wr. Wbkth.
Tuan, saya sangat memerlukan maklumat berhubung hubungan beberapa jalur keturunan antaranya 'SYED', 'WAN', NIK dan sebagainya. Saya mendapat tahu bahawa pihak tuan kuat berkecimpung dalam bidang ini dan mempunyai  maklumat-maklumat berkaitan sejarah silam ini. Sekiranya tidak menjadi keberatan, saya ingin mendapat seberapa maklumat berkaitannya, atau adakah buku-buku klasik mengenainya tersimpan dalam koleksi Allahyarham? Boleh saya mendapat tarikh untuk temujanji? Saya sangat berharap dapat respon segera dari pihak Tuan. Terima kasih.

Kiriman emel bertarikh  22 September 2006 (Dari : Azie)
Assalammualaikum,
Salam Ramadhan al mubarak.
Saya ingin meminta jasa baik tuan memberi saya serba sedikit info tentang ulamak di Sarawak yang menggunakan gelaran "WAN" di Sarawak. Adakah mereka ini mempunyai sejarah atau pertalian dengan golongan ahlul bait atau Syed/Syarif yang berasal dari Sambas ataupun negeri-negeri sekitar Kalimantan? Atau tuan ada mempunyai sebarang maklumat mengenai Tunku Osman dari Sambas yang dikatakan keturunannya berhijrah ke Sarawak dan kemudian menggunakan gelaran Wan.
Harap tuan dapat membantu saya membuat kajian dari semasa ke semasa . Jutaan terima kasih didahulukan.

JAWAPAN al-Marhum Tuan Guru kepada emel bertarikh 22 Setember 2006,

Golongan "WAN" di Sarawak memang ada yang berasal dari Kalimantan Barat, seperti Tengku Haji Bujang, Gabenor Sarawak  yang pertama, sewaktu terbentuk Malaysia. Datuk nenek beliau berasal dari Kerajaan Kubu, salah satu kerajaan kecil di Kalimantan Barat. Beliau bangsa "Al-'Aidrus". Bangsa "Al-Qadri" yang berasal dari Pontianak juga ada yang hijrah ke Sarawak. Selain itu, ada juga yang berasal dari Pulau Serasan, Kepulauan Riau. Adapun yang berasal dari Sambas saya belum memperoleh maklumat.
(Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah - 2 Ramadhan 1427H)

***********************
Dari kedua-dua emel tersebut, sememangnya ada sedikit perbezaan soalan ditanya, namun ada maklumat jawapan yang diberikan oleh al-Marhum Tuan Guru pada emel dari Azie tersebut dapat digunapakai juga kepada penghantar emel pertama iaitu Hailil78. Ya, jawapan agak ringkas yang diberikan oleh beliau, dan kebanyakan emel-emel lain yang dijawab juga ringkas dengan memberi beberapa maklumat sebagai petunjuk untuk usaha yang berterus-terusan mencari dan menyelidik dengan lebih gigih dari yang diberikan.  Semoga dengan secebis jawapan tersebut dapat membantu kepada penyelidikan yang lebih meluas. Wallahu a'lam.


Monday, April 05, 2010

KITAB PENGETAHUAN BAHASA karya Raja Ali Haji


-->
PENGETAHUAN BAHASA
GAMBARAN ETIKA KEMASYARAKATAN
Oleh
Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

HAMPIR semua karya Raja Ali Haji adalah dapat dikategorikan dalam karya-karya Melayu yang penting, agung, dan terkenal. Pada kesempatan ini diperkenalkan karya beliau tentang bahasa Melayu, yang beliau beri judul "Kitab Pengetahuan Bahasa". Di bawah judul utama diberi keterangan "Iaitu Kamus Lughat Melayu Johor, Pahang, Riau-Lingga". Raja Ali Haji  tidak sempat menyelesaikan karya tersebut secara keseluruhan, hanya sampai huruf "Ca" saja. Kitab Pengetahuan Bahasa oleh Raja Ali Haji  pertama kali  oleh oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tahun  1345 H/1927 M atas usaha salah seorang cucu  Raja Ali Haji bernama Raja Haji Umar bin Raja Hasan yang kemudian disetujui oleh Raja Haji Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong, Ketua Syarkah Al-Ahmadiah. Kitab tersebut mendapat perhatian dan kajian para sarjana, termasuk beberapa orang sarjana Barat terutama sekali orang-orang yang berminat tentang bahasa Melayu. Manuskrip asli dan cetakan yang  pertama adalah dalam edisi huruf Melayu/Jawi, dan selanjutnya pernah ditransliterasi kepada tulisan Latin/Rumi oleh Raja  Hamzah Yunus. Yang telah ditransliterasi dari tulisan Jawi ke Rumi itu diterbitkan oleh Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Penelitian dan Pengkajian Kebudayaan Nusantara Bagian Proyek Penelitian dan Pengkajian  Kebudayaan Melayu Pekanbaru 1986/1987.

Saya telah memperkenalkan Kitab Pengetahuan Bahasa tersebut melalui terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1997, dicetak dalam edisi Jawi sebagaimana cetakan yang pertama. Dalam terbitan 1997 itu telah diperkenalkan sejarah Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura, yang merupakan aktiviti yang dijalankan oleh beberapa orang cucu Raja Ali Haji sendiri. Cucu Raja Ali Haji yang dimaksudkan Raja Haji Umar bin Raja Hasan (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura yang pertama), beliaulah yang berusaha mengumpul dan  menerbitkan karya-karya  Raja Ali Haji.

Raja  Ali Haji memulai kandungan kitab ini dengan pengenalan tata- bahasa Melayu yang mirip dengan ilmu nahu (tatabahasa) Arab. Untuk tatabahasa ditempatkan pada halaman 2 sampai halaman 32. Kosa  kata dimulai dengan huruf "Alif" dan berakhir dengan huruf "Ca". Kitab Pengetahuan Bahasa walau pun dikatakan sebagai "kitab bahasa  Melayu", namun jika kita teliti ternyata jangkauannya lebih jauh daripada itu. Kitab Pengetahuan Bahasa tampil memperkenalkan beberapa istilah yang terdapat dalam agama Islam, sejarah, dan lain-lain, dengan huraian yang cukup mantap, panjang dan memuaskan. Sebagai contoh kosa kata huruf "Alif", perkataan "ahbar", Raja  Ali Haji mentakrifkannya, "Iaitu segala   'ulama'-'ulama' yang besar-besar, yang 'alim lagi mujtahid pada tiap-tiap daripada ilmu usul, dan furu', dan tasawuf, dan tafsir, dan hadis, dan segala alat pekakas mengeluarkan maksud dan mafhum  segala ilmu." (hlm. 39 - 40). Sesudah memberikan takrif Raja Ali Haji menjelaskan  pula para ulama yang termasuk dalam lingkungan pentakrifan itu dimulai dari zaman sahabat Nabi S.A.W hingglah para ulama yang datang kemudiannya. Pada penutup istilah "ahbar", Raja Ali Haji berpendapat, "Maka barangsiapa mengikut dan membesarkan segala  'ulama' seolah-olah ia membesarkan Nabi, dan mengikut akan segala Nabi, dan Rasul. Dan barangsiapa mengikut dan membesarkan segala Nabi dan Rasul seolah-olah ia mengikut dan membesarkan Allah Ta'ala ... Dan barangsiapa tiada mengikut dan membesarkan mereka itu dan menghina-hinakan mereka itu serasa ia merintangi Allah S.W.T. Nanti di belakangnya didapatinya juga kehinaan di dalam dunia dan di dalam akhirat kerana kena bunuhnya daripada  mereka itu. Maka mereka itulah tanda orang syaqawah, yakni celaka adanya." (hlm. 40).

Setelah selesai perkataan-perkataan yang diawali dengan huruf Alif,  Raja Ali Haji membicarakan pula perkataan-perkataan yang diawali dengan huruf Ba'. Perkataan Ba' itu sendiri beliau takrifkan, "Iaitu air yang berjalan pada lautan besar, yang tiada tentu harusnya. Akan tetapi air itu berjalan mengikut angin sebab pasang surutnya. Tiada dapat ketentuan sebab jauh daripada daratan adanya." (hlm. 201).

Kosa kata yang terakhir dalam Kitab Pengetahuan Bahasa ialah "candakia". Perkataan ini ditakrifkan oleh Raja Ali Haji, "Iaitu hal orang, atau sifatnya kuat berbuat bohong ke sana sini. Pada satu tempat lain cakapnya dan satu tempat pula lain pula cakapnya. Dan bermuka-muka kepada antara dua orang adanya. Yakni, umpamanya dua orang yang berseteru, maka "candakia" pergi kepada salah seorang daripada keduanya itu. Ia membenar akan perkataannya serta menyalahkan seterunya itu. Dan apabila pergi pula kepada yang disalahkannya itu, diumpatnya pula yang sudah dibenarkannya itu. Jadi keduanya kasihkan dia kerana keduanya itu boleh menyampaikan hajatnya. Maka inilah sejahat-jahat orang. Bernamalah ia orang munafiq adanya." (hlm. 466). Kosa "candakia" yang disebut Raja Ali Haji itu kemungkinan lain dengan "cendekia" yang digunakan dalam perkembangan bahasa sekarang, kerana jika perhatikan takrifnya jauh berbeza. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), perkataan "cendekia", ialah "1. tajam pikiran, lekas mengerti (kalau diberi tahu sesuatu: cedas, pandai); 2 cepat mengerti situasi dan pandai mencari jalan keluar (pandai menggunakan kesempatan); cerdik; 3. terpelajar; cedik pandai; cerdik cendekia: kaum cerdi." (KBBI, hlm. 183). Takrif perkataan "cendekia" dalam Kamus Dewan sama maksudnya dengan takrif Kamus Besar Bahasa Indonesia. Perlu kita perhatikan dengan cermat sama ada pada ucapan mahu pun tulisan "candakia" dan "cendekia", kerana berlainan takrifnya. Perkataan "candakia" tidak digunakan lagi, tetapi "cendekia" masih digunakan sampai sekarang.  Selalu juga digunakan "cendekiawan".  

***